Anak anugerah yang terindah bagi pasangan yang sudah berkahwin. Dalam mendidik anak-anak ada caranya, tidak boleh terlalu tegas dan tidak juga terlalu lembut.
Bukan mudah sebenarnya mahu melayan karenah anak-anak yang bermacam-macam. Namun sebagai orang tua, kita kena bijak memainkan peranan. Ada masanya anak buat kesilapan tetapi kita kenalah menegur dengan berhemah.
Berikut beberapa sifat yang patut dielakkan oleh ibu bapa jika tidak mahu anak-anak menderita dalam diam. Bimbang ia boleh memberi kesan negatif pada diri mereka.
Jom semak apakah sifat tersebut:
1. Garang Melampau
– Garang boleh tapi jangan sampai tahap bengis ( fierce ). Anak yang ada ibubapa yang bengis ni akan mati sifat inovatif dan kreatifnya kerana setiap kali si anak ni nak buat idea baru yang terlintas di fikiran, mereka akan diselubungi ketakutan. Yela, asyik kena tengking je bila nak buat benda yang ‘pelik’ di mata mak ayahnya.
2. Terlalu Ego
– Kadang-kadang akan ada waktunya si anak kita tu buat benda betul tapi disebabkan ego kita yang selangit tinggi ni buat kita rasa nak hukum juga si anak tu! Contohnya anak tegur kita tak solat lagi, kita pulak pergi pukul si anak tu kononnya biadap dengan orang tua. Akhirnya sistem judgment anak kita jadi tak seimbang, dah tak reti nak bezakan baik dan buruk.
3. Pendengar Yang Teruk
– Tanpa kita sedar bila dah lama jadi mak ayah ni kita ingat ilmu parenting paling terbaik adalah kena perbetulkan dan tegur si anak. Jadi kita cuba sedaya la tegur perangai buruk anak tanpa kita tahu pun bahawa kebanyakan anak ni bertindak liar sebab kita tak pandai mendengar luahan hati mereka. Jadi mereka bertindak liar sebab nak tarik perhatian kita dan supaya kita dengar rintihan hati mereka.
4. Terlalu Sibuk
– Antara 5 Language Of Love yang diketengahkan oleh Dr Gary Chapman adalah Quality Time. Kadang-kadang kita tak sedar walaupun dah 10 jam kita bersama anak tapi kita sebenarnya dikira SIBUK juga bila perhatian kita pada anak cuma 10 minit je. Yela, 10 minit je eye contact kita pada mata si anak, selebihnya screen-contact dengan handphone dan TV. Anak kat tepi akhirnya jadi tunggul dan ditinggal sepi tak diperhati.
5. Lupa Nak Jadi Role Model
– Di awal perkembangan anak, mereka akan cari seseorang untuk ditiru. Mula-mula si anak akan tiru cara senyum kita, mimik muka kita, gaya berjalan kita hingga akhirnya dia akan cuba juga meniru akidah dan perbuatan kita. Itulah kekuatan Mirror Neuron.
Tanpa kita sedar segala keburukan kita pun si anak kita TIRU TANPA KITA SEDAR! Kita suka minum manis, anak kita tiru. Kita suka cakap kotor anak kita pun guna perkataan kotor tu di sekolah dan jangan pelik kalau kita layan pasangan kita dengan teruk, anak kita pun turut sama layan pasangan hidupnya dengan teruk bila dah menikah nanti!
p/s: Layan isteri macam permaisuri di depan anak-anak supaya mereka faham betapa bahagianya bila bagi layanan terbaik pada pasangannya nanti.
Sumber: Taufiq Razif & t.me/NotaTaufiqRazif
“Dulu Ibu Mandikan saya, Kini Giliran Saya Jaga ‘Syurga’ kami. Perkongsian Ustazah Siti Nor Bahyah Jaga Ibunya Sakit. Sebaknya Baca!
Berpeluang mengikuti satu ceramah personaliti ini membolehkan penulis menyelami hati seorang anak yang bernama Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah.
Sebagaimana lemah lembut dan sopannya pertuturan beliau, demikian juga caranya dalam mengendalikan ibu ratu hatinya.
