Berita

“Hari Ini Genap 6 Bulan 9 Hari…” Che Ta Luah Sebak

Share

Kehilangan anak bongsu pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha, mengejutkan ramai pihak.

Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees menghembuskan nafas terakhir dalam tidur, meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada ibu bapanya, tetapi juga ibu saudaranya, Rozita Che Wan atau dikenali juga sebagai Che Ta.

Berkongsi tentang hubungan rapatnya dengan si kecil, pelakon popular yang dikenali sebagai Che Ta sempat mengimbau momen-momen indah bersama Allahyarham yang sukar dilupakan.

Pemergian Muhammad Aisy Al Rees meninggalkan kesan mendalam buat seluruh keluarga, apatah lagi dengan ikatan erat yang terjalin antara mereka.

“Dia baby yang baik amat-amat. Mereka kan selalu datang tidur di rumah, jadi memang rapatlah dengannya (arwah).”

“Boleh dikatakan setiap minggu Ayu dan anak-anak datang bermalam di rumah saya.”

“Jadi hubungan saya dan anak-anak Ayu memang sangat rapat.

Hari ni usianya genap enam bulan sembilan hari,” katanya.

Turut berkongsi detik akhir Allahyarham, Che Ta berkata, beliau menerima berita kehilangan anak saudaranya pada tengah hari Selasa.

“Arwah meninggal dunia sekitar 1 tengah hari ketika di rumah.

“Ayu panggil ambulans sebab tengok baby sudah tidak sedarkan diri, meninggal dunia dalam tidur,” kongsinya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta semua pihak termasuk wartawan memberi ruang sewajarnya kepada Ayu Raudhah dan Zaquan Adha buat masa ini.

Ujar Rozita atau mesra dengan panggilan Che Ta, beliau sudah pun memberi kenyataan kepada rakannya, Zaidi atau Jaydee untuk dikongsikan kepada rakan media.

“Mohon semua wartawan bagi ruang kepada Ayu Raudhah dan Zaquan.

“Tolong fahami situasi yang sangat-sangat sedih ini, cukuplah kami dah bagi kenyataan kepada Jaydee. Tak perlulah datang dan terjah. Terima kasih dan memahami situasi kami saat ini,” katanya menerusi perkongsian di Insta Story miliknya.

Terdahulu, berita kematian anak kecil itu dikongsikan bapanya, Zaquan Adha menerusi Insta Story.

Aisy Al Rees dilahirkan pada 2 Ogos lalu.

Selain Aisy Al Rees, Ayu dan Zaquan dikurniakan enam lagi cahaya mata, Muhammad Aisy Qaiser, 11; Muhammad Aisy Aryann, 10: Laura Zuleykha, 7; Muhammad Aisy Khaliq, 5; Muhammad Aisy Al Jibreel, 2, dan anak keenam, Qaisy berusia setahun.

Sumber: Astro Gempak