Ungkapan syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia. Syurga itu sangat mahal nilainya dan sukar untuk kita memperolehnya.
Fahmi Samsudin merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, tidak pernah bersungut apabila diberi amanah olehNya untuk menjaga ibu tersayang, Bashah Ismail selama lima tahun sehinggalah sang pencipta menjemput ibunya pada pertengahan Januari akibat kegagalan buah pinggang.
“Hilang kawan boleh dicari, hilang ibu tiada pengganti. Sunyi dan kosong. Dua perasaan yang sedang menemani saya, mungkin untuk beberapa ketika. Memanglah, lima tahun bersama setiap masa tanpa terpisah, namun akhirnya ibu pergi dipanggil Ilahi, perpisahan yang ternyata saya perlu akui,”ujarnya merupakan pelajar sepenuh masa PhD (Doctor of Philosophy in Art & Design ) UiTM Shah Alam, Selangor.
Melancong bersama ibu dengan kerusi roda
Biarpun arwah ibu telah mengadap Ilahi, momen indah sepanjang melancong bersama arwah ibu masih terpahat dalam ingatan. Beliau nekad untuk membawa ibunya melancong walaupun menggunakan kerusi roda. Ia tidak menjadi halangan buatnya.
“Sejak 2014, selepas saya berhenti kerja dan menyambung pengajian sepenuh masa, saya mula membawa ibu melancong ke Semenanjung Malaysia, hampir setiap bulan. Dan pada tahun 2016 saya mula membawa dia melancong ke luar negara pula sehingga kali terakhir saya membawa ibu melancong pada Mei 2018.
“Janji saya pada beliau. Semenjak ibu sakit strok pada 2006, jarang sekali ibu travel kerana batasan beliau yang menghidap penyakit tersebut, dan juga kondisi arwah ayah yang pada waktu itu juga sedikit uzur.
“Juga, saya dapati ibu berubah menjadi semakin sihat dan ceria walaupun berkerusi roda, dan dia rasakan yang dia mahu membuktikan yang orang berkerusi roda dan juga mempunyai penyakit seperti beliau boleh juga melancong seperti orang normal yang lain.
“Semenjak itu, niat kami berdua cuma satu, untuk berkongsi pengalaman bercuti bersama warga emas berkerusi roda kepada yang senasib dengannya.
“Tidak banyak seperti travellers yang lain. Cuma setakat ini kami pernah ke sembilan buah negara bermula dengan Kemboja, Indonesia, Thailand, Turki, Iran, Jepun, India, China, dan Vietnam.
“Dan pastinya banyak kenangan manis. Namun kenangan manis yang paling diingati apabila semua tempat yang pernah dilawati semuanya dipermudahkan tanpa ada sebarang halangan, kelebihan buat yang melancong bersama berkerusi roda.
“Kenangan itu yang seterusnya saya dapat kongsikan bersama yang diluar sana, dan selepas itu sebenarnya kita dapat tahu yang ramai senasib dan juga ada yang lebih teruk nasibnya, namun disebabkan kisah saya, mereka menjadi semangat untuk pulih. Itulah kenangan yang paling tidak akan dilupakan kami berdua.”
Cabaran
Tidak dinafikan tetap ada cabarannya semasa melancong lebih-lebih lagi ibunya menggunakan kerusi roda. Oleh itu, untuk membiasakan diri, buat permulaan Fahmi membawa ibunya melancong dalam Malaysia seterusnya ke luar negara.
“Betul. Pengalaman pertama kami cuba ke lokasi berdekatan dahulu, seperti di dalam Malaysia, latihan untuk membiasakan diri dengan keadaan bersama yang berkerusi roda. Seterusnya, bila dah biasa saya mula membawa ibu ke luar negara, biar rasa tercabar dengan keadaan di tempat orang.
“Tipu jika saya cakap senang, cuma dengan niat yang betul, alhamdulillah semuanya dipermudahkan Nya tanpa ada cacat cela. Perlu diingatkan, perancangan yang rapi amatlah perlu bagi memastikan kelancaran perjalanan. Pastikan kelengkapan dan keperluan beliau diutamakan dahulu, insyaAllah mudah.
“Kebiasaannya kami berdua sahaja, kerana mudah untuk bergerak dan ibu cuma mahu travel asalkan tidak susahkannya. Jadi saya lebih senang berdua sahaja. Cuma saya cuba mengajak teman-teman baru di media sosial jika ada yang berminat untuk travel bersama ibu, untuk memberikan lebih kegembiraan dan juga mengajar ibu untuk lebih senang dengan orang asing jika mengembara. Alhamdulillah ibu mula untuk berasa seronok apabila melancong beramai-ramai.
“Terus terang saya boleh katakan bahawa kebanyakan tempat yang dilawati memang mesra pengguna kerusi roda. Ada juga sebahagian tempat yang tidak sesuai, namun kami cuba untuk mengubah persepsi yang berkerusi roda juga boleh menikmati pengembaraan yang selamat dan gembira seperti orang normal yang lain. Jika tempat itu tidak mesra penggunaan wheelchair, saya tukar kepada tempat lain yang hampir sama dengan tempat asal.
“Konsepnya sama, cuma caranya berbeza. Dari segi makanan, ada sedikit susah kerana ibu jenis yang berpantang kerana tidak boleh sesuka hati makan makanan yang ada disebabkan penyakitnya. Namun saya tetap cuba cari makanan lokasi di tempat saya melancong itu agar ibu dapat merasa sesuatu yang baru, asalkan pengambilannya cuma sedikit sahaja.”
Galas
tanggungjawabSebagai seorang anak, tanggungjawab menjaga ibu bapa pula harus digalas dengan sempurna. Begitulah yang dilakukan oleh Fahmi dan dua abangnya yang kesemuanya lelaki.
“Secara sepenuhnya beralih tangan semenjak pemergian arwah ayah Samsudin Yahaya, pada 17 Januari 2013, 4.30 petang selepas selesai bacaan talkin dan meninggalkan pusara, saya sedar yang tanggungjawab baru perlu dipikul amatlah besar, sepanjang lima tahun tanpa jemu saya bersama ibu menguruskan sakit, letih, suka duka dan semuanya bersama.
“Sehinggalah pada tanggal 26 Ogos 2018 jam 12.30 pagi, saya selesaikan tanggungjawab itu dengan sebaiknya. Sepanjang ibu sakit strok semenjak Februari 2006, ayahlah sepenuhnya menjaga ibu dengan bantuan saya dan abang-abang.
“Dulu memang abang-abang selalu mengajak arwah ibu untuk tinggal bersama. Namun ibu jenis yang tidak mahu menyusahkan anak-anak yang sudah mempunyai keluarga. Cuma saya yang masih bujang, jadi amatlah sesuai saya menjaga dan tinggal bersama kerana kekurangan komitmen yang boleh membuatkan saya memberikan sepenuhnya perhatian padanya. Sentiasa juga saya berulang alik menziarahi abang-abang, perlu untuk mengekalkan pertalian keluarga itu,”jelasnya sambil tersenyum.
Sumber: Majalah Keluarga November 2018