Ibu bapa sempat hantar Ku Adib ke UiTM Dungun Sabtu lalu sebelum berangkat ke Makkah. Ibu bapa kepada Allahyarham Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, sempat menghantar anak mereka ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu pada Sabtu lalu.
Bapa saudara mangsa, Muhd Nadzir Mohd Sahrum, 32, berkata, sepupunya yang juga ibu kepada Ku Adib, Hafizah Iszahanid dan suaminya, Ku Azmi Saad memaklumkan menghantar Allahyarham ke kampus selepas cuti semester berakhir.
“Saya difahamkan ibu bapa arwah sempat hantar Ku Adib mendaftar semester baru dan bermalam di sana.
“Kedua-dua ibu bapa arwah pula berlepas ke Makkah bagi mengerjakan umrah pada Rabu lalu, namun terpaksa berpatah semula sebaik mengetahui kejadian ini,” katanya.
Muhd Nadzir memberitahu, Hafizah dan suaminya berlepas dari Jeddah dan mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 4 petang ini.
“Kita tunggu mereka sampai dan ketika ini jenazah dalam perjalanan dari Bentong menuju ke rumah arwah di Taman Seri Pristana, Sungai Buloh,” katanya.
Sementara itu, datuk kepada Allahyarham Ku Adib, Iszahanif itam, 74, berkata, dia menerima khabar duka itu selepas menunaikan solat Isyak di masjid.
Jelasnya, isterinya, Fauziah Osman, 63, menghubunginya memaklumkan anak sulung daripada empat beradik itu meninggal dunia akibat kemalangan.
“Isteri saya di sana (Seri Pristana) kerana menjaga tiga cucu kami selepas anak dan menantu mengerjakan umrah.
“Selepas dimaklumkan kejadian itu, saya terkejut dan tidak menyangka arwah terlibat dalam kemalangan dan telah meninggal dunia,” jelasnya.
Katanya, dia dan beberapa ahli keluarga bertolak dari Chemor, Perak kira-kira jam 8 pagi Rabu.
“Saya masih menanti ketibaan jenazah yang dalam perjalanan dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di sini,” katanya.
Difahamkan, jenazah Ku Adib dijangka tiba di kediamannya di Taman Seri Pristana, kira-kira jam 5 petang.
Jenazah akan dikebumikan selewat-lewatnya malam ini bagi menunggu ketibaan kedua ibu bapa Ku Adib yang kini dalam perjalanan pulang dari Jeddah.
Terdahulu, tiga pelajar UiTM Dungun dilaporkan maut manakala seorang cedera parah akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita malam Rabu.
Sewaktu kejadian, Ku Adib, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Mohd Akmal Tukirin, 25, dan Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, sedang menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha Y15.
Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik makam malam bersama, bagaimanapun sebaik tiba di pintu hadapan kampus, dua motosikal dinaki kesemua mangsa tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan Honda CRV terbabit.
Rempuhan itu menyebabkan empat penuntut tersebut tercampak, manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Baru Bersalin Di Hospital
Pernah Tular Enam Ahli Keluarga Terkorban Kemalangan Jalan Raya, Abdur Rahman Kini Sambung Pengajian
Imam Sempat Iqamat, Cium Anak Perempuan Baru Lahir Sebelum Maut Kemalangan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my