Kes HFMD yang semakin meningkat di negara kita ternyata semakin membimbangkan ibu ayah. Mana tidak bimbang bila mana keadaan anak semakin teruk dan demam serta bintik-bintik air semakin menebal pada kaki, tangan dan mulut. Masih tidak menunjukkan tanda reda malah semakin meningkat jumlahnya dari hari ke hari.
Sedih melihat keadaan anak yang tidak selesa dengan keadaan ini, Doktor Ezairy M.Sallih kongsikan pesanannya buat mak ayah. Jangan pandang mudah!
HFMD (Hand, foot and mouth disease) Jangan dibuat main!
Sejenis jangkitan virus. Hand, foot and mouth disease adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus coxsackie(cox A16) atau enterovirus (EV 71).
Simptom yang perlu diberi perhatian. Perhatikan jika anak-anak anda mengalami gejala seperti:
✔️demam
✔️ruam
✔️ulser dalam mulut
✔️lepuh (blister) pada tapak tangan dan kaki.
✔️hilang selera makan
Ini semua adalah simptom biasa yang ditemui oleh kanak-kanak yang mengalami HFMD. Hati-hati dengan kaedah jangkitan.
HFMD mudah berjangkit melalui beberapa cara. Ia termasuk air liur, cecair daripada lepuh (blister) pada anggota tubuh, sentuhan najis dan juga sentuhan permukaan yang disentuh oleh pesakit seperti alat permainan, alatan di dalam rumah dan sebagainya.
Oleh itu, hati-hati! Kawal dan asingkan anak-anak.
Ini penting. Sebaik sahaja doktor sahkan anak anda mengalami jangkitan HFMD, jangan bawa mereka ke sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak. Ini akan menyebabkan jangkitan mudah merebak kepada kanak-kanak lain.
TIP ELAK SERANGAN HFMD
HFMD (Penyakit tangan, kaki & mulut) bukan lagi suatu penyakit yang ‘rare’ di negara ketika ini, memandangkan serangannya yang semakin rakus terhadap anak-anak kecil di Malaysia.
Jangkitan Enterovirus 71 dan Coxsackie virus A16 ini amat mudah diperolehi. Oleh itu, langkah membendung dan mengelakkannya mesti segera ditangani!
Virus HFMD boleh dan mudah didapati pada:
- Air mata, cecair dan lendir daripada hidung dan tekak.
- Najis pesakit.
- Cecair daripada lepuh atau vesikel pada kulit mangsa.
- Permukaan mana-mana yang ada virus HFMD. Ia termasuk alat-alat permainan, perkakas di rumah, sekolah, taska, kemudahan awam dan mana-mana sahaja!
Nah, begitu banyak kan virus ini mudah diperoleh? Justeru, bagaimana kita harus membendung dan memastikan ianya tidak menyerang anak-anak kita?
Saya beri beberapa langkah bijak untuk mengelak jangkitan ini
- Basuh tangan dengan pencuci dan sabun dengan bersih. Pastikan setiap permukaan, celah-celah jari dan kuku bersih, sebelum dan selepas makan. Juga selepas keluar tandas.
- Elakkan bawa anak kecil ke tempat ramai orang. Jangkitan HFMD amat mudah berlaku di tempat-tempat seperti ini.
- Elakkan menyentuh mata, mulut dan hidung anda sebelum membasuh tangan.
- Kurangkan ‘close contact’ seperti mencium bayi, kanak-kanak, mendukung anak-anak jiran dan orang lain.
- Elak berkongsi peralatan dengan orang lain terutama yang disyaki mengalami HFMD. Jangkitan juga mudah berlaku.
- Lakukan pembesihan sekerap yang mungkin segala perkakas dan alatan rumah. Ini termasuk perabot rumah, pakaian, katil dan lain-lain.
- Pastikan anak-anak tidak menyentuh dan bermain dengan peralatan di kawasan ramai orang secara mudah. Ini seperti alatan permainan di rumah irang, taman permainan, pusat rekriasi dan sebagainya.
Semoga perkongsian ini membantu.
Kongsi dan sebarkan jika ianya amat berguna untuk anda dan mereka yang anda sayang.
Dr Ezairy M.Sallih
Doktor prihatin