Harta Faraid Itu Juga Satu Ujian Pada Yang Hidup. Hadam Perkongsian Ni!

Share

Dek kerana harta peninggalan si mati, macam-macam ujian boleh berlaku. Sering juga menjadi punca adik beradik bergaduh, berantakan malah lebih menyedihkan sanggup juga memutuskan hubungan kekeluargaan.

Senario ini bukan perkara yang jarang-jarang berlaku bahkan menurut Peguam Nur Zabetha firmanya selalu sangat dirujuk berkitan isu harta pusaka ini.

Ada macam-macam kes dan di sini dikongsikan untuk dijadikan ikhtibar buat semua. Ayuh baca perkongsiannya.


Kalau terbaca isu berebut harta si mati, memang saya tak boleh lepas merasakan perasaan ‘tak patut’.

Firma kami selalu juga dirujuk dengan berkaitan harta pusaka. Isu ini selalunya sangat sensitif. Kubur masih merah, sudah adik-beradik berebut berharta.

Kadangkala bila tidak kena gaya sehingga berparang-parang, bergaduh tak tentu hala, sentiasa bermasam muka, sehingga tidak bertegur sapa. Harta si mati punya pasal.

Soalan selalu saya tanya kepada isteri atau suami yang mendapatkan pandangan, biasanya: “Adik-beradik si mati, waktu hidup ada bertanya khabar? Ada melawat?”

“Tidak”

“Kalau minta tolong bila waktu susah, ada membantu?”

“Tidak”

Saja. Saya ingin tahu. Apa tidaknya, bila berlaku kematian, yang tidak bertanya khabar sewaktu hidup dahulu tetapi yang inilah yang selalu terpaling awal mempertikaikan tentang harta pusaka.

Yang apabila waktu hidup si mati, tidak langsung membantu namun terpaling awal juga selalu menuntut. Kalau waktu hidup itu bukan main payah hendak kita harapkan tetapi bab menuntut harta, dia dibarisan paling hadapan mempertikaikan hak.

Terpaling awal mempertikaikan harta si mati, lebih awal berbanding si isteri atau suami yang sama-sama berkongsi hidup, bersama merasa susah dan senang, bersama-sama tahu pahit menjerih bekerja mengumpul harta membela anak-anak dan membayar tanggungan itu dan ini tanpa bantuan adik-beradik.

Tetapi yang terpaling awal menuntut harta si mati itu selalunya yang sama-sama tidak merasa susah dan payah sewaktu hidup. Yang tidak menghulur bantuan. Yang tidak bertanyakan khabar dan berita.

Tetapi apabila berlaku kematian, yang terpaling awal menuntut ini biasanya yang akan kata “Ini Faraid, kita ikut undang-undang Islam. Ini hak kami”. Yang bab ini mereka tahu hak. Mereka taat dan ingin tuntut perintah Allah.

Tetapi mereka pandai memilih. Mereka pilih untuk taat tentang isu pembahagian faraid tetapi memilih tidak taat pada bahagian menyelesaikan hutang si mati, zakat si mati atau menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak atau pasangan si mati.

Tetapi setelah dapat harta, hilang begitu sahaja. Sekali lagi lupa hendak bertanya hak balu atau duda yang kematian pasangannya yang tercinta. Yang kalau hendak dikira, merekalah paling bersedih, sudahlah kehilangan diasak pula dengan isu harta oleh adik-beradik yang tak reti sabar menunggu harta diagih-agihkan.

Setelah dapat harta, langsung yang terpaling awal ini tidak bertanya tentang hal anak-anak si mati. Cukup makan ke tidak? Perbelanjaan semua bagaimana? Tidak peduli langsung. Kerana dia hanya taat pada perintah Islam faraid sahaja, tidak yang lain.

Kalaulah pasangan atau anak-anak si mati tidak cukup perbelanjaan selepas kematian si mati, manalah tahu atas dasar kemanusiaan ingin didermakan sedikit bahagian faraid yang diperolehi dari si mati secara percuma itu. Tetapi tidaklah perkara ini berlaku.

Sebenarnya selepas memperolehi harta, nafkah anak-anak si mati perlu diambil tahu dan kalau anak-anak masih belum baligh, waris si mati yang mewarisi harta perlu menanggung nafkah anak-anak si mati.

Kadangkala harta faraid ini, saya lihat sebagai ujian juga kepada yang hidup ini. Adakah kita cukup kuat menahan ujian harta? Setelah menerima harta ini, adakah kita cukup kuat untuk menahan dugaan supaya amanah dan tidak lepas tanggungjawab kita?

Adakah kita ini bermulia hati dan cukup kuat setelah menerima harta, menjaga hal ehwal dan kebajikan anak dan isteri si mati?

Kita sebagai orang Islam tahu tentang hukum faraid. Benar sebagai orang Islam, wajib kita ikut. Tetapi, betapa mulia sekiranya, yang tidak bertanya khabar, yang tidak peduli tentang hal rumah tangga si mati, susah senang si mati bermulia hati mendermakan bahagian mereka kepada anak-anak atau pasangan yang lebih memerlukan.

Pernah dahulu saya berkongsi tentang kisah bagaimana seorang anak, yang terlibat dalam kemalangan sehingga dipotong kaki. Dia koma dan ayahnya menggunakan wang pampasan yang patut dia dapat.

Sedikit pun tidak diberikan kepada anaknya, habis dibelanjakan oleh ayahnya untuk diri sendiri. Yang kehilangan kaki, si anak. Yang masa depan berubah selama-lamanya, si anak. Tetapi yang menikmati harta dan yang mendapat kesenangan dari derita si anak adalah ayah.

Begitulah ujian duit dan harta ini sampai manusia jadi alpa dan lupa pada tanggungjawab, sampai tidak rasa ihsan dan belas, sampai lupa hubungan anak-beranak.

Baca juga artikel berkaitan : Kena Tahu Hak Masing-masing Dalam Faraid Agar Tidak Bersengketa

Malahan ada jenis yang duit bukan menjadi haknya juga sanggup dirampas, selagi mana ada peluang. Kes begini selalunya apabila melibatkan ahli keluarga yang diamanahkan sebagai pemegang amanah bagi harta anak-anak si mati yang belum mencapai usia. Disalah tadbir dan disalah urus.

Ingatlah, kehidupan ini sementara. Harta dan dunia juga sementara. Kalau bukan hak kita jangan ambil.

Kalau hak kita sekalipun, kita merasakan lebih mulia sekiranya menderma demi menjaga hak dan kebajikan anak-anak dan pasangan si mati. Maka dermalah. Besar balasannya.

Sumber : Nor Zabetha

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club