“I Think Im Gonna Die” Catriona Ross Kongsi Cerita 8 Tahun Lalu Anak Disahkan Autisme

Share

Tiada lain yang seorang ibu harapkan, cukuplah zuriat yang dikandung 9 bulan dilahirkan dan dibesarkan dengan keadaan sihat. Namun siapalah kita nak ubah ketentuan Allah dengan menguji makhluknya mengikut kemampuan mereka.

Luluh hati dan sukar untuk terima kenyataan, itulah yang dirasai oleh pelakon Catriona Ross apabila doktor mengesahkan anak keduanya, Jammal Raess seorang autistik ketika berusia dua tahun.

“Saya mula tahu daripada pakar selepas saya dapat rasa yang dia ada sesuatu yang lain. Mata dia tak pernah fokus bila kita panggil dia padahal saya ada di depannya.

‘Pandang Tanpa Sebarang Reaksi’

“Bila panggil, tanya nak susu, tapi dia hanya pandang tanpa sebarang reaksi. Saya pun buat appointment dengan beberapa pakar. Pakar pertama mengatakan anak saya autisme,” kongsinya dalam sebuah segmen di radio baru-baru ini.

Malah, disebabkan terlalu terkejut dengan pengesahan doktor tentang anak keduanya itu, keadaan diri Catriona terus menjadi lemah sehingga mengalami kesukaran untuk bernafas

“Masa itu, saya rasa lutut lemahnya, padahal saya duduk dekat kerusi tapi rasa nak rebah. Saya pandang suami, suara saya tiba-tiba ‘sayang, saya tak boleh bernafas.

“Saya ingat lagi saat itu, ingatkan saya duduk dah okay. Suami lebih kuat dan minta saya sabar. Saya ingat, saya cakap I think, Im gonna die,” kata Catriona dalam nada sebak.

Tidak mahu berputus asa, Catriona mengajak suami berjumpa dengan pakar lain namun tetap keputusannya sama.

Biarpun pada mulanya sukar menerima hakikat, Catriona perlahan-lahan belajar memahami anaknya yang seorang autistik dengan meminta pendapat rakan selebriti Zarina Zainuddin.

Kini, Catriona sangat bersyukur Jammal yang pada asalnya non verbal (tak boleh bercakap menunjukkan perkembangan sangat baik apabila dia mula menyebut beberapa perkataan.

Perkongsiannya di stesen radio tersebut turut dimuat naik di laman Instagram miliknya dan Catriona Ross juga sempat memberi semangat kepada ibu bapa lain di luar sana bahawa mereka yang diuji sebegini adalah insan yang terpilih yang mampu melalui semua ini.

Meninjau di ruangan komen, pengikut Catriona Ross turut berkongsi pengalaman sendiri pertama anak mereka disahkan sebagai seorang autistik. Malah mereka sama-sama mendoakan supaya ibu bapa atau penjaga yang menjaga anak-anak ini dipermudahkan urusan dan kekal tabah menghadapi ujian ini.

Sumber : Instagram Catriona Ross