Bukan mudah bagi Nurul Shafina Mazani, 26, untuk menempuhi hari-hari mendatang. Kepulangan puteri sulungnya, Afeeya Mikayla dijemput Ilahi pada 13 April lalu, sekali gus meninggalkan ruang kosong dalam jiwanya.
Pilu dalam hati, tak siapa mampu mengerti. Itulah perasaan seorang ibu yang kehilangan zuriat tercinta, lebih-lebih lagi pertama kali bergelar ibu.
Berkongsi cerita, Nurul Shafina memberitahu, anaknya yang meninggal dunia pada usia tiga bulan 12 hari didiagnosis menghidap beberapa komplikasi berkaitan usus sejak dilahirkan pada 1 Januari lalu.
“Lepas lahir baru dapat tahu dia sakit. Selepas beberapa hari, dia masih tak buang air besar. Jadi doktor ambil sampel usus untuk ujian makmal. Doktor maklumkan usus kecil dan usus besar bayi kami tiada saraf, jadi ia tak dapat berfungsi.
“Sejak lahir sampai umurnya tiga bulan, dia duduk di hospital. Kemudian doktor panggil kami, maklumkan dah tak ada rawatan untuk teruskan. Jadi doktor akan off ubat dan drip air dia. Sebelum bawa balik, doktor pun dah maklumkan apa akan jadi.
“Doktor kata, dia hanya mampu bertahan dalam tujuh hari ke bawah. Tapi Alhamdulillah, bayi kami bertahan tujuh hari. Sepanjang tempoh itu, saya dan suami ada bagi dia susu dan air zam-zam. Tapi sebanyak mana kuantiti yang kami bagi, sebanyak itu juga yang keluar.
“Pada 13 April, tepat pukul 12 malam dia dah tak ada. Genap tujuh hari dia dibawa balik ke rumah. Sebelum dia pergi, setiap hari saya doa agar urusan dipermudahkan, tak sanggup tengok dia seksa. Jadi saya reda dia pergi,” ujarnya sebak.
Akuinya yang dipanggil Fina masih cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas puteri kesayangannya pergi buat selama-lamanya, minggu lalu.
Enggan terus berduka, Fina berkata, dia hanya mengambil cuti selama tiga hari sebelum kembali bekerja bagi meredakan kesedihannya.
Lebih memilukan,dia dan suami, Muhammad Faisal, 25, juga sudah membuat persiapan lebaran termasuk membeli pakaian buat anaknya.
Namun dia reda dengan ketentuan Allah dan menganggap tiada rezeki untuknya meraikan Aidilfitri sebagai seorang ibu pada tahun ini.
“Saya sebenarnya dah beli baju raya untuk dia, siap beli gaun. Tapi tak apalah, Allah lebih sayangkan dia. Baju raya saya dan suami belum beli lagi, tiada semangat nak raya tahun ni.
“Tapi saya bersyukur, suami banyak beri kekuatan. Dia pun sedih, tapi dia perlu kuat untuk saya. Selain itu, adik-beradik, keluarga dan kawan-kawan pun banyak bagi semangat,” ujarnya yang baru mendirikan rumah tangga pada Oktober 2020.
Untuk rekod, Fina pada Mac 2020 pernah mendapat liputan mStar apabila ibunya, Allahyarham Rosimah Ismail meninggal dunia akibat kanser lidah.
Ujar Fina lagi, dia reda dengan ujian yang bertalu-talu dalam tempoh singkat, di samping berterima kasih atas titipan doa netizen buat keluarganya.
“Orang tahu, saya diuji bertalu-talu. Pada 2020, saya jaga mak saya yang sakit kanser lidah sehingga ke akhir hayatnya. Kali ini anak sulung saya pun sudah tiada.
“Saya ingat 2022 ada berita gembira, tak seperti 2020. Tapi sama saja. Saya reda, baby pergi jumpa nenek dia. Terima kasih kepada semua netizen yang doakan kami, terharu baca doa anda semua,” ujarnya mengakhiri bicara.
Sumber: mStar
ARTIKEL MENARIK: “Menunggu Kepulangan Yang Tak Akan Pulang.” Baru 3 Hari Habis Pantang, Suami Pula Meninggal Dunia, Kisah Wanita Ni Bikin Sebak!
ARTIKEL POPULAR: “Ya Allah Adik Gagah Juga, Kakak Tumpang.” Gelagat Comel Aafiyah Ditegur Tokti Menyakat Adiknya Bikin Ramai Terhibur
BACA INI JUGA : “Cantiknya Baby Khadeeja, Secantik Namanya. Muka Chinese Look.” Intan Ladyana Dedah Wajah & Nama Anak
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club