Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu dalam mendidik anak-anak, nak ajar sesuatu sedari kecil barulah mudah mereka praktikkan hingga ke besar. Lebih-lebih lagi dalam mendalami ilmu agama.
Itulah yang dipraktikkan oleh selebriti media sosial, Fynn Jamal yang meluahkan rasa gembira apabila sejak kebelakangan ini anak angkat perempuanya, Sakti Kencana Dewi, 7, gemar mengenakan hijab setiap kali mahu keluar daripada rumah.
Tidak pernah memaksa mahupun menyuruh, Fynn berkata biarpun tudung yang dikenakan hanyalah dalam jangka masa yang singkat, namun Sudahpun membuat hatinya merasa seakan berbunga.
“Dua tiga menjak ni rajin minta tudung sebelum keluar. Hati ini rasa bahagia sangat, rasa terapung, mekar serasa jiwa, berbunga-bunga hati mummy (Fynn).
“Tapi itu lah, tak sempat sampai kedai biasanya dah tercabut. Penyek terus bunga dalam hati tadi haha.
“Sebenarnya memang belum suruh pakai pun. Sebab tahu dia pakai bukan sungguh-sungguh pun. Hari tu niqab dia nak pakai pun dia request sendiri,” tulisnya menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Arjuna Beta itu turut berkongsi pengalaman apabila pernah diajukan soalan mengenai cara dia dan suami, Hazrilfitri Hadzir mendidik serta membesar anak dengan baik.
Tidak mempunyai sebarang tips atau petua, Fynn berkata anak-anak akan mempelajari sendiri melalui apa yang dilihat daripada kedua ibu bapa.
“Bila ramai tanya tips, saya memang tiada tips. Tapi tidak apa, di usia begini belum wajib atasnya. Jadi kita guna didikan melalui tauladan sahaja. Anak-anak akan terima melalui apa yang dia nampak bukan dengar.
“Kalau mak ayah jaga agama dalam hati, anak-anak juga akan jaga. Mak ayah jaga solat, anak-anak akan jaga solat. Mak ayah jaga aurat, anak-anak akan jaga aurat,” jelasnya.
Untuk info, Fynn dan Hazrilfitri mendirikan rumah tangga pada 2008. Selain Kencana Dewi, pasangan tersebut turut memiliki seorang lagi anak angkat lelaki bernama Bakti Arjuna Fitri Abdullah.
Sumber : Instagram Fynnjamal