Wajahnya sentiasa mengukir senyuman, namun mungkin ramai yang tidak tahu akan kesihatan ibunya yang kurang baik baru-baru ini. Ibunya mempunyai ketumbuhan di dalam perut dan perlu dibedah.
Ustazah Bahyah berkongsi cerita mengenai situasi ibunya. Nadanya cukup emosi luhur dari hati seorang anak yang cukup sayangkan ibunya membuatkan tetamu yang hadir begitu sebak dan ada yang tidak dapat menahan air mata mendengar cerita tersebut.
“Saya anak sulung, ibu panggil Intan dan itu nama saya dalam keluarga. Dan saya panggil ibu Yang, bermaksud sayang. Sebab arwah abah panggil ibu dengan panggilan Yang. Jadi kami satu keluarga juga memanggil Yang termasuklah juga ustaz Akashah. Sebab kami sayang sungguh-sungguh.
“Tapi tak sangka ada ujian dari Allah SWT. Sekarang saya sedang menjaga bonda ratu hati yang tidak sihat sekarang. Siapa tak sayang mak. Kalau seorang ibu tak sanggup melihat anaknya sakit, begitu juga dengan anak. Hancur luluh hati saya bila dapat tahu ibu saya jatuh sakit.
Menurut Ustazah Bahyah lagi, bulan 7 adalah tarikh hari jadi dan juga hari ulang tahun perkahwinannya. Jadi mereka sekeluarga biasanya akan keluar bercuti, tetapi kali ini segala program ditunda semuanya demi menjaga Ibu Ratu Hati yang tidak sihat.
“Ibu kerap demam dan gastrik. Satu hari kami sekeluarga nak bawa ibu keluar jalan-jalan dan membeli belah, saya lihat muka, tangan dan matanya kuning. Jadi saya ajak ibu ke klinik. Bila di sana, doktor periksa muka, mata dan perut ibu semua dah kuning dan perlu ke hospital dengan segera.
Waktu itu, ibu saya tidak mahu dan cakap tangguh dulu biarlah selepas selesai majlis hari jadi saya yang dibuat serentak dengan majlis akikah cucu keenam saya nanti kerana kami merancang bersama majlis tersebut dan ibu saya teruja untuk menyambutnya.
“Selesai jumpa doktor, tiba-tiba jururawat panggil semula kerana doktor mahu berjumpa saya sendirian.Jadi ibu dan anak perempuan saya menanti di luar bilik.Waktu itu doktor minta saya bawa ke hospital segera. Jangan dengar cakap ibu saya untuk pulang ke rumah terlebih dahulu. Cemas hati saya ketika itu.Jadi saya pun bawa ibu ke hospital swasta berhampiran rumah dan ketika pemeriksaan nampak ada ketumbuhan yang memerlukan pemeriksaan lanjut dan pembedahan.
“Waktu itu doktor minta saya terus ke HUKM segera untuk pemeriksaan lebih mendalam dan bila diminta nak balik rumah untuk kemas barang, doktor tak benarkan kerana minta terus ke hospital.
Apabila dibuat pemeriksaan dan seminggu di sana untuk pemeriksaan lebih mendalam ternyata ada ketumbuhan pada bahagian belakang hempedu berdekatan pankreas dan doktor cadangkan supaya buat pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.
“Waktu itu saya bayangkan sebelum ini ibu sudah sakit ketika melahirkan kami dan kini ibu perlu menanggung lagi kesakitan dengan pembedahan di perutnya.Saya tak sanggup lihat ibu sakit, jadi saya minta kebenaran untuk bawa pulang ibu selama seminggu.
“Lepas berbincang satu keluarga kami bersepakat ikhtiar rawatan alternatif dan juga perubatan Islam, rawatan tradisional secara kampung, solat hajat, baca yasin dan ikhtiar mencuba makan segala-galanya yang baik.
Saya sekeluarga dan juga adik beradik berusaha sedaya upaya dengan doa dan harapan semoga ibu tidak perlu menjalani pembedahan.Apabila tiba waktu temu janji dan saya minta sekali lagi doktor scan untuk kepastian dan ternyata memang ada lagi ketumbuhan tersebut.Ibu menangis.Saya juga menangis.
Allah mengatur yang terbaik.
