Tak dinafikan, sekarang ni semua hidup dalam tekanan fikir pelbagai cara untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga supaya tidak putus dari mendapat rezeki.
Manakan tidak, kehadiran virus yang menggemparkan seluruh dunia kini menjadi asbab seseorang boleh hilang pekerjaan dan punca putusnya pendapatan. Bagi yang dewasa, setakat ikat perut masih lagi mampu tapi tidak bagi anak-anak yang masih kecil yang bukan sahaja perlu sediakan kelengkapan mereka, malah pemakanan mereka perlu dijaga supaya mendapat zat yang mencukupi.
Dek kerana masalah yang membelenggu, ada pula sesetengah ibu bapa melepaskan tekanan mereka pada anak-anak. Lebih-lebih lagi bila mereka buat sesuatu yang salah sehingga boleh membangkitkan amarah ibu ayah, sampai ada yang sanggup cederakan anak-anak mereka.
Jadi ibu ayah, kawal emosi masing-masing, elakkan dari menghukum anak-anak sehingga mendatangkan kesan buruk pada mereka seperti yang dijelaskan dalam perkongsian oleh Dr Redza Zainol ini. Jom ikuti pengisiannya!
Saya paling takut bila mak ayah jadi tertekan dan naik angin bila menguruskan ramai anak kecil di rumah.
Mudah sangat kita jadi hilang kawalan dan mula menghukum anak dengan cara yang sebenarnya sangat bahaya pada mereka.
5 cara hukuman ni sangat bahaya untuk anak
1) Pukul kepala dan muka anak
Banyak organ yang penting ada pada kepala anak. Kepala anak yang dipukul boleh tercedera sehingga berlaku gegaran (cerebral concussion) dan pendarahan dalam otak. Tempurung kepala boleh retak.
Mata boleh cedera sehingga cacat penglihatan anak. Telinga boleh cedera hingga pecah gegendang telinga.
2) Campak anak ke lantai dan dinding.
Bila terlalu marah, ada anak yang dicampak umpama patung permainan. Kesannya, dahi jadi luka, tangan patah, bibir pecah, badan jadi sakit sebab lebam.
3) Baling barang pada anak.
Objek yang keras boleh mencederakan anak. Buku atau permainan yang dibaling boleh buatkan anggota badan anak luka berdarah.
Menghukum anak mestilah dengan niat untuk mendisiplinkan anak dan bukannya untuk mencurah segala rasa marah pada anak.
4) Pukul sampai luka dan lebam.
Lebam dan luka pada badan anak yang kecil dikira keterlaluan. Tak patut untuk seorang budak menanggung sakit disebabkan lebam berhari-hari lamanya.
Jangan terkejut kalau anak kita menyimpan dendam sehingga mereka sudah dewasa.
5) Menggoncang anak.
Inilah yang paling saya takutkan. Bayi atau anak kecil yang digoncang terlalu kuat. Akibatnya sangat teruk.
Anak boleh ada pendarahan yang banyak dalam otak sehingga seluruh otak bengkak, ada pendarahan dalam mata dan patah tulang rusuk serta tulang belakang.