Umum mengetahui apabila seseorang itu positif covid-19, akan dengan segera di tempatkan  di hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Apa yang menyedihkan pula, bermula sejak tiba ke hospital, berpindah ke unit rawatan rapi atau ke wad pengasingan, ianya menjadi sebuah perjalanan yang teramat sunyi tanpa ditemani ahli keluarga.

Semuanya dilakukan sendiri dan senario ini juga tentu mengundang rasa pilu buat kaum keluarga akibat tidak dapat menemani orang tersayang ketika mereka sakit.

Ini sebagaimana yang cuba dikongsikan oleh doktor ini tentang satu kejadian di hospital.


“Tak boleh ke saya nak jumpa mak saya doktor? Sekejap pun jadilah.”

Sayup-sayup suaranya di hujung talian. Yang pasti, ianya berselang seli dengan bunyi esakan tangisan kesedihan.

“Minta maaf puan. Buat masa ni memang kami tak dapat benarkan sesiapa pun masuk ke sini. Kita tak boleh ambil risiko kerana ia boleh jadi berpunca dari virus bahaya yang boleh berjangkit.”

Aku terpaksa menerangkan lagi buat kesekian kalinya.

Seperti mana kebanyakan hospital lain, wabak virus maut yang melanda memaksa kami di sini mengubah cara kerja seharian. Ada sebahagian ruang di jabatan kecemasan perlu ditutup sepenuhnya kepada waris dan keluarga pesakit.

Langsung tak dapat benarkan mereka untuk masuk.

Bahkan tak semua kakitangan kesihatan diberikan keizinan berada dalam ruang tu.

Hanya beberapa orang staf saja dalam satu-satu masa yang akan bertugas merawat pesakit di situ.

Itu pun kami perlu berpakaian perlindungan lengkap yang menutupi seluruh anggota badan. Siap wajib mengenakan penutup kepala dan juga perisai muka (face shield).

IKLAN

Panas, berpeluh lencun, tak dapat nak bernafas dengan selesa disebabkan topeng muka, semua tu terpaksa ditahan. ‘Zero’ tolak ansur.

Kecuaian mungkin akan menyebabkan jangkitan pada si perawat sendiri.

Segala urusan perhubungan dengan waris dilakukan melalui telefon atau pun rakan kami yang bertugas sebagai ‘runner’ di luar.

“Tak apalah doktor. Tapi tolong ya, berikan rawatan yang terbaik untuk mak saya. Saya masih nak jumpa dia lagi.”

Sayu benar rayuannya.

“Baik puan. Kami usahakan yang terbaik. Selebihnya kita serah pada Tuhan. Puan sekeluarga teruskan berdoa.”

Lantas aku meletakkan talian kemudian berpaling ke arah tubuh emak kepada wanita tu. Jasad tua itu terlantar lesu di atas sebuah katil.

Tiub pernafasan jelas terletak antara mulutnya bersambung ke mesin bantuan pernafasan.

Turun naik pergerakan dadanya, patuh mengikut aturan setting pada mesin tersebut.

IKLAN

Dia tiba sebentar tadi dalam keadaan hampir tak sedarkan diri. Nafasnya termengah-mengah dan bila dadanya diaskultasi, bunyi paru-paru kedengaran terlampau sempit menggambarkan proses pernafasan yang teramat sukar.

Rawatan awal segera diberikan namun keadaannya masih serupa.

Lantas kami terpaksa memasukkan salur tiub ke dalam saluran pernafasan lalu menyambungkannya ke mesin bantuan pernafasan.

Terpaksa.

Demi mengelakkan bebanan melampau pada tubuh yang boleh mengakibatkan degupan jantung terhenti secara tiba-tiba.

Kisah ini hampir sama dengan apa yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di negara kita.

Ada pesakit yang tak bernasib baik. Dijangkiti entah dari mana. Demam, batuk, selsema lalu kemudian keadaan merosot secara tiba-tiba.

Serangan teruk pada fungsi pernafasan hingga akhirnya bergantung pada mesin bantuan.

IKLAN

Yang paling menyakitkan, mereka terpaksa lalui semua itu seorang diri.

Ibu Diwadkan Akibat Covid-19 & Anak Terus Rayu Nak Jumpa Walau Sekejap!

Bermula sejak tiba ke hospital, berpindah ke unit rawatan rapi atau ke wad pengasingan, ianya menjadi sebuah perjalanan yang teramat sunyi.

Tiada ahli keluarga yang dapat menemani.

Tiada kawan mahupun sahabat handai yang hadir menjenguk.

Dan jika ditakdirkan penyakit tersebut meragut nyawa, maka hanya pasukan dari bahagian kesihatan saja yang mengurus jenazah.

Tiada waris yang melihat dan mendekati jenazah hinggalah selesai pengkebumian.

Percayalah.

Selagi mana rantaian virus ni tak diputuskan, selagi itulah kesedihan begini akan terus berulang.

Dan ia boleh berlaku pada aku sendiri, kau dan kita semua.

sumber : Dr Ahmad Luqman Bukhari.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI