
Hud Aryan ditemukan tidak bernyawa. Pencarian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi berusia 19 bulan yang dilaporkan hilang sejak malam kelmarin akhirnya berakhir apabila mayatnya ditemukan tersangkut pada pokok di muara sungai di Kampung Kerila jam 4.20 petang.
Hud Aryan Ditemukan Tidak Bernyawa
Penemuan mayat mangsa itu selepas 45 jam dilaporkan hilang dan lokasi penemuan adalah tujuh kilometer dari rumah keluarga mangsa.
Difahamkan, lokasi penemuan mayat mangsa sudah dilalui beberapa kali sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan namun gagal mengesan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan keluarga turut diminta ke hospital.
“Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat kita yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan orang awam.
“Ketika kejadian paras air sungai tinggi dan hari ini air sudah surut mendorong kepada penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Suasana di rumah keluarga mangsa diselubungi kesedihan apabila kedua-dua ibu bapa Hud Aryan dikhabarkan dengan berita penemuan berkenaan.
Ibu mangsa, Azean Nur Atikah Ramley, 34, tidak mampu menahan sebak dan meraung sebelum ditenangkan ahli keluarga yang lain.
Sebelum ini media melaporkan seorang budak lelaki berusia 19 bulan hilang daripada rumah keluarganya dekat Kampung Aira Kuala Tiga.
Anak tunggal, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam oleh ahli keluarga.
Ibu saudaranya, Azean Irdawati Ramley, 44, berkata sebelum kejadian, Hud berada dalam rumah kerana diberi makan oleh ibunya sebelum wanita terbabit masuk ke dapur selepas selesai menyuap nasi kepada anaknya itu.
“Kebetulan selepas itu seorang saudara datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan di mana Hud, baru kami menyedari Hud hilang.
“Ibunya mendapati pintu pagar rumah turut terbuka dan keadaan semakin kecoh dengan pencarian dibuat di sekitar parit di hadapan rumah serta hutan sekitar,” katanya
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Lebih 36 Jam Berlalu, Ibu Hud Aryan Banyak Menangis, Yakin Anak Masih Selamat!
Baru 2 Tahun, Hud Aryan Hilang Di Rumah Nenek
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my