TRENDING

Hindari Mengungkit Kekurangan & Aib Pasangan Selepas Berpisah – Bekas Mufti

Share

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menasihat pasangan suami isteri mengelak daripada mengungkit kekurangan dan aib pasangan selepas perpisahan berlaku.

Katanya lagi, memulakan kehidupan baru dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam.

Menerusi perkongsian di facebook miliknya, beliau menyatakan bahawa Islam mengajar umatnya untuk sentiasa menghargai kebaikan dan mengenang jasa pasangan sepanjang tempoh perkahwinan.

“Dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujudnya badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan. Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini.

“Namun, Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh ALLAH SWT dalam kalangan yang halal. Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.

“Jika perpisahan itu tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.”

“Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan. Islam mengajarkan untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.”
“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.
“Justeru, setelah berpisah, berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baru dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam.”

 

Dalam pada itu, gempar di media sosial apabila melaporkan, perkahwinan yang terbina selama tujuh tahun oleh pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura akhirnya terlerai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Isnin.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh. Bagaimanapun, tidak sampai sejam berlakunya perpisahan tersebut, Fazura, 41, tampil mendedahkan punca berlaku perceraian dengan bekas suaminya itu hingga mendapat perhatian ramai.

JAGA PERASAAN ANAK

Seterusnya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menekankan bahawa ibu bapa perlu memberi keutamaan dalam menjaga perasaan anak-anak, yang mungkin terkesan akibat perpisahan tersebut.

“Sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.

“Jangan sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa. Anak-anak adalah amanah dari Allah, dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian.”

DOA PENGHUBUNG ROHANI 
“Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada ALLAH SWT adalah sandaran utama kita sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran, serta petunjuk dalam melalui ujian ini.

“Doa juga menjadi penghubung rohani antara kita dan Tuhan, menjadikan kita insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran hidup,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan semua pihak yang berdepan konflik untuk sentiasa menjadi individu yang mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.

“Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua belah pihak. Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing.

“Kita sebagai manusia pasti tidak sempurna, tetapi usaha untuk menjadi insan yang lebih baik itu yang paling utama. Kepada ALLAH SWT jua kita memohon,”