Tiada siapa menyangka, itulah hari terakhir dua orang anggota polis ini menjalankan tugas, sebelum kedua-duanya terlibat dalam kemalangan maut. Kira-kira pukul 5,30 pagi semalam, dua orang anggota polis L/Kpl Saifullah Bin Mohamad dan L.Kpl Mohamad Johari Bin Rosli maut dirempuh sebuah lori membawa roti ketika sedang mengemas sebaik selesai melakukan sekatan jalan raya di laluan berkenaan.
Berkongsi momen terakhir sebelum suaminya maut, Norhafiza Binti Fazil, 28, balu isteri kepada Lans Korperal Mohamad Johari Rosli, teringat arwah suaminya sebelum itu memujuk anak sulung lelakinya yang berusia 4 tahun sebelum keluar bekerja malam sebelum hari kejadian.
“Hari ini ayah ‘last’ kerja”. Itu kata-kata terakhir yang diucapkan Lans Korperal Mohamad Johari Rosli, 32, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Canggung, Taman Pasir Putih di sini awal pagi tadi.
“Suami saya mula bertugas pada jam 12 tengah malam hingga enam pagi, jadi memang kebiasaannya bila dia kerja malam anak-anak tidur lambat untuk bermain dengannya.
Ads
“Jadi sebelum keluar dari rumah, anak saya ada merajuk suami mahu keluar bekerja, jadi itu yang dia kata malam ini sahaja dia ‘last’ bekerja dan berjanji untuk bawa anak saya keluar gunting rambut esoknya,” katanya.
Norhafiza berkata, dirinya mula khuatir dengan keadaan suaminya apabila anak sulungnya tiba-tiba terjaga pada jam 2 pagi kerana ketakutan tanpa memberitahu sebarang sebab.
“Anak saya tiba-tiba datang kata dirinya takut, saya tenangkan dia dan kami kembali tidur sebelum saya bangun semula pada jam 6 pagi untuk kerjakan solat Subuh.
“Masa selesai solat, tiba-tiba saya menerima pesanan ringkas dari rakan-rakan yang juga isteri kepada anggota. Mereka tidak maklumkan suami sudah tiada tetapi cara mereka bertanya khabar seperti itu membuatkan saya betul-betul tidak sedap hati,” katanya.
Ads
Katanya, sejam selepas itu dia dan keluarga kemudiannya didatangi dua anggota yang memaklumkan suaminya telah terlibat dalam kemalangan dan perlu pergi ke Pusat Perubatan Forensik di HSI.
“Masa ini pun saya tidak dimaklumkan apa-apa, cuma mereka (anggota polis) mahu saya ikut ke HSI. Dalam perjalanan ke sana pun saya terima panggilan daripada bapa mertua yang menyuruh saya bersabar.
Ads
“Dari itu fikiran saya memang sudah tidak menentu, memang dah fikir bukan-bukan sehinggalah dimaklumkan suami saya sudah tiada,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dengan tiga orang anak Muhammad Haziq Hakimi, 4; Nur Hassya Adrina, 3 dan Nur Hanna Aleesya, 11 bulan.
Terdahulu jenazah Allahyarham bersama rakannya itu turut disembahyangkan di Surau IPD Seri Alam sebelum dihantar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Minyak, Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Siapa yang tak kenal dengan pasangan sweet couple, selebriti Eira Syazira dan Azad Jasmin ini sentiasa berkongsi kehidupan keluarga kecil mereka buat peminatnya.
Baru-baru ini, viral pelakon Azad Jasmin menunaikan impian isterinya, aktres Eira Syazira untuk memiliki sebuah ‘rumah impian’. Azad atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Azad turut merakam momen indah ketika membuat kejutan untuk isteri tersayang.
Terbaharu menerusi hantaran video yang dimuat naik Eira di Instagram, memperlihatkan Pak Azad bersahur bersama keluarga hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Apa yang menarik perhatian, celoteh Azad dan Eira yang sibuk menghidangkan sahur buat keluarga di kediaman baru.
Malah pasangan serasi ini tidak sangka live yang dibuat ketika sahur tetap mendapat tontonan ramai.
Dalam pada itu, menerusi tonton video kelihatan secara spontan Eira santuni Pak Azad dengan menghulur hidangan. Malah sempat membebel apabila Pak Azad yang hampir menumpahkan kuah di atas meja makan.
Eira juga turut memberitahu kepada peminatnya bahawa Pak Azad seorang yang berselera ketika sahur.
Melihat keadaan rumah dan lauk pauk yang banyak di hidang di meja, ada yang bertanyakan mengenai pembantu rumah pasangan selebiri ini. Jelas Eira pembantunya telah pulang ke negara jiran atas urusan keluarga.
Sebagai pasangan suami isteri tentunya mendambakan mempunyai zuriat penyambung keturunan. Namun hidup ini penuh ujian hingga ada yang telah pun berbelas tahun mendirikan rumah tangga namun belum lagi dikurniakan rezeki anak.
Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, namun kita hanya merancang, Allah juga merancang dan sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang.
