Anak-anak kecil kita yang masih bersekolah rendah tidak mudah mengalirkan air mata bila mana kita ceritakan kisah yang sedih. Mungkin mereka masih belum memahami. Apa yang mereka tahu adalah meneruskan kehidupan dengan penuh ceria tanpa ada sebarang masalah.
Tapi perkongsian kisah Ustaz Ebit Lew mengenai ibunya yang telah pergi dan pendekatan serta keikhlasan yang ditunjukkannya membuatkan anak-anak di Sekolah Kebangsaan Taman Jana, Perak menangis teresak-esak. Sungguh menyentuh hati. Kita dewasa yang mendengarnya pun terasa sebak.
“Hargai mak ayah dan cintai mereka. Jangan sekali-kali sakiti dan buat air mata mereka mengalir sedih kerana kesalahan kita. Kata Ustaz Ebit Lew menerusi program Prokids yang dilakukannya pada sekolah-sekolah.
Kita kena syukuri nikmat Islam. Abang kakak adik anak-anak saya..kita kena belajar syukuri nikmat Islam, hargai Islam. Allah sayang kita dia beri mak ayah yang baik.
Saya pun sayang mak saya, tapi mak saya dah tak ada, dah meninggal dunia. Saya ada peluang untuk jumpa dia lagi sebab mak saya meninggal dengan Islam. Dia meninggal dengan jaga sembahyang di hujung-hujung usia dia.
Mak saya dah tua, sebelum meninggal dia sakit. Masa umur saya 15 tahun kami semua orang susah, bapak saya bankrap, mak saya kerja kedai makan. Tengah malam baru mak bawak balik nasi goreng pataya. Tengah malam semua lapar, dapat nasi goreng saya terus menangis sebab tak ada makanan nak makan kat rumah.
Sejak itu saya kata saya takkan susahkan mak ayah saya lagi. Sejak umur 15 tahun sampai sekarang saya tak pernah mintak duit kat mak. Dekat sekolah dan asrama kawan-kawan makan sedap, saya tak ada duit, saya teringin saya menangis.
Saya doa kat Allah, saya teringin nak makan macam kawan-kawan saya.
Bila dah kerja, gaji pertama saya 700, semua gaji saya bagi kat mak saya. Ada lebih saya makan, tak ada saya tak makan. Setiap hari saya tulis surat pada mak ayah saya. Jangan risau mak kata kita ada Allah. Mak kata tak senang pun tak apa.
Tiga tahun lepas rezeki saya mencurah-curah, saya pergi kawasan pendalaman. Saya tengok anak orang asli hidu gam, saya tekad nak islamkan mereka. Satu hari adik saya call cakap mak saya sakit.
Saya tak pernah terfikir mak akan sakit. Saya batalkan ceramah sebulan lebih nak jaga mak saya tapi mak saya kata saya anak derhaka kalau saya batalkan dakwah saya di situ. Saya menangis bila mak tak bagi saya balik.
Cinta yang paling ikhlas adalah cinta mak ayah pada anak-anaknya. Setiap kali telefon mak saya mintak mak letak pipi kat telefon sebab saya nak cium, mintak letak tangan di telefon supaya saya nak cium. Saya rindu nak cium tangan dia.
Tapi satu hari tengah ceramah, ada orang bagitau ustaz kena ke hospital sekarang. Saya pergi ke hospital masa tu saya teringin nak cium mak saya. Mak saya dah terbaring, penuh wayar penuh di muka. Saya doakan mak saya dipanjangkan umur masa tu.
Lepas saya doa mak saya meninggalkan. Saya mandikan jenazahnya. Masa saya ambil air sembahyang adik beradik saya beritahu muka mak saya tersenyum. Mak saya bukan ustazah bukan pendakwah, bukan terkenal pun tapi bila dia meninggal mak saya tersenyum. Saya balas senyuman mak saya.
Selamanya ni bukan saya yang susah berdakwah tapi mak saya. Saya dapat apa yang saya dapat ni kerana mak saya. Saya balik saya ambil baju mak saya. Baju tu sampai sekarang saya simpan. Saya rindu mak saya.
Siapa ada keluarga sila hargai mak ayah awak. Awak akan tahu nilainya bila mak ayah sudah dikafankan, jenazah berada di depan awak, baru awak akan teringat mereka semua. Saya yakin bahawa anak-anak yang baik adalah anak-anak yang sayangkan mak ayahnya.
Sila hargai mak ayah anda.
Uztaz Ebit Lew