“Hilangnya Sebutir permata Seni.” Penyanyi Maya Matahari meninggal Dunia Akibat kanser. Al-Fatihah!

Share

Di sebalik keriuhan wabak Coronavirus, masyarakat dikejutkan dengan berita penyanyi Maya meninggal dunia akibat kanser.
Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee difahamkan menghidap kanser tisu sejak tahun lalu.


Bagaimanapun, Allahyarham yang berusia 44 tahun difahamkan tidak mahu berita penderitaannya dihebahkan kepada peminat, media dan masyarakat.

Sementara itu,  penyanyi dan penyampai radio, Haiza mengesahkan berita mengenai penyanyi, Mya Ruslee atau Maya Matahari yang disahkan meninggal dunia hari ini akibat kanser.

Haiza ketika dihubung berkata, dia masih menunggu maklumat terkini mengenai jenazah arwah.

“Saya dapat panggilan daripada Kak Ieda (Moin) yang memaklumkan mengenai berita ini. Setakat ini, saya dimaklumkan jenazah arwah berada di Sungai Buloh, namun belum tahu di mana lokasinya secara spesifik,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Haiza, dia tahu bahawa rakannya itu menghidapi kanser dan menjalani rawatan di China.

“Dia tak banyak berkongsi mengenai penyakitnya. Yang saya tahu, dia menghidap kanser sejak dia menyertai Gegar Vaganza musim kelima lagi pada 2018 dan baru saja pulang dari China selepas menjalani rawatan di sana.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah ketika dia dimasukkan ke Hospital Pantai Kuala Lumpur di Bangsar pada penghujung tahun lalu dan sejak itu, selalu berhubung menerusi telefon,” katanya.

Maya dilahirkan pada 13 Mei 1976 di Johor Bahru, Johor. Arwah mula menceburi bidang seni apabila melancarkan album pertama beliau pada 25 Mac 1995 yang berjudul “Matahari” dengan lagu popular yang bertajuk sama. Dua buah album kemudian menyusul dalam kerjaya seni beliau iaitu “Diari Biru” dan “Mata”. Selain itu, beliau turut menceburi bidang lakonan sama ada layar perak dan pementasan.

Selepas kejayaan beliau berlakon dalam filem Gemerlapan pada tahun 1997, diberi peluang berlakon teater Nyiur Gading Puncak Mahligai, Uda & Dara, Seruan Damai dan Hotel Malaya serta banyak lagi drama dan sitkom televisyen.

Beliau pernah berkahwin pada 26 Jun 2009 dengan kerabat di raja Pahang, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz dan perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga Ogos 2015 tanpa sebarang cahaya mata.

Pada 2018, beliau membuat kemunculan kembali dengan lagu terbaru “Perlu Ada Setia” dan pada masa yang sama menjadi peserta Gegar Vaganza musim yang kelima.

Sumber: Astro AWANI Harian Metro