“Ia Nombor Kegemaran & Simbolik Tempoh Percintaan Kami.” Terima Wang Hantaran RM77,777.77, Farah Nabilah Sah Bergelar Isteri

Share

Tujuh tahun menjalin cinta, akhirnya pasangan sama cantik sama padan ini disatukan dalam satu majlis sederhana tapi meriah. Dengan sekali lafaz, Pelakon Titian Cinta, Farah Nabilah kini sah bergelar isteri kepada juruterbang Mohammed Amirul Yunus, kira-kira jam 9.04 malam semalam.
**media[100928]**
Majlis yang dihadiri keluarga terdekat menyaksikan pengantin perempuan menerima mas kahwin RM1000, tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama dan wang hantaran bernilai RM77,777.77.
**media[100926]**
Pasangan berkenaan dinikahkan bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Daerah Petaling,
Terdahulu pada majlis sama, pasangan ini turut melangsungkan pertunangan.
“Alhamdulillah permulaan fasa dan tanggungjawab baru untuk saya dan suami. Moga semuanya dapat dipermudahkan.
“Saya mengambil angka tujuh untuk nilai wang hantaran itu kerana ia nombor kegemaran. Tak sangka, nombor tujuh itu juga simbolik tempoh percintaan kami,” kata Farah usai selesai majlis nikah.
**media[100929]**
Pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31berkata sepanjang tempoh bercinta, suami cekal dalam usaha memenangi hatinya.
“Hubungan saya dan Amirul sebenarnya dijalin secara jarak jauh kerana komitmen kerjaya. Saya sibuk dengan komitmen seni, manakala dia pula memenuhi tuntutan tugasnya sebagai juruterbang termasuk yang memerlukan dia selalu berada di luar negara.
“Maka, apa yang boleh mengikatkan kami untuk terus yakin dan setia pada hubungan percintaan dibina adalah kepercayaan antara satu sama lain.
“Satu perkara yang menyenangkan saya ialah sikapnya yang pandai mengambil hati,” katanya.
**media[100927]**
Pasangan itu bakal diraikan dalam dua majlis resepsi iaitu sebelah pengantin perempuan pada 21 Disember, disusuli 28 Disember untuk sebelah pengantin lelaki. Mereka juga bakal diraikan dalam satu lagi majlis pada 5 Januari depan.
Pasangan ini juga menjadi artis pertama yang kisah perkahwinan mereka dipaparkan di portal Mahligai Cinta.

Sumber: Berita Harian & farahnabilahofficial