Sejak dahulu lagi, memang sukar untuk melihat wajah anak-anak Datukl Aznil Haji Nawawi menghiasi dada akhbar mahupun majalah. Malah dengan penggunaan media sosial yang kian meluas ini, beliau masih lagi bersikap seperti dulu.
Empunya diri awal-awal lagi tiada masalah untuk mengambil gambar namun anak-anak yang keberatan dan sering menolak untuk berbuat demikian menyebabkan Datuk Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil akur dengan permintaan anak-anaknya.
“Sejak dahulu lagi saya terbuka untuk berkongsi dengan pihak media dan juga peminat namun apakan daya, anak-anak saya tidak gemar dan mereka lebih suka low profile. Bagi mereka, biarlah saya seorang sahaja ke depan.
“Saya tidak pernah cuba menyembunyikan mereka baik dari media mahupun tatapan umum namun ia adalah permintaan mereka untuk tidak berbuat demikian.
“Selama ini jika ada pihak media yang ingin membuat sesi fotografi saya bersama anak-anak saya tak pernah tolak tetapi anak-anak yang tidak mahu.
“Sebagai bapa saya hormati keputusan mereka yang tidak mahu menonjolkan diri dalam bidang yang saya ceburi.
“Kebiasaannya jika ada tawaran saya akan bertanya mereka terlebih dahulu sama ada mereka setuju atau pun tidak dan kebiasaannya mereka menolak,” ujar Pak Nil yang mempunyai tiga cahaya mata iaitu Fildza Haifa, 28, Fariq Haizen, 24 dan Firdaus Hariz, 10 tahun.
Ditanya kenapa tidak memuat naik gambar anak-anak di laman sosialnya, akui Pak Nil yang berbuat demikian kerana mahu menghormati privasi mereka.
“Sekarang ini kalau kita lihat, ada sahaja benda atau perkara yang dibuat tidak kena di mata netizen. Jadi saya bimbang sekiranya saya memuat naik gambar anak-anak, takut-takut nanti apa pula kecaman daripada netizen. Sebagai bapa, saya tidak mahu perasaan anak-anak kesayangan terluka.
‘Lain dengan diri saya yang sudah terbiasa dengan komen negatif daripada netizen tetapi anak-anak belum tentu boleh terima. Faham sahajalah sikap segelintir netizen ini yang kadang-kadang perkara kecil pun mereka akan kritik.
“Lagipun anak-anak saya jenis yang sangat privasi orangnya. Walaupun mereka ada laman sosial sendiri tetapi ‘private’,”jelas Pak Nil yang dilantik menjadi duta bagi Festival Kanak-Kanak Lola Baba yang diadakan pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai festival tersebut, selain Pak Nil, anak bongsunya, Firdaus Hariz Aznil, 10, turut dilantik sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba.
Festival itu bakal diadakan pada 26 hingga 28 Oktober depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.
Berbeza dengan kakak dan abangnya, Firdaus Haris ini menurut Pak Nil mempunyai kecenderungan mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni. Malah, Firdaus juga suka dengan fesyen.
“Berbeza dengan abang dan kakaknya, Firdaus lebih cenderung kepada bidang seni malah dia juga jenis yang banyak bercakap dan periang orangnya. Dia berani ke hadapan dan suka berada di atas pentas untuk menyatakan pandangannya.
“Apabila dia dilantik sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba saya tahu dia boleh lakukannya kerana dia memang berani dan suka memimpin.