Hilang Kerja & Tak Ada Duit Sara Keluarga, Kini Ramai Cuba Berniaga Makanan!

Share

Fasa kesukaran hidup yang dilalui oleh sebilangan besar antara ahli keluarga kesan daripada pandemik Covid-19 ini wajar didepani dengan sikap yang positif.

Biar ada ketua isi rumah yang telah kehilangan punca rezeki, isteri dan anak-anak perlu bijak memainkan perananan agar sama-sama terus bangkit dengan usahakan pelbagai cara demi mencari sesuap nasi untuk anak beranak.

Senario ini dikongsikan sendiri oleh doktor ini tentang beberapa kisah yang terjadi di kliniknya.

Jom kita baca agar perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk kita bangkit bersama bagi merancakkan ekonomi keluarga.


Sepanjang PKP (hingga sekarang), setiap hari ada sahaja pesakit datang ke klinik mengadu hilang kerja atau pendapatan seisi rumah berkurang sampai tak cukup nak sara hidup.

Kebanyakan mereka datang untuk pemeriksaan kesihatan untuk jadi penghantar makanan. Sebahagian pula datang untuk ambil suntikan vaksin tifoid, untuk mula meniaga makanan.

Apa yang buat saya rasa ralat adalah; ada antara mereka ni yang dah berumur lebih separuh abad. Paling tua yang saya jumpa adalah pakcik berumur 56 tahun. Dah ada cucu dah.

“Cucu dah nak start taska. Ayah dia belum dapat kerja tetap, sekarang kerja GrabPanda. Duit tak cukup nak bayar taska,” kata pakcik tu.

Ayah mana yang sanggup lihat anak susah, inikan pula seorang datuk nak lihat cucu dia ada kekangan nak sambung sekolah. Sebab itu pakcik ni nak kerja jadi penghantar makanan juga. Nak bantu anak dan cucu.

Sedih bila membayangkan pakcik ni kena ke sana ke mari, redah panas dan gerimis untuk hantar makanan dari kedai-kedai ke rumah-rumah, demi untuk pastikan cucu boleh pergi taska nanti.

Seorang lagi emak, diajak oleh anaknya yang berumur 16 tahun untuk ke klinik. Budak tu nak menjual nasi lemak di hadapan rumah untuk bantu tambah pendapatan mereka sekeluarga.

“Saya kata dekat dia, nak jual depan rumah je, tak payahlah nak inject (suntikan tifoid). Lainlah nak ambil lesen meniaga,” kata emaknya, sambil buat muka tak puas hati.

“Kita nak jual makanan, kenalah ambil. Tak kisahlah nak ambil lesen ke tak. Benda ni kan untuk elak kita sebarkan penyakit pada orang, bukan untuk lesen,” jawab anaknya.

“Masalahnya, injection ni mahal! Faham tak?” balas maknya.

Saya tak tahu nak sokong yang mana. Si anak, bagus sudah pemikirannya. Keselamatan pembeli perlu diutamakan. Si emak punya keengganan pun ada asasnya. RM70-80 tu bukan nilai kecil.

Entahlah…

Ini antara cerita, daripada berpuluh-puluh masalah yang saya dengar dan saksikan sendiri sepanjang PKP ni. Tak tahu nak tolong bagaimana dah. Paling-paling kos pemeriksaan dan suntikan tu, saya bayar kepada klinik guna duit saya sendiri.

Tak bolehlah saya tak caj, kerana klinik saya pun nak hidup juga. Ada kos nak ditanggung, ada pekerja nak dibayar. Jadi, klinik caj pesakit, tapi saya yang bayar dari poket saya. Biar saya tanggung, bukan klinik.

Klinik saya pun terkesan juga dengan keadaan semasa. Gaji saya pun dipotong 50%. Namun, Alhamdulillah masih bolehlah meneruskan hidup, ada simpanan, ada sumber pendapatan lain.

Pendek kata, semua orang terasa impak daripada wabak COVID-19 ni, namun setiap orang lain dugaannya. Ada yang masih mampu berdiri, ada yang jatuh tersungkur ke tanah.

Sama-samalah kita bina semula ekonomi kita.

Kita sokong perniagaan di kawasan rumah kita, di kawasan tempat kerja kita. Utamakan perniagaan kecil-kecilan, berbanding perusahaan mega. Utamakan perniagaan tempatan, berbanding luar negara.

Semoga semuanya baik-baik belaka.

sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan