Berita

Ibu Ayah Abai, Halau Rumah. Remaja Ini Terpaksa Tidur Di Koridor & Buang Air Besar Di Tangga!

Share

Anak-anak adalah amanah dan taggungjawab yang perlu diberikan penjagaan dan perhatian sepenuhnya oleh ibu ayah. Sekiranya diabaikan, maka ibu ayah tersebut adalah insan yang tidak berhati perut kerana membiarkan nasib anak-anak tidak terbela.

Kena Tidur Di Koridor Rumah 

Begitulah yang berlaku di Pasir Gudang, Johor ini apabila sepasang suami isteri berusia sekitar 50-an tergamak membiarkan anak mereka berusia 13 tahun tidur di kaki lima rumah. Remaja lelaki itu terpaksa tidur di koridor hadapan rumah kerana dihalau kedua orang tuanya.

Menerusi perkongsian di grup komuniti, jiran memberitahu remaja lelaki itu sudah beberapa hari tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah. Dia bahkan terpaksa membuang air besar di kawasan tangga rumah pangsapuri itu kerana tidak boleh masuk ke rumah.

Tidak mahu dikenali, jiran tersebut turut memberitahu kejadian remaja lelaki itu dihalau bukanlah kali pertama.

“Salam Warga Taman Air Biru. Macam mana ya nak selesaikan masalah remaja Tingkatan Satu ini diabaikan ibu bapa dia.
“Tak dibenarkan masuk ke dalam rumah dah hampir tiga, empat hari tak balik. Ini bukan kali pertama dihalau, malah sudah selalu sangat. Sampaikan remaja ini buang air besar pun di tangga sebab tak boleh masuk rumah.”

Sudahlah tidak dibenarkan masuk ke rumah, remaja lelaki tersebut juga tidak diberi makan dan minum tetapi dia tetap meneruskan persekolahan seperti biasa. Tambah jiran itu lagi, remaja lelaki tersebut merupakan anak yang baik dan menganggap kejadian ini kes pengabaian kanak-kanak dan ibu ayahnya boleh dipenjara.

Makan Minum Atas Ehsan Jiran 

Katanya lagi, sehingg hari dia membuat hantaran tersebut, remaja lelaki itu masih berada di luar rumah dan tidak dibenarkan masuk. Menurutnya lagi, remaja lelaki tersebut makan dan minum di atas ehsan jiran-jiran di sekitar situ.

Hasil perkongsian pengendali akaun tersebut, pihak polis terus mengambil tindakan dan melakukan siasatan lanjut. Kenyataan dari Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan tersebut pada hari Khamis.

Hasil siasatan awal mendapati remaja itu telah diabaikan dengan dibiarkan tidur di kaki lima perumahan itu selama beberapa hari sejad Ahad yang lalu. Kedua-dua suspek telah menjalani ujian air kencing dan negatif dadah.

Ambil Baju Dari Tingkap, Mandi Di Tandas Awam Untuk Ke Sekolah

Pasangan tersebut telah ditahan reman selama lima hari sejak mereka ditangkap dan menurut sebuah portal berita tempatan melaporkan remaja terbabit telah berdepan dengan situasi ini sejak setahun lalu. Dia juga dilihat mengambil pakaian sekolah yang dihulurkan dari tingkap dan terpaksa mandi di tandas awam untuk bersiap ke sekolah.

Sama-sama kita doakan remaja tersebut mendapat pembelaan yang sewajarnya dan jika benar orang tuanya bersalah, mereka akan dihukum di atas penganiyaan yang dilakukan.

Sumber: Sinar Harian 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my