Jadi waktu itu saya cakap pada ibu “Yang kalau Yang tak nak dibedah takpe Intan tak kisah kerana Intan tak sanggup lihat dan kita usaha sama-sama lagi ye. Tapi Yang kita semua dah cuba segala-galanya dan sekarang kita tawakkal kepada Allah dan berserah kepadaNya.”
“Ketika itu ibu pandang wajah saya kerana dia tahu saya dah usaha macam-macam dan dia cakap takpe Intan, kita tawakkal kepada Allah dan lagi pun kalau tak buang nanti bahaya. Jadi selama 16 hari 15 malam di HUKM, alhamdulillah dengan izin Allah SWT, ibu selamat menjalani major operation selama 6 jam. Apabila ibu keluar dan nak dibawa ke ICU rasa sedihnya amat mendalam apabila melihat orang yang amat kita sayang dalam kesakitan.
Disebabkan itu, Ustazah Bahyah mengambil keputusan tidak pergi ceramah demi menjaga ibu tercinta.Sebaliknya segala urusan diganti oleh anaknya.
“Sudah sampai masa untuk saya pula ambil alih kerana sudah lama ibu menjaga saya selama ini. Bagi saya pengorbanan yang saya lakukan ini kecil sahaja dibandingkan apa yang ibu berikan selama ini. Pengorbanan ibu terlalu besar dan amat berharga.Selepas keluar dari ICU, kami adik-beradik sepakat untuk letakkan ibu di bawah wad pengawasan pakar. Mahal pun takpe . Ustaz Akashah cakap takpe duit boleh cari, tapi ibu takkan dapat cari.
“Selepas pembedahan, ibu tak boleh menguruskan diri termasuklah mengambil wuduk, tak boleh bergerak, solat di atas katil. Ibu sedih dan cakap tak sangka Allah akan uji dia begini. Namun saya sabarkan ibu dan cakap Allah sangat sayangkannya. Apabila dibawa pulang ke rumah, saya bersama anak perempuan dan juga menantu perempuan yang uruskan ibu. Ustaz Akashah,anak-anak lelaki, menantu lelaki dan cucu-cucu tersayang turut membantu menjaga dan merawat syurga kami.
Tak sangka Allah beri peluang berharga pada saya kerana dulu ibu yang memandikan, sabun dan shampo kan saya. Kini peluang saya pula untuk berbuat hal yang sama pada ibu ratu hati saya. Air mata bergenang bila mandikan ibu dengan penuh kasih sayang.Pakaikan ibu baju & siapkan ibu serta suapkan ibu makan.Wudhukkan ibu agar dapat beribadah dengan tenang.
Bahagianya hati ini bila Allah beri kesempatan untuk menjaga syurga saya.Ustaz Akashah selalu berpesan “Yang adalah syurga kita semua.Sama-samalah kita berbakti dengan memberikan yang terbaik.”
Saya sentiasa berdoa supaya Allah beri kekuatan untuk saya terus menjaga ‘syurga’ kami.Alhamdulillah adik-adik tersayang sekeluarga turut sama hadir membantu menjaga syurga kami.
“Ibu bapa adalah syurga kita.Usah dibiarkan hati mereka sunyi tanpa perhatian, belaian, kasih sayang dan juga bakti dari anak-anak.Usah lukai hati mereka kerana hidup takkan bahagia tanpa redha kedua ibu bapa.Saya berdoa kepada Allah supaya jangan ambil ibu, panjangkan usianya dalam kesihatan yang baik dan iman yang sempurna kerana saya mahu menjadi anak yang solehah yang berbakti kepada ibu ratu hatiku.
Tanpa ayah dan ibu mana mungkin kita lahir ke dunia ini, tanpa mereka tak bisa kita melihat bulan dan matahari. Tanpa pengorbanan mereka siapalah kita pada hari ini. Anak-anak tak tahu ada hati ibu bapa terluka bila tak nak dengar cakap. Inilah syurga kita. Rebutlah syurga kita sebelum syurga di bawa pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Saya tak dapat bayangkan kalau ibu dah tak ada. Tak sanggup kehilangan ibu ratu hati.Jadi saya hanya berdoa pada Allah biarlah Dia panjangkan umur ibu saya dalam keadaan yang sihat,”ujar Ustazah Bahyah lagi.