Inilah yang dikongsikan oleh pelawak dan pelakon, Achey pasrah apabila keputusan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dilakukan isterinya, Anne tidak berjaya.
Buat follower Keluarga, sila guna kod promo KELGSP5 untuk pembelian British Polo Yuna Handbag Set dengan harga lebih murah hanya di GO SHOP
Menerusi hantaran video dalam Instagram miliknya, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 36, dilihat menenangkan isterinya yang tidak dapat menahan sebak setelah mendapat tahu keputusan rawatan tersebut.
“Syukur alhamdulillah, reda. Anne (isterinya) mohon bangkit dengan kuat,” tulis Achey menerusi ruangan kapsyen.
Achey juga meminta sedikit ruang buat isteri tercinta, Anne atau nama sebenarnya Nor Hasanah yang masih dalam keadaan berduka.
“Empat bulan keluar masuk sini…. jumpa lagi… bukan tak move on tapi ianya sedikit perlahan… ruang masa mungkin lebih..”
Malah video pendek itu turut memperlihatkan betapa isterinya sedih berada di kerusi roda sambil memeluk erat achey yang nampak begitu tenang menerima berita pilu ini.
Begitu juga menerusi perkongsian Anne di laman sosialnya turut berkongsi berita sedih tersebut dengan anak angkatnya. Di lihat Tiara menangis apabila mengetahui dirinya tidak dapat menjadi seorang kakak.
“Kita usaha,Allah menentukan….Mungkin belum ada rezeki utk kita….Kakak sabar ya,insyaAllah ada rezekinya nanti…😢😢😭😢 kalau kakak sedih,mama dgn ayah 10x lagi sedih….Mama sayang awak dan ayah awak” tulisnya di kapsyen hantaran video yang cukup menyentuh hati hingga mengundang sedih warganet.
Apabila menyebut amalan pengambilan madu dalam keluarga, umum mengetahui ia adalah suatu perkara yang sangat bagus. Khasiat madu dapat dimanfaatkan oleh anak-anak hinggalah orang dewasa, ini memandangkan madu juga dikenal sebagai sahabat kepada penjagaan kesihatan.
Oleh itu, ada baiknya kita mengetahui secara detail tentang khasiat, tip dan pantang larang pengambilan madu ini bersama Dr. Suri Roowi, Pakar Saintis Prinsipal dan Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan. Jom semak.
APAKAH YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG MADU?
Saya terpanggil untuk berkongsi makumat tentang artikel berkenaan madu yang menjadi tular dalam media sosial baru-baru ini yang mungkin agak mengelirukan.
Soalan 1:Adakah madu sesuai diambil bersama garam?
Jawapan
Penggunaan garam yang tinggi akan menurunkan aktiviti enzim dalam madu. Fungsi enzim dalam madu adalah untuk membantu memecahkan bahan-bahan berkhasiat dan membantu memecahkan bahan seperti karbohidrat dan protein.
Pengambilan madu beserta garam akan menurunkan aktiviti enzim dalam madu dan secara tidak langsung ianya akan mengurangkan khasiat madu tersebut.
Soalan 2: Bagaimanakah bahan berkhasiat dalam madu diserap dalam badan?
Jawapan
Kenyataan yang menyatakan bahawa makanan yang berada dalam perut melebihi 20 jam akan menyebabkan keracunan adalah kurang tepat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa kebanyakan bahan berkhasiat (polifenol) akan dipecahkan dan diserap dalam badan di antara 5 hingga 24 jam dan ianya berlaku dalam usus besar manusia.
Madu tinggi asid fenolik (bahan berkhasiat) dan bahan ini diserap dalam perut dan usus kecil dalam masa 5 hingga 30 minit. Seeloknya diminum semasa perut kosong dan pengambilan makanan lain sebaiknya dibuat selepas 1 jam minum madu.
Soalan 3 : Bagaimana cara makan buah dan adakah madu boleh diambil bersama buah atau makanan lain?
Jawapan
Kita boleh makan buah dalam keadaan perut kosong. Ini disebabkan bahan berkhasiat antioksidan (asid fenolik) akan lebih mudah dan lebih banyak diserap. Jika seseorang itu tidak tahan dengan buah-buahan berasid, buah boleh diambil bersama sedikit makanan contohnya roti. Cuma perlu elakkan makan buah bersama makanan tinggi protein atau lemak contohnya susu.
Jika anda ingin minum madu bersama susu, sebaiknya ia diambil bersama barli. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa “Rasulullah s.a.w. menyuruh agar talbinah disediakan kepada orang sakit dan orang bersedih atas kematian seseorang. Beliau (Aisyah) berkata `Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda . `Sesungguhnya talbinah dapat menenangkan hati pesakit dan menghilangkan sebahagian kesedihan”
Talbinah dibuat menggunakan barli + susu + madu
Barli juga tinggi beta-glukan dan bahan ini;
a. merupakan fiber larut air
b. tidak dapat diuraikan oleh enzim
pencernaan usus kecil
c. terus dibawa ke usus besar dan
difermentasi oleh mikroflora usus besar
d. bertindak sebagai prebiotik iaitu
menggalakkan pertumbuhan bakteria
baik seperti bifidobakteria, laktobasillus
dan merencatkan pertumbuhan bakteria
berbahaya seperti enterobacteriaceae.
e. membantu meleraikan bahan berkhasiat
dalam madu yang mungkin terikat bersama
bahan lain dalam usus besar manusia
Buah juga boleh diambil bersama madu kerana kebanyakan bahan berkhasiat dalam buah adalah dari jenis larut air, sama seperti dalam madu. Enzim dalam madu juga akan membantu meleraikan bahan berkhasiat dalam buah agar ianya hadir dalam bentuk bebas dan seterusnya mudah diserap dalam perut manusia
Soalan 4 : Bagaimana cara untuk menentukan madu itu asli atau tidak?
