Ibu Ayah Tak Perlu Kalut Jika Anak Tak Skor A Bila Exam. Ini Sebabnya Kena Baca Dan Hadam Kisah Benar Dr Maszlee Malik

Share

Rentetan daripada pemansuhan peperiksaan bagi kanak-kanak darjah 1 hingga 3 mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat Malaysia. Namun disebalik isu itu, ikuti catatan Menteri Pendidikan Malaysia,  Dr Maszlee Malik yang pernah dipaparkan di laman facebooknya pada 17 Ogos 2015 yang sungguh menyentuh hati. Dalam catatannya beliau berkongsi cerita apabila keputusan peperiksaannya yang tidak cemerlang mengakibatkan ibu bapanya kecewa ekoran akademik menjadi kayu pengukur kejayaan seseorang. Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan bagaimana mentaliti pendidikan negara maju dalam bidang pendidikan. Ikuti perkongsian beliau yang sungguh motivasi. Moga kita muhasabah diri untuk menjadi ibu bapa dan guru yang hebat dalam mendidik anak-anak.

___________________________________________________________________

Jangan Dibunuh Jiwa Anak-Anak

Pada setiap kali hari laporan murid di kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia, seringkali banyak drama yang berlaku. Kebanyakan guru-guru mengambil peluang untuk melepaskan geram terhadap murid kepada ibubapa. Bagi anak-anak murid yang cemerlang dan baik, mereka beruntung, bergunung pujian diberikan. Nasib tidak seperti itu bagi murid-murid di kelas corot ataupun mereka yang hyper aktif atau di dalam bahasa lainnya, yang nakal.

Saya masih lagi teringat peristiwa hampir 27 tahun yang lalu apabila ibu saudara saya yang membela saya menghadiri hari laporan di sekolah Maktab Sultan Abu Bakar (English College) sebagai penjaga saya. Di hadapan saya, guru kelas mengatakan, “Maszlee ni memang pandai, tetapi dia nakal, banyak cakap dan berjiwa rebelious…”. Bukan sekadar itu sahaja, disebutkan juga kelemahan saya di dalam matematik, Geografi dan kegemaran saya hanya untuk melukis walaupun ketika guru sedang mengajar.

Apa yang menimpa saya itu jugalah selalu menimpa murid-murid lain di kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia. “Anak anda malas, anak encik suka buat bising, anak puan malas membaca, anak pakcik lemah matematik, anak makcik tak membuat kerja rumah…” dan seribu satu lagi komen negatif kehadapan ibubapa atau penjaga di hadapan anak-anak mereka. Ibubapa Melayu pulak suka bersikap dramatik dan emosional. Bukan hendak mencermin diri, malah meletakkan segala kesalahan ke atas anak-anak. Maka berlakulah babak-babak drama swasta di hari laporan. Ada yang berjujuran air mata, “Sampai hati kau buat mak macam ini, mak habiskan duit untuk kau belajar….tapi kau jadi syaitan…”, “Hah dengar tu kata cikgu!”, “Kau memang degil, tak dengar cakap mak!” dan bermacam lagi gaya yang sebenarnya hanya helah bela diri tidak mahu menyalahkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Jika para bapa pula, ada yang terlebih emosi dan menunjukkan egonya dengan memukul anaknya di hadapn guru yang melaporkan hanya kerana mendapat E ataupun kerana anaknya dikenakan tindakan disiplin di atas kesalahan yang dilakukan berdasarkan laporan-laporan negatif sang guru. Pada waktu itu cikgu menarik nafas lega, ibu bapa dapat melepaskan amarah…dan anak-anak tersiksa tanpa mendapatkan sebarang panduan apakah yang patut dilakukan untuk melalui hari-hari ke depan! Apa yang pasti, tertanam di dalam jiwa mereka, bahawa mereka adalah makhluk yang tidak berguna dan tiada secebis kebaikan mahupun harapan untuk mereka menjadi lebih baik…

Hal seumpama ini merupakan satu jenayah dan antara dosa besar untuk dilakukan di negara-negara maju. Adalah tidak berintegriti bagi seorang guru untuk memberikan komen negatif anak-anak kepada ibubapa mereka dengan kehadiran anak-anak itu. Menjadi satu sikap tidak bertanggungjawab juga untuk ibubapa memarahi apatah lagi memukul anak-anak di hadapan guru. Bagi mereka, itu merupakan sikap tidak bertamadun dan jauh sekali menyelesaikan masalah. Komen negatif guru di hadapan murid dan ibubapa hanya akan menyebabkan murid-murid hilang keyakinan diri, hilang punca dan tidak akan dapat menghargai dirinya sendiri. Sikap tersebut juga menunjukkan kegagalan guru untuk mendidik dan melihat bakat atau kebaikan dan sudut positif di dalam jiwa murid-murid. Seolah-olah pandangan mata mereka hanya kepada perkara-perkara negatif semata-mata. Ini bukannya sikap masyarakat yang maju dan masyarakat yang menang. Ini merupakan sikap orang kalah dan jiwanya lemah. Hanya kelemahan, kesalahan dan juga sudut negatif sahaja yang mereka nampak.

