Jika dahulu, pepatah ini, ‘Guru Ibarat Lilin, Membakar Diri Menerangi Yang Lain’, pasti kita membayangkan usaha dan tenaga cikgu mengadakan kelas tambahan untuk memastikan anak-anak muridnya berjaya. Kini selain tugas hakiki tersebut terdapat guru yang membuat kerja-kerja kebajikan untuk membantu anak murid yang miskin dan kurang bernasib baik.
Begitulah yang dilakukan oleh Mohd Fadli Salleh yang menguruskan urusan bantuan pakaian dan kelengkapan sekolah yang disumbangkan oleh penderma buat anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan. Biarpun sudah hampir pertengahan tahun persekolah, bantuan tetap diberi kepada anak-anak ini.
Beliau juga sempat berpesan kepada anak-anak muridnya bahawa menghargai sumbang yang diberi dan tidak lupa diri. Menitipkan nasihat kepada anak-anak murinya agar ia menjadi pencetus kepada murid-murid ini menjadi seorang yang mensyukuri nikmat dalam kehidupannya
“Awak mungkin lupakan cikgu suatu hari nanti. Awak mungkin lupa wajah cikgu. Mungkin lupa nama cikgu.
Namun cikgu harap awak akan ingat kejadian hari ini. Kejadian di mana ada orang yang tiada hubungan persaudaraan dengan kamu datang membantu.
Cikgu sangat berharap kamu sentiasa ingat ada seseorang yang tidak melupakan awak disaat awak dan keluarga awak dalam kesusahan.
Awak mungkin seorang anak yatim pada hari ini, awak mungkin dari keluarga miskin hari ini, dan bila awak besar esok, beribu-ribu kanak-kanak senasib dengan awak diluar sana.
Awak bantulah mereka seperti mana awak dibantu hari ini. Bantu apa sahaja. Jika pun tidak kaya, bantu dengan tenaga. Bantu mengelap air mata.
Kita hidup tidak lama. Dan hidup ini bukan hanya berkisar tentang kita.
Jangan biarkan kitaran peduli seperti ini terhenti. Jangan biarkan putaran kebaikan seperti ini mati.
Jangan biarkan!
Cikgu tak marah jika kamu lupa cikgu suatu hari nanti. Namun cikgu sangat marah jika kamu hentikan kitaran kecaknaan ini!”
Itulah antara bait kata yang sering aku tuturkan pada murid bila aku kumpulkan mereka untuk serahkan bantuan dan sumbangan yang kawan-kawan kirimkan.
Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.
Mohd Fadli Salleh,
Guru sekolah rendah sahaja.
Aku Seorang Lelaki, Kadang-kadang Lalai Diuji Dengan Harta, Pangkat Hingga Aku Terlupa Pengorbanan Seorang Isteri! Deep Perkongsian Suami Ni.
Menyentuh tentang pengorbanan seorang isteri, pastinya punya kisahnya yang pelbagai dan tersendiri. Bagi pihak suami pula, ada yang begitu menghargai setiap pengorbanan isteri dan bukan juga perkara pelik bila mana ada yang langsung tidak ambil pusing tentang apa yang telah dilakukan oleh isteri mereka. Itulah realiti kehidupan!
Pun begitu, perkongsian daripada seorang suami ini yang ikhlas menitipkan kata-kata penghargaan buat isteri tercinta yang sanggup hidup susah senang bersamanya hingga kini dan selamanya. Semoga kata-kata ini juga dapat menyedarkan lelaki bergelar suami untuk sama-sama tahu menghargai setiap pengorbanan isteri.
Dia isteriku .. kenal tahun 2005, kenal waktu ni aku kerja sebagai seorang penjual pencuci lantai dan pencuci sayur . Masa tu kami mula bercinta, kemudian company tutup, Aku menganggur di kampung sambil kerja di sawah, dia masih setia bersama aku .
