Hulurkan Wang Sedekah Sambil Minta Doakan Bisnes Maju, Boleh Ke? Fahamkan Adab Bersedekah & Menerima Yang Dikongsikan Ni!

Share

Bersedekah adalah suatu amalan yang mulia dan harus dilakukan oleh kita semua, sama ada berupa wang atau pemberian barangan, sama ada besar atau kecil jumlahnya itu semua bukan persoalannya namun apa yang lebih penting setiap pemberian sedekah itu perlulah ikhlas dan pasti ada ganjaran disisi Allah. Bahkan dikatakan juga dengan bersedekah dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh seseorang.

Pun begitu perasan atau tidak, ada segelintir antara pemberi sedekah ini turut meminta si penerima untuk mendoakan kesejahteraan dan mendoakan agar rezeki mereka bertambah. Ia seoalah-olah meminta balasan daripada orang yang dibantu.

Adakah cara ini boleh dan beradab?

Dalam perkongsian Ahmad Saifuddin Yusof ini boleh dijadikan panduan untuk anda melakukan sedekah. Rupanya ada adab  supaya apa yang kita berikan mendapat pahala sepenuhnya dari Allah.

ADAB BERSEDEKAH ADA CARANYA

Orang Bersedekah
Orang yang memberi sedekah tidak boleh meminta balasan daripada orang yang dia beri sedekah walaupun diminta supaya orang itu mendoakan kejayaan hidup dan bisnesnya.
Contohnya kita berkata, “Mohon doakan bisnes saya ya. Supaya lebih maju.” Sambil menghulurkan wang sedekah.

Ia tidaklah menjadi haram, namun para ulama’ berkata dibimbangi mengurangkan pahala sedekah.
Firman Allah ‘Azza wa Jalla;
وَیُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِینࣰا وَیَتِیمࣰا وَأَسِیرًا ﴿ ٨ ﴾
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,
إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِیدُ مِنكُمۡ جَزَاۤءࣰ وَلَا شُكُورًا ﴿ ٩ ﴾
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9)

Surah Al-Insan ayat 8-9
Ibn Taymiyyah menyatakan;
ومن طلب من الفقراء الدعاء أو الثناء خرج من هذه الآية
“Sesiapa yang meminta didoakan oleh orang miskin atau meminta dipuji, maka dia terkeluar dari maksud ayat ini (Surah al-Insan : 9).” – Majmu’ Fatawa

Orang Menerima Sedekah
Orang yang menerima sedekah pula, elok adabnya mendoakan orang memberi sedekah itu supaya rezeki dan kebaikannya bertambah.

Abdullah bin Abi Aufa Radhiyallahu anhuma memberitahu;
‎أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أُتِيَ بِصَدَقَةٍ قَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَيْهِمْ. وَإِنَّ أَبِي أَتَاهُ بِصَدَقَتِهِ فَقَالَ: اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى
“Ketika sedekah (zakat) dibawa ke hadapan Nabi Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam, baginda pun berdoa, ‘Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada mereka.’

Ayah saya pernah membawa sedekah (zakat)nya, maka Nabi Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam berdoa, ‘Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada keluarga Abu Aufa.’” – Sahih al-Bukhari

Sebaiknya kita yang mendoakan kepada orang miskin yang dihimpit kesusahan hidup bukannya kita pula meminta mereka mendoakan kita.

Sumber : Ahmad Saifuddin Yusof

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club