Di negara-negara maju, mentaliti kelas pertama mengajarkan para guru untuk bertanggungjawab untuk mencungkil kehebatan terpendam anak-anak murid. Guru juga berperanan untuk memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak mereka istimewa, dan mereka juga hebat. Maka, kerana mereka hebat dan anak-anak mereka itu istimewa, mereka perlu menggandakan usaha untuk memperbaiki satu dua kelemahan di dalam diri anak-anak mereka. Pokok pangkalnya, mereka mampu dan anak-anak mereka mampu untuk menjadi orang hebat. Tiada anak-anak murid yang tidak hebat pada mata guru-guru di engara-negara maju. Tiada ibubapa yang gagal pada mulut guru-guru negara maju. Maka, anak-anak murid, lemah manapun akademik mereka, nakal mana pun mereka, mereka akan diberikan harapan dan diberikan kepercayaan bahawa mereka istimewa di mata guru dan ibubapa.

Saya teringat lagi pertama kali menghadiri hari laporan murid di UK. Buku rekod murid tidak dihiasi dengan keputusan peperiksaan, kerana tiada peperiksaan untuk murid-murid sekolah rendah kecuali peperiksaan SAT di penghujung darjah enam sahaja. Keduanya, perkataan pertama yang diungkapkan oleh para guru kepada para penjaga ialah, “You son is such an excellent student”, atau “Your daughter is undoubtedly outstanding”, dan juga kadangkala, “Your child is a very hardworking student”…seterusnya guru akan menceritakan segala yang positif mengenai anak-anak walaupun anak-anak tersebut mempunyai 1001 masalah. Apabila sampai kepada kelemahan murid pula, para guru tidak akan sekali-kali mengatakan bahawa ‘Anak kamu lemah dalam…”, atau “anak kamu malas…”, sebaliknya para guru akan mengatakan, “Pada agakan saya, anak anda akan menjadi cemerlang di dalam pelajaran sekian jika…”, ataupun “Anak anda ada potensi untuk menjadi pakar matematik jika dia berikan tumpuan yang lebih untuk menghafal sifir…”, dan lain-lain kritikan konstruktif tanpa merendahkan para pelajar. Apa yang lebih utama, semua laporan itu tidak dilakukan di hadapan para pelajar. Ianya dianggap sebagai tidak membantu para pelajar itu sendiri…

Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan guru-guru kita sepenuhnya. Para guru dibebankan dengan kerja-kerja yang tidak masuk akal. Guru-guru tidak diberikan ruang rehat yang secukupnya di sekolah. Waktu mengajar mereka terlalu beban apatah lagi ditambah dengan 1001 kerja-kerja pejabat yang hanya dilakukan untuk menaikkan nama pengetua dan menteri pelajaran. Guru-guru di Malaysia hanya dijadikan alat untuk menghasilkan murid-murid yang cemerlang di dalam menjawab periksa untuk mendapatkan sebanyak mungkin A di dalam peperiksaan mereka, hatta semenjak anak-anak berada di dalam darjah satu lagi!

Maka, jika di peringkat pembentukan awal syakhsiyah anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah lagi anak-anak sudah tidak dibina self-esteem mereka, maka apabila mereka memasuki dunia kampus, mereka hanya akan menjadi pelajar-pelajar yang average ataupun pelajar-pelajar yang pasif. Di tambah pula dengan kekangan yang pelbagai di dalam menganjurkan program-program yang membina minda dan membuka ufuk pemikiran…sistem pendidikan kita hanya melahirkan siswa dan siswi yang menjadi robot untuk pasaran pekerjaan. Jarang di dapati siswa-siswi yang berfikiran kritis, analitikal dan juga inovatif. Jika adapun, hanya seorang dua, dan amat sedikit jumlah mereka.

Sesuatu perlu dilakukan untuk merubah minda dan jiwa masyarakat kita untuk benar-benar menjadi masyarakat berminda kelas dunia. Ia harus bermula dari peringkat sekolah lagi. Ia perlu dilakukan sedari rumah lagi. Ia perlu disemaikan terlebih dahulu di dalam jiwa guru-guru yang mendidik di dalam bilik darjah dan juga ibubapa yang mencorakkan pemikiran dan minda anak-anak di rumah…

“Your worth consists in what you are and not in what you have.” Thomas A. Edison