Kemudian aku dapat tawaran kerja sebagai kerani bank, aku tunjuk surat tawaran kerja tahun 2006 dengan gaji RM995 , itu pon dia dah cukup gembira, waktu tu dia bekerja sebagai pengasuh di Taska keluarga dia , 22 Nov 2007 Kami bertunang, cukup setahun 21 Nov 2008 kami bernikah dengan majlis yang sederhana, waktu tu aku masih kerani bank yang bergaji RM1,500, dia banyak bantu sampai bahagian duit hantaran yang aku bagi pon dia pulangkan kat aku balik untuk aku mulakan kehidupan berkeluarga, Aku guna duit tu beli sikit kelengkapan rumah dan deposit beli rumah rezeki 3 bulan lepas kawin, lepas sewakan rumah pertama tu, aku beli satu lagi rumah untuk duduk . Waktu ni aku masih lagi seorang kerani bank .
Waktu pindah masuk rumah ni, dia ikut sekali dan tinggalkan urusan Taska pada adik dia, dia cakap nak berniaga nasi lemak untuk bantu pendapatan aku ketika tu. Dia bangun seawal pukul 4 Pagi , pukul 6.30 dia keluar berniaga tepi jalan nasi lemak seringgit. Bila aku keluar rumah pergi kerja, aku lalu gerai Wife berniaga dengan satu meja, satu kerusi tanpa payung. Aku banyak kali menangis sendiri dalam kereta. Lepas tu dia rasa jiwa dia lebih kepada kanak-kanak juga, dia ambil upah mengasuh anak jiran-jiran di rumah hinggalah 2 tahun yang lepas aku Minta dia stop sebab setiap hari aku takut bila asyik terbaca kat surat khabar kanak-kanak meninggal di rumah pengasuh, takut apa-apa jadi dia dipersalahkan. Kini aku sudah berkemampuan .
Dia memang senang berdikari, tapi apa-apa dia buat dia akan minta izin aku dulu. Dia tidak pernah menyusahkan, dia tak kisah walaupun tiada honeymoon ke luar negara sejak kami kawin, Port Dickson pon ok jer bagi dia. Tak pernah dia minta apa-apa hadiah mahal walaupun suaminya dah mampu. Kalau beli barang-barang mahal aku terpaksa beli senyap-senyap. Kalau tanya dia harga tu mahal dia tak mau. Emas pun tidak pernah sekali pun dia minta sebelum ni, semua dia beli sendiri, simpan duit, main kutu dengan kawan-kawan . Dia pernah cakap dulu , dia akan minta bila suaminya benar-benar mampu. Walaupun mampu, aku ni pulak jenis kalau tak mintak , memang aku tak belikan. Semalam tu dia minta belikan emas bukan dia scam aku, itulah cara nak mintak sesuatu dari aku .. Aku jenis tak pandai nak offer.
Beberapa bulan lepas dia minta izin nak bawa anak saudara dia umur 7 tahun yang OKU dan sakit jantung berlubang tinggal bersama kami, “Pa, dia anak syurga, mungkin kat ‘sana’ dia pulak akan bantu kita nanti”. Aku izinkan dan sekarang anak saudara dia tu dah tinggal bersama kami dan mula bersekolah di sini dalam kelas khas. Muka dia nampak garang , sekali dia jegil mata, budak-budak semua tunduk, tapi hati dia cukup lembut.
Aku seorang lelaki , kadang-kadang aku lalai, diuji dengan harta, pangkat hingga aku terlupa pengorbanan seorang Isteri yang setia bersama aku dari aku tiada apa-apa. Terlalu banyak lagi pengorbanan dia pada Aku hingga sebesar-sebesar pengorbanan seorang Isteri . Dia yang melengkapi segala kelemahan aku selama ni . Bila tersedar… aku hanya tahu , Aku perlu bahagiakan dia hingga akhir hayat aku. Dia Satu-satunya bidadariku.
Orang hanya melihat fizikalnya hari ini , “Untungnya dia jadi Isteri Key, mesti nak apa pon boleh dapat”. Tapi orang tak tahu bagaimana berlikunya, airmata yang tumpah, pengorbanan yang dah dia lakukan sejak mengenali aku 14 tahun yang lalu .
Kepada suami, belajarlah hargai isteri masing-masing . Kepada isteri, Jangan lelah dengan kesukaran suami sekarang, sokong dan bantu mereka untuk bangkit.