Begini Cara Jadikan Rumah Sehebat SBP dan MRSM. Superb Perkongsian.
Setiap ibu bapa tentunya inginkan anak menjadi seorang anak yang pandai. Malah ada yang sanggup mengupah dan menyediakan kelas tambahan buat anak, agar memastikan anak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau maktab sains. Malah ada segelintir, ibu bapa merasakan kecewa dan menganggap anak tiada masa depan apabila tidak berjaya melanjutkan pelajaran.
Malah ada pula yang beranggapan bahawa anak yang bersekolah harian tidak mempunyai masa hadapan. Namun, hakikatnya dakwaaan ini tidak benar sepenuhnya. Ada anak yang berjaya walaupun bersekolah harian. Atas sikap ibu bapa yang prihatin dan tidak putus untuk kecemerlangan anak, pastikan akan membuatkan hasil kelak.
Begitulah yang dikongsi oleh puan Nurul Hanan Arifin bahawa anak tetap boleh berjaya dan cemerlang dapat hidup walaupun bersekolah harian. Beliau menjelaskan bahawa rumah boleh dijadikan sehebat SBP dan MRSM jika ibu bapa tegas dalam pendidikan anak-anak. Ikuti perkongsiannya.
Di pagi yang hening ini, saya kongsikan perkongsian saya yang tular dahulu, mengenai rumah sebagai institusi pendidikan. Seperti mana yg dicetuskan oleh Mantan Menteri Pendidikan kita yg begitu hebat, Dr Maszlee Malik, bahawa agar SBP dan MRSM memberi peluang yg adil kepada anak-anak B40. Lantas kita berfikir, bagaimana aku mahu didik anak di rumah?
Bagaimana menjadikan rumah kita sehebat SBP dan MRSM, walaupun anak saya di sekolah harian?
Isu kuota SBP dan MRSM menjadi topik hangat. Seperti biasa, saya hanya berminat memandang ke hadapan. Apa yang kita boleh lakukan sebagai ibu dan bapa bagi memastikan kualiti anak yang dilahirkan nanti sehebat kualiti SBP dan MRSM, walaupun mungkin nanti anak-anak kita tidak dapat mengulangi jejak langkah kita ke SBP dan MRSM.
INI CARANYA RUMAH SEHEBAT SBP DAN MRSM
Tulisan ini hanyalah pencetus, banyak lagi yang belum lengkap. Sudi-sudikan sahabat budiman menambah input. Banyak adalah dari pengalaman yang dilalui sendiri, melihat di hadapan mata sendiri bagaimana rumah mampu menjadi pengeluar produk seperti SBP dan MRSM, dan pergi ke sekolah harian.
1. Buatkan jadual waktu yang baik di rumah yang mengimbangi rehat, ibadah, ulangkaji, bersukan dan riadah, sosial. Kesemua ini akan membentuk peribadi anak yang seimbang dan cemerlang. Orang yang berjaya adalah orang yang mengetahui had-hadnya dan bergerak dalam lingkaran itu. Hatta anak 3 tahun yang bijak tanpa diberitahu bahaya yang dihadapi akan mengakibatkan kecederaan pada dirinya. Begitulah peranan ibu bapa, membentuk ruang lingkup untuk anak-anak melaluinya.
2. Wujudkan dan latih anak dengan nilai-nilai keluarga yang utuh. Nilai ini meliputi agama, kemanusiaan, nilai keluarga, nilai-nilai berkawan, nilai bermasyarakat dan sosial, nilai kecemerlangan akademik, nilai kepimpinan. Nilai-nilai ini perlu dihadam dalam perbincangan dan pertukaran interaksi melalui perbualan dan aktiviti. Suburkan dalam keluarga perbincangan-perbincangan ini dan aktivitnya. Ini membentuk gaya fikir anak dan anak akan matang membawa diri di kalangan sahabat dan guru mereka.
