Berita tentang kemalangan melibatkan seorang peserta Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 bertempat di Pekan, Pahang dikenali sebagai Muhammad Hattem Rashdi tentunya mengejutkan peminat motosikal Tanah Air.
Memetik laporan Harian Metro, Pemuda berusia 22 tahun itu dipercayai meninggal dunia selepas 12 jam bertarung nyawa setelah motosikal yang ditunggangi terbabas sewaktu dalam perlumbaan.
Menurut ibunya, dia hanya mengetahui keadaan Hattem parah selepas adiknya yang juga bapa saudara arwah yang berada di tempat kejadian menghantar beberapa keping gambar menunjukkan keadaan anaknya berlumuran darah.
“Makcik tak pernah lepas peluang menonton setiap perlumbaan disertai Hattem yang disiar secara langsung di aplikasi Tik Tok tapi pada malam kejadian, makcik tak sedap hati apabila ternampak arwah terjatuh.
“Masa tu makcik sangka dia hanya kemalangan biasa, tetapi secara tiba-tiba siaran langsung itu ditamatkan,” kata Muniroh Ahmad, 58.
Hattem terbabit kemalangan pada 1 pagi Ahad lalu, iaitu hari pertama perlumbaan di Pekan, Pahang, selepas motosikal ditungganginya terbabas.
Katanya, mereka bergegas ke Pahang awal pagi semalam untuk melihat keadaan anaknya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
“Ketika itu, keadaan Hattem kritikal namun dia sempat menggerakkan jari tangan kanannya serta mengalirkan air mata sewaktu saya dan bapanya, Rashdi Othman, 65, membacakan Yasin di sisi arwah.
“Saya sempat bisik di telinga arwah… Mama halalkan air susu mama….Mama ampunkan semua dosa dan sayangkan adik…. Tunggu mama di syurga ya.
“Selepas itu, arwah tidak memberi tindak balas dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu,” katanya ketika ditemui oleh pihak Harian Metro di rumahnya di Kampung Padang Lalang.
Muniroh berkata, jenazah anak bongsu dari lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, jam 12 tengah hari.
Menurutnya, kali terakhir melihat jenazah Hattem, dia nampak wajah anaknya bersih dan seolah-olah sedang tidur.
Katanya, kira-kira 3,000 orang menziarahi jenazah arwah termasuk pengikut akaun Tik Tok Hattem yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir.
Muniroh berkata, Hattem bertolak ke Pekan, Pahang bersama rakannya pada 4 petang Jumaat lalu dan ketika itu, dia nampak perubahan pada anaknya.
“Arwah mencium tangan saya dua kali sebelum pergi tetapi tidak lama kemudian berpatah balik untuk mengambil topi yang tertinggal.
“Saya pelik kenapa arwah tidak turun dari kereta, tetapi hanya rakannya masuk ke dalam rumah untuk mengambil topi sebelum mereka beredar. Itulah kali terakhir makcik jumpa arwah,” katanya.
Sementara, kakak arwah, Noor Amalia, 27, berkata, pada 26 Ogos lalu, arwah adiknya sempat memberi wang tunai RM1,500 kepada ibu mereka untuk membeli hadiah sempena hari lahirnya serta ibu pada 13 dan 20 Julai lalu.
“Saya tak sangka niat baiknya itu membawa petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Paling ketara, anak buah kami, Qaliff Mikael Mohd Fuzairie, 9, yang terlalu rapat dengan arwah hinggakan sering menangis apabila melihat gambar Hattem yang dipanggil ‘Achu’,” katanya.
Sumber : Hmetro