-KEY-
sumber : Khairul Ezuwan
Bimbang Keselamatan Anak, Wanita Ini Kongsi 7 Panduan Ketika Pilih Pengasuh.
Sebagai ibu yang berkerjaya, sudah tentu kita mencari pengasuh yang baik untuk memastikan anak-anak dalam keadaan selamat.
Namun, ada kalanya bimbang apabila kita banyak mendengar pelbagai kes dan kemalangan yang berlaku di taska mahu pun di rumah pengasuh. Ini sangat merisaukan kita.
Bagi yang bimbang untuk menghantar anak kepada pengasuh, boleh ikuti panduan yang disediakan oleh puan Nadia Bakar.
Seterusnya ikuti panduan ini.
Cari Pengasuh Untuk Anak
Mungkin ini rezeki. Kesemua pengasuh yang kami dapat baik-baik belaka. Dah ramai juga bersilih ganti waktu pengasuh tetap perlu bercuti, tetapi semuanya sangat bagus dan menyenangkan.
Alhamdulillah. Biasanya ada 7 perkara yang saya sentiasa buat ketika di dalam proses mencari dan apabila sudah berjumpa pengasuh yang terbaik buat anak-anak saya.
1. Sentiasa mulakan dengan doa.
Saya belajar tentang “doa dulu” sewaktu nak cari pengasuh lepas bersalinkan anak kedua, Annur.
Waktu tu memang “terpaksa” minta sungguh-sungguh pada Allah sebab pengasuh yang sepatutnya kami dah janji nak jumpa tiba-tiba dapat kerja di tempat lain.
Ya Allah!
Lagi seminggu saya dah nak masuk kerja semula ni. Mana pulak nak cari pengasuh dalam masa yang singkat? Dalam pada susah hati tu, tiba-tiba terdetik.
“Apa kata aku cuba doa yang spesifik?”
Waktu tu saya minta nak pengasuh yang baik, sama wavelength, yang boleh tolak ansur dengan kami, yang sayang anak kami macam anak dia sendiri.
Walau kita usaha macam mana sekalipun, tetaplah perlu minta petunjuk Allah sebab Dia jauh lebih tahu apa yang terbaik untuk kita kan? Jadi, nak tak nak kena letak doa sebagai usaha pertama.
Nak tahu, esoknya kami dapat pengasuh yang sama macam dalam doa saya. Sampai hari ni pun masih meremang lagi bila cakap pasal pengasuh yang ini.
2. Sentiasa kenali pengasuh.
Bab ni paling penting. Walau macam mana sibuk sekalipun, mesti selidik dulu siapa yang bakal menjaga anak-anak sementara kita pergi kerja. Risik-risik daripada jiran tetangga pengasuh juga. Inilah orang yang akan gantikan kita sebagai ibu bapa setiap hari. Pengasuh bukan semata-mata jaga makan minum anak kita saja tau. Secara tak langsung mereka juga terlibat dalam proses membina diri anak kita.
Pakat-pakat dengan suami, pergi ke rumah pengasuh. Sembang-sembang. Dari situ kita dapat gambaran macam mana tempat yang anak kita akan duduk nanti.
3. Upah pengasuh.
Biar pengasuh yang tetapkan harga. Muliakan perkhidmatan mereka. Kita tak perlu pandai-pandai nak letak harga dulu.
Jika rasa kurang mampu dan nak minta kurang, mohon budi bicara pengasuh dan sertakan sebab kita sekali. Secara fitrahnya, orang takkan buat sesuatu tanpa kita bagi tahu sebabnya. Ada rezeki, pengasuh pun faham dan rela untuk kurangkan harga.
4. Mudahkan kerja pengasuh
Bekalkan makanan, pakaian dan keperluan asas anak-anak secukupnya. Kalau tak cukup, pengasuh pun susah hati.
Contohnya, jika anak menyusu susu perahan. Tuang siap-siap ke dalam botol untuk sekali minum (per fe3ding). Mudah untuk pengasuh terus beri anak kita susu nanti.
Tidaklah pengasuh merungut di belakang kita sebab dia rasa susah bagi susu perahan beku yang perlu dicairkan terlebih dahulu sedangkan anak kita dah meraung-meraung kelaparan. Mana nak kisahkan susu lagi, anak kita lagi.