3. Latih anak dengan kerja rumah harian dari kecil. Kemas katil, kemas bilik, sapu sampah, kemas dapur, angkat pinggan, isi air, basuh kasut, basuh tandas, basuh kereta, basuh beg, gosok baju, basuh baju. Semua ini boleh dilatih bertahap pada usia sekolah rendah. Jangan berikan alasan ada bibik. Tidak perlu tunggu sekolah menengah. Dan pastinya tidak perlu tunggu SBP dan MRSM. Tidak perlu tunggu inspection oleh MPP di pagi Ahad. Ibu dan ayah perlu buat inspection, ajar anak stretch katil, ajar anak kemas baju, sidai tuala,tutup lampu, basuh tandas.
4. Wujudkan waktu belajar ulangkaji bersama. Membaca, habiskan homework, buka pelajaran yang diajar walaupun tiada homework. Bincang-bincangkan kandungan buku. Sekiranya ibu ayah yang buat begini, percayalah. Minat anak terhadap sesuatu subjek akan lebih mendalam, kerana dapat bonus bonding dengan ibu ayah.
Ayah saya seorang pendidik di rumah. Ada hari-hari yang kami buka buku dengannya. Ayah hebat bahasa, sejak sekolah rendah, saya belajar cara menulis esei dengan baik dari ayah. Sering karangan kami menjadi contoh dalam kelas.
Apabila musim peperiksaan, beri galakan anak mengulangkaji. Pada peringkat ini anak mungkin sudah ada gaya ulangkaji tersendiri. Beri ruang, pastikan ia boleh belajar. Buatkan air milo dan biskut peneman ulangkaji. Ada sela masa sembang dan menjadi rakannya. Ibu saya memang akan ronda bilik anak-anak pada musim peperiksaan dan membawakan secawan milo panas, meneman kebuntuan ulangkaji.
Dari awal tahun, bincangkan sekiranya ada topik yang tidak difahami. Ajar anak untuk bertanya guru atau rakan yang lebih mahir. Kita tidak perlu tahu semua tapi perlu tahu apa yang tidak tahu agar dapat diusahakan penyelesaiannya. Kalau perlu sahaja, bolehlah pergi ke kelas tuisyen subjek yang agak buntu, bukan semua subjek! Saya percaya anak tuan puan yg hebat ini bijak-bijak seperti ibu ayahnya juga.
5. Seperkara yang amat penting ialah minta anak anda buat jadual belajar. Sejak saya PMR, ibu saya minta saya rangkakan jadual belajar yang saya selesa. Berwarna warni jadual saya. 8 subjek, ketika itu di SMK Seksyen 5, Wangsa Maju. Saya tidak pernah ke tuisyen, hanya pesonal coaching utk topik yang saya rasakan mencabar. Jadual belajar saya tadi, tidak rigid. Kadangkala diubahsuai. Mama pernah tanya, dari jadual tu, berapa % yang berjaya dibuat? Saya jawab 70%. Saya ingat hingga sekarang.
6. Pastinya perlu wujud ruang belajar di rumah. Meja, kerusi, lampu, juga buku-buku rujukan. Ibu ayah perlu bantu cari bersama. Ia harus kodusif, selesa. Ada jadual belajarnya yang tidak boleh diganggu. Ketika musim peperiksaan, masa saya menolong ibu ayah di dapur juga dikurangi. Ibu ayah perlu bantu anak disiplin. Bukan memaksa tetapi perlu diberi dalam bentuk kesedaran. Bak kata mama saya, biar dier rasa juga dapat markah rendah supaya ia tahu kepentingan untuk belajar.
7. Galakkan anak dan sokong anak untuk terlibat aktif dengan aktiviti sukan dan ko kurikulum. Galakkan mereka untuk serius hingga ke tahap yang tinggi untuk dua aktiviti. Ini memberikannya keyakinan yang tinggi. Percayalah. Inilah kelebihan di SBP dan MRSM. Aktiviti seperti debat, sukan pelbagai jenis, kepimpinan pelajar atau pengawas, MPP. Kelab-kelab catur, bahasa, kesenian, pertanian. Sukan dan ko-kurikulum melatih kepasukanan, kepimpinan, hakikat kehidupan yang lebih hakiki dari akademik semata-mata. Semua kemahiran ini amat terserlah apabila di alam pekerjaan. Begitu juga aktiviti kemanusiaan. Latih dan hubungkan anak-anak dengan aktiviti berbentuk kemanusiaan, boleh dipergiat dengan lebih meluas di sekolah-sekolah.
