Ibu Adalah ‘Syurga’ Dan Wanita Terindah Yang Menjadi Sumber Inspirasi Hidup Saya- Fattah Amin

Share

Kasihnya pada ibu cukup terserlah baik dari perbuatan mahupun pertuturan. Biar sudah mendirikan rumah tangga, namun Hero Malaya ini tetap anak mak. Sepanjang menjalankan sesi penggambaran untuk penghias muka depan majalah, tampak suami kesayangan Nur Fazura ini sangat lembut dan ikhlas melayan ibunya.

Sesekali wajah disandarkan pada riba ‘syurga’ kecilnya itu buat melepaskan penat sambil mengusik sehingga ketawa sang ibu. Tampak bahagia dan penuh kasih sayang ibu dan anak ini. Sejuk perut ibu mengandungkan lelaki bernama Fattah Amin ini.

Gandingan ibu dan anak ini pertama kali diadakan oleh Majalah Keluarga. Biar sibuk dengan penggambaran Filem Mat Kilau dan terpaksa bergegas pulang dari Perak, namun Fattah memberikan kerjasama yang cukup baik.

Ibu Sumber Inspirasi

Wanita terindah bernama Azizah Binti Abdul Ghani inilah yang menjadi tulang belakang dan pembakar semangat kepada Fattah Amin. Biar dicerca dan dikutuk dengan kata-kata kesat, namun ibu tetap berada  teguh di belakangnya dan itulah yang menjadi sumber inspirasi buat Fattah yang memiliki senyuman manis persis ibunya.

“Ibu sangat istimewa di hati saya. Walaupun saban tahun ada sambutan Hari Ibu, namun pada saya segala penghargaan dan hadiah tidak mampu membalas segala pengorbanan seorang ibu. Dia adalah syurga saya, tanpa doa dan kasih sayang ibu, saya takkan sampai ke tahap ini.

“Pengorbanan seorang ibu semua orang akan nampak, melahirkan mengandungkan dan membesarkan dari kecil sampai besar, Ibu seorang wanita yang tak pernah rasa beban terhadap anak, takkan pernah rasa susah dan kami adik- beradik takkan mampu balas.

“Cuma kami adik-beradik akan tetap meraikan ibu, baik keluar makan atau membeli hadiah setiap kali tibanya Hari Ibu. Walaupun saya sudah berkahwin tapi bakti ibu bapa masih saya mahu balas. Tidak sekadar dengan wang ringgit semata-mata. Tetapi perhatian dan kasih sayang seorang anak itu yang lebih ditagihkan oleh semua ibu bapa.

Penyayang Tapi Tegas

Dari kaca mata seorang ibu, Abdul Fattah Bin Mohd Amin anak sulung dari lima beradik ini sangat penyayang tetapi tegas orangnya.

“Nampak sahaja dia lembut tetapi dengan adik –beradik dia sangat ambil berat dan tegas. Ke mana sahaja adik-adiknya nak pergi atau buat dia akan ambil tahu. Walaupun sekarang sudah berkahwin, namun tidak melupakan tanggungjawab sebagai abang sulung. Boleh dikatakan tiada perubahan baik sebelum mahupun selepas kahwin.

“Malah, sehingga kini walaupun dia sudah terkenal dalam bidang seni, namun sikap Fattah tetap sama. Itu yang saya dan suami terapkan kepada anak-anak sejak dahulu lagi. Kena selalu humble dan jangan lupa diri. Jujur saya akui, saya dan suami sejak dahulu lagi sangat menitik beratkan akan soal agama yang lebih. Jaga solat, kelakuan dan sebagainya. Bab agama memang ayah yang akan tekankan manakala sebagai ibu saya lebih kepada bab akademik.

“Sebagai ibu, apabila anak-anak berkongsi impian dan kerjaya yang ingin mereka ceburi, sebagai ibu bapa kita hanya mampu mendoakan dan berharap kejayaan sentiasa mengiringi mereka. Walaupun Fattah memilih bidang seni, tetapi saya dan suami tidak membangkang kerana dari awal lagi kami sudah nampak minatnya ke arah bidang tersebut.

“Sebagai ibu bohonglah andai kata tak terasa dengan apa jua cercaan yang diterima Fattah, lebih-lebih lagi hanya dia seorang yang terjebak dengan bidang ini. Tetapi saya tidak kisah dan faham akan kedudukan kerjayanya.

“Lagipun dari awal saya memang tidak campur tangan dan tidak meletakkan sebarang syarat. Terpulang bagaimana dia membawa diri asalkan bijak menjaga diri,”ujar Azizah lagi yang tidak suka masuk campur akan kehidupan anak-anak sebaliknya sekadar memberi nasihat.

Fazura Menantu ‘humble’

Diminta pandangan dari mata seorang ibu, akui Azizah sifat humble dan kelembutan yang ada pada diri menantunya sulungnya, Fazura yang cukup memikat hatinya.

“Kalau diikutkan saya tak pernah mengenali Fazura sebelum ini kerana tidak mengikuti perjalanan seninya. Walaupun Fazura datang dari kehidupan yang glamor tetapi itu pada saya kerjaya dia. Di luar dia berbeza namun sifatnya tetap sama. Humble, hormat orang tua dan mudah mesra. Fazura ‘boleh masuk’ dengan keluarga kami, boleh makan sama dan bertepuk tampar. Itu yang membuatkan keluarga mudah serasi dengannya.

“Sebagai ibu, saya merestui apa pilihan anak-anak. Bab cucu pada saya mereka masih baru lagi berkahwin. Terpulang kepada mereka bagaimana untuk mencorakkan rumah tangga sendiri. Cuma sebagai ibu, saya berharap mereka boleh mendidik anak-anak kelak dengan baik. Lebihkan soal agama, mengaji dan belajar apa yang orang biasa lakukan,”ujar Azizah lagi.