Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Ungkapan ini sesuai ditujukan buat lelaki yang cukup cekal dan kuat ini.
Kekurangan diri sebagai orang kelainan upaya akibat hilang kaki selepas terlibat dalam satu kemalangan, namun saudara Mohd Izhar cukup tabah orangnya.
Dengan kudrat yang ada, dia bangkit untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan semata-mata. Dengan bantuan daripada pihak zakat, bekas atlit paralimpik ini berusaha mencari rezeki yang halal untuk keluarganya. Sementelah, isterinya juga merupakan seorang OKU.
Pasangan ini sama-sama pernah berniaga air soya di pasar malam dan juga pasar tani. Kisah saudara Mohd Izhar dikongsikan melalui Harian Metro beberapa hari yang lalu. malah, sebelum ini kisahnya pernah tular di media sosial.
Menurut Izhar tidak menyangka perjalanannya ke tempat kerja di Alor Setar, Kedah 28 tahun lalu kali terakhir dia merasai nikmat berjalan, sekali gus perlu memulakan hidup baru tanpa kedua-dua kaki.
“Sebelum kemalangan, hidup saya normal seperti orang lain dan boleh melakukan pelbagai pekerjaan. Saya boleh ke mana saja kaki ini bawa.
“Namun, saya perlu reda Allah SWT menarik semula pinjaman itu dan di situ bermula kehidupan saya sebagai seorang OKU dan kesusahan yang mematangkan saya biarpun tidak sempurna,” katanya lagi.
Izhar akui hidupnya berubah 180 darjah dan terpaksa bergantung dengan kerusi roda, namun Allah SWT memberinya pelangi apabila dikurniakan jodoh dan tujuh anak yang tidak putus-putus membantunya meneruskan kehidupan.
“Apa yang terjadi kepada saya semua adalah dugaan yang saya mampu harungi. Cuma saya perlu bersabar dan yakin dengan rezeki Allah supaya saya tidak cepat mengeluh dan berputus asa.
“Tidak dinafikan saya pernah putus asa untuk hidup selepas kemalangan itu, namun Allah berikan saya cahaya apabila bertemu suri hati saya di bengkel kemahiran OKU di Klang dan hingga kini bahagia dengan tujuh anak yang selalu membantu,” katanya.
Izhar berkata, antara saat terindah dalam hidupnya dapat mewakili negara dalam sukan bola keranjang dan memanah pada tahun 1990-an.
Bagaimanapun, dia terpaksa melepaskan kerjaya itu untuk menumpukan perhatian kepada keluarga yang lebih memerlukan memandangkan tiada pendapatan tetap ketika itu.
“Saya minat sukan. Cukuplah saya pernah menghadiahkan pingat gangsa kepada negara dalam sukan memanah ketika Asean Games di Sintok, Kedah pada tahun 90-an.
“Namun, saya perlu lupakan semua kegembiraan sementara itu kerana perlu jalankan tanggungjawab hakiki sebagai suami dan bapa kepada tujuh anak.
“Saya percaya ini jalan yang terbaik untuk saya sehinggalah saya cuba berkecimpung dalam dunia keusahawanan sebelum saya membuka perniagaan air soya di kawasan rumah,” katanya.
Nasib tidak menyebelahi Izhar yang berasal dari Kampung Bukit Tembaga, Kedah apabila perniagaan yang dijalankan itu tidak berjaya biarpun modal yang dikeluarkan untuk membeli mesin memproses air soya sudah mencecah RM50,000.
Lebih malang, Izhar kini muflis apabila perlu membayar semula wang modal berkenaan kepada individu yang memberi pinjaman.
“Saya tiada ilmu perniagaan. Saya serahkan semua wang modal kepada individu lain untuk diuruskan. Malangnya, perniagaan gagal meraih keuntungan dan terpaksa ditutup.
“Doktor juga menasihatkan saya berehat kerana tulang makin mereput dan tidak sesuai lagi mengangkat barang berat,” katanya.
Akur dengan ketentuan itu, Izhar kini mengambil upah membaiki kasut di rumahnya dengan pendapatan kurang RM50 sehari bergantung kepada jumlah kasut yang diterima.
“Saya akui hidup saya susah, namun saya sentiasa doa kepada Allah supaya permudahkan semua urusan dan Alhamdullilah setakat ini kami sekeluarga tidak pernah berlapar,” katanya.
Sumber: harian metro