Jawapan
Menurut kaedah tradisional, keaslian madu ditentukan dengan merujuk kepada beberapa kaedah ringkas. Diantaranya adalah…
a. Madu asli akan berbentuk hexagon (segi enam) bila digoyang dalam gerakan
memusing dalam semangkuk air.
b. Madu asli membenarkan mancis yang telah dicelup ke dalamnya menyala
walaupun madu masih ada di kepala mancis – madu asli atau tiruan akan
menyala jika kandungan airnya rendah
c. Madu asli tidak membentuk mendapan walaupun disimpan bertahun-
tahun.
Sebenarnya, madu lebah asli – air (18%-20%). Maka madu lebah asli atau tiruan tetap akan mengeras jika dibiarkan lama di dalam peti sejuk beku terlalu lama.
Semua kaedah di atas BELUM lagi dibuktikan secara saintifik dan diragui kebenarannya
Cara yang terbaik untuk menentukan keaslian madu ialah dengan merujuk kepada Alquran iaitu dalam Surah AnNahl (16): ayat 69
…kemudian makanlah dari tiap-tiap buah-buahan, maka masuklah oleh engkau jalan-jalan Tuhan engkau yang dimudahkan, ia keluar dari perut-perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, padanya penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, tanda-tanda bagi kaum yang mereka berfikir….
a. Madu yang banyak khasiat adalah madu yang mempunyai pelbagai warna contohnya warna kuning emas, warna gelap contohnya perang.
b. Antara komponen warna dalam madu dipanggil antosianin dan bahan ini termasuk dalam kumpulan flavonoid (antioksidan). Bahan antioksidan yang diterangkan dalam ayat ini adalah bahan penawar kepada manusia.
c. Ini menunjukkan bahawa AlQuran bukan perkataan manusia dan ianya adalah Kalam Allah yang diturunkan 1400 tahun dahulu. Sains baru sahaja menjumpai komponen warna/antioksidan boleh bertindak sebagai ubat atau penawar.
d.Ayat ini jelas menunjukkan bahawa makanan khususnya madu boleh bertindak sebagai ubat atau penawar penyakit. Dalam lain perkataan – `Food as Medicine’
e.Bahan antioksidan ini boleh dianalisa menggunakan alatan makmal yang dikenali sebagai HPLC
Kajian saya menunjukan madu kelulut lebih tinggi khasiat asid fenolik berbanding madu biasa. Hasil kajian saya juga madu kelulut asli juga ada yang mempunyai warna seperti susu tetapi kebanyakkan madu kelulut berwarna emas, perang (pekat atau pudar)
Soalan 5 : Adakah madu boleh diletak dalam peti ais?
Jawapan
Madu sebaiknya disimpan dalam chiller atau suhu bilik (jika telah dibuang airnya). Madu (khususnya madu kelulut) sebaiknya dibuang air untuk mengelakkan berlaku penapaian (yang akhirnya akan mengurangkan khasiat madu tersebut). Enzim dalam madu juga akan rosak jika didedahkan pada suhu tinggi. Bahan karbohidrat dalam madu juga akan berubah kepada hidroksimetilfurfural (HMF) jika didedahkan pada suhu tinggi seperti dimasak atas dapur atau diletakkan dalam bonet kereta pada suhu panas
Moga Bermanfaat
Ektra Info Tentang Dr Suri Roowi
Beliau adalah Saintis Prinsipal dan Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan – Makanan Kesihatan (Food Desigining), Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, MARDI. Beliau banyak terlibat dengan analisa bahan berkhasiat dalam madu, herba dan buah-buahan dan merupakan Pengerusi Kumpulan Kerja (WG) Standard Madu Kelulut Malaysia. Beliau juga banyak terlibat dengan pembangunan produk makanan kesihatan berasaskan madu. Dr Suri juga terlibat dengan kajian pre-klinikal (melibatkan kajian ke atas tikus) dan kajian klinikal (melibatkan kajian ke atas manusia) khususnya kajian ke atas penyerapan bahan-bahan berkhasiat dalam tubuh. Sebelum ini beliau pernah bersiaran dalam slot Rahsia Alam di bawah IKIM. Slot ini banyak berkongsi sumber-sumber alam sebagai makanan kesihatan.
Bagi yang belum mencuba, apa kata anda mencuba hasilkan gambar raya tahun ini menggunakan Ghibli Style yang trending sekarang ini. Paling penting cara hendak membuatnya cukuplah mudah.