“Hari Ni Last Ayah Bertugas.” Pesanan Terakhir Anggota Polis Pada Anak Sebelum Maut Ketika Bertugas

Share

Tiada siapa menyangka, itulah hari terakhir dua orang anggota polis ini menjalankan tugas, sebelum kedua-duanya terlibat dalam kemalangan maut. Kira-kira pukul 5,30 pagi semalam, dua orang anggota polis L/Kpl Saifullah Bin Mohamad dan L.Kpl Mohamad Johari Bin Rosli maut dirempuh sebuah lori membawa roti ketika sedang mengemas sebaik selesai melakukan sekatan jalan raya di laluan berkenaan.

 

Berkongsi momen terakhir sebelum suaminya maut, Norhafiza Binti Fazil, 28, balu isteri kepada Lans Korperal Mohamad Johari Rosli, teringat arwah suaminya sebelum itu memujuk anak sulung lelakinya yang berusia 4 tahun sebelum keluar bekerja malam sebelum hari kejadian.

“Hari ini ayah ‘last’ kerja”. Itu kata-kata terakhir yang diucapkan Lans Korperal Mohamad Johari Rosli, 32, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Canggung, Taman Pasir Putih di sini awal pagi tadi.

“Suami saya mula bertugas pada jam 12 tengah malam hingga enam pagi, jadi memang kebiasaannya bila dia kerja malam anak-anak tidur lambat untuk bermain dengannya.

“Jadi sebelum keluar dari rumah, anak saya ada merajuk suami mahu keluar bekerja, jadi itu yang dia kata malam ini sahaja dia ‘last’ bekerja dan berjanji untuk bawa anak saya keluar gunting rambut esoknya,” katanya.

Norhafiza berkata, dirinya mula khuatir dengan keadaan suaminya apabila anak sulungnya tiba-tiba terjaga pada jam 2 pagi kerana ketakutan tanpa memberitahu sebarang sebab.

“Anak saya tiba-tiba datang kata dirinya takut, saya tenangkan dia dan kami kembali tidur sebelum saya bangun semula pada jam 6 pagi untuk kerjakan solat Subuh.

“Masa selesai solat, tiba-tiba saya menerima pesanan ringkas dari rakan-rakan yang juga isteri kepada anggota. Mereka tidak maklumkan suami sudah tiada tetapi cara mereka bertanya khabar seperti itu membuatkan saya betul-betul tidak sedap hati,” katanya.

Katanya, sejam selepas itu dia dan keluarga kemudiannya didatangi dua anggota yang memaklumkan suaminya telah terlibat dalam kemalangan dan perlu pergi ke Pusat Perubatan Forensik di HSI.

“Masa ini pun saya tidak dimaklumkan apa-apa, cuma mereka (anggota polis) mahu saya ikut ke HSI. Dalam perjalanan ke sana pun saya terima panggilan daripada bapa mertua yang menyuruh saya bersabar.

“Dari itu fikiran saya memang sudah tidak menentu, memang dah fikir bukan-bukan sehinggalah dimaklumkan suami saya sudah tiada,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dengan tiga orang anak Muhammad Haziq Hakimi, 4; Nur Hassya Adrina, 3 dan Nur Hanna Aleesya, 11 bulan.

Terdahulu jenazah Allahyarham bersama rakannya itu turut disembahyangkan di Surau IPD Seri Alam sebelum dihantar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Minyak, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

Sumber: Sinar Harian  Harian Metro