8. Biar anak anda mempuyai hobi unik. Ini membentuk personaliti dan karakter. Ia menjadikan mereka istimewa. Ia menjadi sumber keyakinan, mencipta imaginasi dan kreativiti. Ia juga sebagai ruang untuk hilangkan tekanan. Saya mempunyai hobi mengecat botol kaca dengan adik beradik, sebelum itu menjahit uncang dari kain perca. Ada juga hobi membuat cookies dengan rakan-rakan dan menjualnya kepada para guru. Yang lelaki pasti lebih mencabar hobinya. Saya juga gemar memanjat bukit dan berbasikal!
9. Sediakan makanan yang seimbang dan sihat. Setiap hari pastikan kita menyediakan makanan yang baik untuk keluarga. Kita perlu sediakan budget yang baik untuk ini. Dari pagi hingga malam, biarlah makanan kita seimbang dan sihat! Seperti makanan di Dewan Selera Asrama! Jangan sediakan budget hanya untuk percutian keluarga, rumah, perabot atau kereta kita sahaja, ya.
10. Amalkan solat berjemaah harian, wirid pagi petang harian, membaca Al Quran bersama ibu ayah, liqo keluarga mingguan, aktiviti masjid keluarga, aktiviti program agama sekeluarga. Ini semua yang keta buat di SBP dan MRSM kan. Ia mengisi rohani kita di asrama dahulu. Percayalah kita, pasangan dan anak-anak kita turut perlukannya di rumah. Bahagiakanlah rumah kita dengan membimbing keluarga kita dengah ibadah bersama keluarga. Pasti hubungan keluarga kita lebih tenang dan indah.
11. Kenal, pantau, lihat dan terlibat dengan siapa anak-anak kita berkawan. Usia remaja usia belajar menginjak dewasa. Jadikan anak remaja sebagai kawan. Ajak mereka ke rumah. Beri sokongan aktiviti mereka. Beri mereka kepercayaan. Jelaskan syarat-syarat dan ingatkan nilai-nilai kita. Jangan lupa doakan mereka. Bincang semula permasalahan atau pelanggaran nilai jika berlaku. Selami cara untuk mendekati mereka. Kadangkala perlu tundukkan ego.
IBU BAPA KENA NEKAD
Kelebihan semua di atas, apabila ia dilakukan di rumah, ia melebihi kehebatan SBP dan MRSM itu sendiri. Kerana ia dikelola oleh ibu dan ayah yang penyayang. Sungguh bertuah anak-anak yang dapat melalui pengalaman persekolahan berdekatan keluarga, cemerlang dalam pendidikan dan kehidupan, di hadapan mata ayah bonda tercinta!
Nah, boleh tak? Ibu ayah semua lepasan SBP dan MRSM yang gah semuanya, kan? Guru-guru kita dah didik kita , buktikan didikan mereka tak sia-sia. Kita adalah produk yang dilahirkan. Ulangi kecemerlangan itu, kali ini bermula dari rumah kita lagi. Anak-anak anda pasti lebih hebat. Ibu saya sering berkata, lahirkanlah generasi yang lebih hebat dari generasi kita.
Ini fasa ibu bapa menajamkan kemahiran keibubapaan, kekeluargaan. Lebih pantas kita bertindak meninggalkan idealism lama, lebih maju kita menerima hakikat masa hadapan. Banyak ruang model SBP dan asrama yang boleh dicerna dan dicerakinkan di peringkat sekolah harian dan di rumah bersama keluarga. Ini fasa ibu bapa menjiwai tugas kita bukan sekadar melahirkan dan membesarkan anak, malah menajadi pendidik dan pembimbing pelajaran dan kehidupan.
Semoga penulisan ini dapat memberi sisi pandang yang segar, menyediakan kita ntuk masa depan dari sekarang. Biasalah, perkara baharu memang akan terasa mencabar dan susah. Ia bukan senarai terhad. Tetapi ia harus bermula di suatu titik.
Melihat satu cabaran sebagai permasalahan tidak akan mampu menyelesaikan isu. Akhirnya akan tinggal alasan. Saya sedar ramai yang masih berkira-kira untuk menerimanya. Mungkin boleh menjadikan panduan di atas sebagai pertimbangan. Semoga perkogsian ini bermanfaat kepada ramai.
