Jika sebelum ini Sherie Merlis kelihatan begitu buntu dengan situasi yang menimpa keluarganya, merayu kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) agar adik perempuannya yang positif Covid-19 dibawa ke pusat kuarantin.
Ini memandangkan keadaan rumah yang mereka huni begitu sesak dan tidak sesuai untuk melakukan pengasingan kendiri. Ada hanya dua bilik tidur yang dihuni 11 ahli keluarga termasuk ibu, bapa dan enam kanak-kanak.
Selepas membuat pendedahan di akaun instagram miliknya berhubung keadaan yang menimpa keluarganya, akhirnya pelakon Sherie Merlis dan keluarga mendapat bantuan segera.
Berkongsikan kisah bantuan yang telah diterima oleh keluarganya, Sherie merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada yang bertindak segera menyelesaikan kebuntuan dan kerisauannya berkenaan penempatan adiknya yang dijangkiti Covid-19 itu.
“Alhamdulillah, semua telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini dipantau rapi oleh Megaklinik Zahran. Adik Sherie juga telah dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 bersama suami dan anak-anaknya yang positif kerana keadaan rumah yang tidak berapa sesuai untuk kuarantin kendiri.
“Terima kasih juga kepada Datuk @fizzfairuzofficial yang pantas menghubungkan abang long dan Sherie. Terima kasih juga kepada pasukan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memudahkan segala urusan.”
Meninjau di ruangan komen rata-rata rakan artis dan peminatnya mengucapkan syukur alhamdulillah dan berpesan agar Sherie jaga kesihatan dan kekal kuat untuk berdepan dengan ujian Covid-19 ini.
Terdahulu, memetik laporan Harian Metro dilaporkan Sherie merayu kepada pengikut media sosial di Instagram, untuk membantunya berkaitan kebuntuan yang dihadapi apabila adik perempuannya disahkan positif Covid-19.
Dalam perkongsian video berdurasi empat minit dan 42 saat itu, Sherie yang kelihatan sugul jelas sangat risau mengenai keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya berserta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu.
“Adik saya demam tiga hari lalu dan selepas menjalani ujian calitan di klinik kerajaan, akhirnya dia disahkan positif Covid-19. Bagaimanapun adik saya disuruh balik ke rumah untuk menjalani kuarantin kendiri.
“Saya dan dua anak yang berumur sembilan tahun dan tujuh tahun terkandas di rumah adik. Malah, di dalam rumah ini ada juga ibubapa kami. Bapa sakit jantung dan baru keluar hospital.
“Emak ada alzheimer kronik dan hanya terbaring di tempat tidur. Adik pula balik ke rumah dengan keadaan positif Covid-19 dan dia juga ada empat anak berusia tujuh tahun, enam tahun, empat tahun dan 10 bulan termasuk, suaminya.
“Keadaan rumah sesak kerana hanya ada dua bilik, iaitu bilik ibu bapa dan satu lagi saya gunakan. Pagi tadi, suami adik pula demam panas. Malah, anak adik yang berusia empat tahun dah mula sakit tekak,” katanya.
Di dalam rumah berkenaan, hanya Sherie, bapa dan suami adiknya, saja sudah lengkap dua dos vaksin. Justeru, dengan situasi berlaku itu Sherie seorang saja yang masih sihat dan wajar untuk dia ambil berat kepada ibu bapa dan beberapa anak kecil yang ada di dalam rumah itu.
Sumber : IG sheriemerlis dan myMetro