Hidup Bahagia Walau Bergelar Ibu Tiri, 5 Cara Artis Ini Wajar Kita Contohi!

Share

Istilah ibu tiri menjadi ketakutan untuk sesetengah pihak kerana dunia melabelkan status ibu tiri begitu negatif sekali. Watak bengis, jahat, antagonis dan tidak berperikemanusiaan hanya kerana anak-anak ini bukan dilahirkan daripada perutnya sendiri menjadikan mereka sering disalah erti.

Walhal ibu tiri juga adalah wanita biasa yang punya hati dan perasaan. Sekalipun bukan melahirkan anak-anak suaminya, mereka juga punya naluri keibuan apa lagi melihat anak-anak kecil yang perlukan perhatian.

Mendidik anak-anak tiri bukan mudah namun ramai wanita bergelar ibu tiri mampu mendidik dan menjadikan anak-anak tiri mereka sebagai insan berjaya. Paling penting mereka hidup bahagia dan aman damai.

Lihat bagaimana 5 artis ini mendidik anak-anak dan hidup bahagia bersama suami dan anak-anak tiri mereka. Nyata, gelaran ibu tiri hanyalah sekadar gelaran semata-mata. Soal bahagia? Kita yang menentukannya!

  1. Datuk Siti Nurhaliza

Contoh terdekat kejayaan mendidik dan membesarkan anak-anak tiri adalah beberapa artis dan selebriti tempatan kita. Melihatkan contoh Datuk Siti Nurhaliza yang hidup aman damai, penuh kasih sayang bersama anak-anak tirinya sedikit membuka mata bahawa ibu tiri bukan untuk dilabelkan sesuka hati dengan watak penuh negatif.

Kelembutan dan kasih sayang ikhlas daripada Datuk Siti Nurhaliza terhadap keempat-empat anak tirinya, Muhd Anas Zawawi, Muhammad Adib, Muhammad Asyraf dan Muhammad Aazief, menjadikan kisah anak beranak ini wajar dicontohi. Walaupun pernah dilemparkan kata-kata fitnah dan cacian suatu waktu dahulu, namun beliau berjaya membuktikan bahawa mereka mampu hidup bahagia dan aman damai.

2. Datin Marlia Musa

Kisah dan pengkongsian hidup Datin Marlia Musa yang berkahwin dengan komposer tersohor negara, Datuk M.Nasir pada tahun 2000 juga wajar kita jadikan contoh. Perkahwinan M.Nasir yang memiliki lima orang anak iaitu Muhammad Ilham, Muhammad Yasin, Muhammad Hidayat, Muhammad Syafii dan Nilam Sari yang ketika itu berusia 2 tahun menjadikan Marlia ‘ibu segera’ kepada lima orang anak tiri. Kini setelah 17 tahun, mereka hidup sebagai sebuah keluarga yang utuh dan akrab bersama walaupun hanya bergelar ibu tiri.

3. Lisdawati

Begitu juga pemilik nama Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin. Kata Lisdawati bergelar ‘ibu segera’ bukan sesuatu yang mudah. Sementelah anak-anak tirinya ketika itu masih kecil. Tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, dorongan dan sokongan sang suami banyak membantu memainkan peranan dalam membolehkan hubungan Lisdawati dan anak-anak tirinya menjadi akrab.

Walaupun hanya Faris yang tinggal bersama, namun hubungannya bersama kesemua anak-anaknya yang lain, Fatihah, 21, Farisha, 18 dan Fikri, 15 erat seperti sahabat berkat kasih sayang yang ditunjukkan. Itulah kunci bahagia miliknya.

4. Memey Suhaiza

Tidak terkecuali juga pelakon Memey Suhaiza yang hidup bahagia bersama tiga anak tirinya. Kabus hitam yang pernah menyelubungi Memey dan Norman Hakim suatu ketika dahulu sudah lama berlalu. Kini, sinar cahaya kebahagiaan melimpah dengan penuh kasih sayang. Malah, mereka antara pasangan yang menjadi contoh kerana mendidik anak-anak dengan baik.

Memey Suhaiza bukan hanya berkongsi bahagia dengan dua anaknya, Muhammad Darwisz Hakim, 4, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2, malah kebahagian tersebut turut dikongsi bersama tiga anak hasil perkahwinan Norman dengan dengan bekas isteri, Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, serta Maria Danisha Hakim, 9.

5. Ashanty

Begitu juga dengan penyanyi Indonesia, Ashanty. Sejak berkahwin dengan Anang Hermansyah, Ashanty bukan hanya menerima cinta Anang bahkan berkongsi kasih dengan dua anak tirinya, Aurel dan Azriel. Akrab sebagai sahabat, Ashanty kerap membela Aurel di laman sosial apabila Aurel kerap dikutuk oleh netizen akan kisahnya saban hari. Itulah kasih sebenar ibu tiri yang wajar dijadikan teladan.

6. Laudya Chintya Bella

Pernikahan Laudya Chintya Bella bersama Engku Emran Engku pada 8 September tahun lalu membawa status ibu tiri baginya. Walaupun bergelar ibu tiri kepada Engku Aleesye namun hubungan dua beranak ini cukup akrab.

Perkongsian gambar-gambar yang dikongsikan di instagram peribadi Laudya jelas membuktikan kebahagiaan keluarga tiga beranak ini cukup akrab.

Sebagai manusia janganlah mudah melabelkan status ibu tiri sebagai negatif dan memandang sinis. Apa ada pada sebuah gelaran? Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita harus meneruskan kehidupan setiap hari dengan baik dan memegang amanah dengan sebaiknya. Biarpun bukan darah daging sendiri, keikhlasan dan kasih sayang itulah yang menjadi kunci kebahagiaan.