Kredit: Nurul Hanan Arifin
“15kg Kertas Boleh Tebus 5kg Beras, 1kg Tin Boleh Tebus 1kg Minyak Masak….”-Tukar Barangan Kitar Semula Dengan Keperluan Harian!
Boleh dikatakan dalam sehari ada sahaja tin minuman kosong, kertas, botol dan sebagainya kita buang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Namun tahukah anda, terkini setiap barang-barang yang boleh dikitar semula apabila dikumpulkan dengan jumlah berat tertentu boleh ditebus dengan makanan seperti beras, minyak, garam, gula dan sebagainya.
Ini sebagaimana memetik berita yang dilaporkan di Harian Metro, idea tukar barangan kitar semula seperti itu bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan memulihara alam sekitar.
Langkah itu bakal diperkenalkan melalui projek Life Initiative for Earth (LIFE) anjuran Edotco Malaysia (edotco) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, projek merangkumi lima negeri di Malaysia itu menyasarkan pengumpulan sebanyak 50 tan sampah yang boleh dikitar semula.
Katanya, Selangor dipilih sebagai lokasi pertama projek diikuti Sabah pada 22 hingga 26 Oktober ini, Melaka (23 dan 30 Oktober), Pahang (6 November) dan Perak (21 November).
“Hari ini (semalam) sebanyak 120 bungkusan sampah berjaya dikumpulkan penduduk Kampung Sungai Kajang di sini.
“Langkah itu bermula dengan fasa kesedaran di mana penduduk dididik mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
“Kemudian, ia beralih ke fasa kedua membabitkan program pertukaran bahan kitar semula kepada makanan sebagai penghargaan atas usaha mereka,” katanya tadi.
Terdahulu, sebanyak 20 kotak makanan disumbangkan kepada keluarga asnaf yang turut bersama menyokong dan menjayakan projek LIFE.
Selain itu, sebanyak 20 pokok bucida atau dikenali ‘pokok doa’ ditanam di salah satu lokasi kilang memproses gula sawit terawal di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, Wan Zainal berkata, untuk memudahkan pertukaran bahan kitar semula, kaunter pandu lalu akan dibuka bagi memudahkan penduduk menghantar bahan kitar semula yang telah dikumpulkan.
Beliau memberi contoh, satu kilogram kadbod atau kertas boleh menebus satu paket garam, diikuti tiga kilogram kadbod (satu kilogram tepung atau gula), 15 kilogram kadbod (lima kilogram beras), satu kilogram tin atau aluminium (satu kilogram minyak masak) dan 30 beg plastik (satu karton susu).
“Sebagai pertukaran, mereka dapat menebus barang-barang untuk keperluan harian dan berpeluang menerima keperluan makanan asas mengikut kuantiti serta kategori bahan kitar semula yang dikumpulkan.
“Pertukaran ini menawarkan barang keperluan asas seperti beras, susu, minyak masak, tepung, gula dan garam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya terpanggil untuk menjalankan Projek LIFE bersama edotco Malaysia dengan objektif menjaga kelestarian alam di samping membantu golongan asnaf.
“Melalui program ini, kami bakal menyentuh beberapa teras daripada sasaran pembangunan mampan (SDGs) yang telah dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
ARTIKEL MENARIK:“Personal Loan Ni Macam Virus..” – Pastikan Tahu Urus Duit Jika Tidak Boleh Muflis!
LAGI ARTIKEL MENARIK :Pakar Jelaskan Punca Kemerosotan Tulang & Otot, Serta Tips Pemakanan Yang Baik. Sila Take note, Rugi Kalau Tak Tahu!
Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual untuk anda merasai seperti berada di Ripleys Believe It or Not Adventureland Genting Highlands dan beberapa lagi tempat menarik di Genting Highlands!
Bila anda join event ini, anda juga layak menerima 2 tiket Ripleys Believe It or Not Adventureland Genting Highlands secara PERCUMA untuk anda sekeluarga.
Bukan itu sahaja malah banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama-sama sepanjang program ini. Jadi jangan tunggu lagi, tempat terhad! Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club