Saya pernah terbaca kisah pengasuh yang suruh si ibu belikan susu tepung sebab susah nak handle susu perahan. Sedangkan tinggi harapan kita nak menyusukan anak dengan susu perahan sampai 2 tahun.
Mudahkan kerja orang, Tuhan akan mudahkan urusan kita kan?
5. Hargai dan sayangi pengasuh.
Kita rasa kalau majikan layan kita baik-baik macam keluarga dia sendiri, kita gembira tak?
Bila pergi bercuti, beli buah tangan untuk pengasuh. Bila dapat bonus, hulurlah sedikit bonus juga. Bila dekat-dekat raya, beri duit raya. Boleh juga bayar lebih sikit setiap bulan sebagai sedekah. Sesekali bawa pengasuh makan best-best di luar. Untung-untung Allah lapangkan pintu rezeki buat kita dan jadi saham di akhirat nanti.
Bukan senang tugas seorang pengasuh. Kita yang ibu bapa kan dung ni pun berapa kali dah bertukar jadi “mak pak kau hijau” kat rumah kan?
Bila pengasuh gembira, selalunya dia akan jauh lebih gembira dan redha untuk jaga anak-anak kita. Silap-silap hari cuti pun dia minta hantar anak-anak ke rumahnya. Serius.
6. Jangan sesekali menipu.
Bab ni paling diben ci oleh sesiapa pun kan. Kita sendiri pun tak suka dit1pu. Jadi, kalau kita ada hal peribadi di luar yang menyebabkan pengasuh terpaksa jaga anak kita lebih masa atau waktu yang sepatutnya pengasuh cuti (selalunya hujung minggu), cerita betul-betul pada pengasuh.
“Makcik, hari ni saya cuti. Tapi saya kena pergi Damansara, ada urusan peribadi sikit.”
Selalunya pengasuh boleh bertolak ansur kalau kita ni banyak menyenangkan dia. Malah dia sentiasa berbesar hati untuk tolong kita.
7. Teruskan berdoa dan berdoa.
Bila kita dah pun usahakan apa yang patut, jangan lupa untuk berdoa buat pengasuh dan anak-anak kita. Setiap hari.
Doakan pengasuh diberikan kesihatan yang baik, diluaskan pintu rezeki dan dipermudahkan segala urusannya.
Semoga Allah pelihara keselamatan pengasuh dan anak-anak kita sepeninggalan kita untuk bekerja. Boleh juga amalkan doa dengan Asmaul Husna.
Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Allah.
Ya Allah yang Maha Memelihara. Kau peliharalah keselamatan pengasuh dan anak-anak kami. Hanya Kau sebaik-baik pemelihara.
Begitulah.
Sumber: Puan Nadia Bakar
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Keluarga akan mengadakan program e-keluargagader : Jom Masak Menu Iftar Kegemaran Keluarga secara virtual pada 2 April ini jam 2.30 petang- 4.30 petang. Jom daftar ramai-ramai, kita belajar buat 2 menu berbuka yang istimewa daripada chef terkenal, Chef Amer. Hanya RM 20, dan anda layak menerima satu tiket Farm In The City secara PERCUMA dan banyak lagi hadiah menarik ditawarkan untuk peserta. Jadi usah tunggu lagi, jika anda berminat, daftar di link ini https://toko.ideaktiv.com/product/jom-masak-menu-iftar-kegemaran-keluarga/ Anda juga boleh whatsapp admin di 016-9647520 untuk info lanjut.
KELUARGA TALK: Nak tahu formula mengurus belanjawan keluarga dengan sistematik? Ikuti Keluarga Talk kali ini dengan tajuk ‘ Ringgit Diurus Keluarga Lebih Tenang’ bersama panel Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Terkini: E-TOUR KE FARM IN THE CITY. ENJOY!
MedicKeluarga: Dialisis, Peluang Kedua Pesakit Ginjal. Pakar Buah Pinggang Ni ada jawapannya.
MedicKeluarga: Obesiti dalam keluarga atasi cara selamat.
MedicKeluarga: Berapa lamakah luka jahitan czer atau caesarean akan pulih? Bilakah masa sesuai untuk memulakan hubungan intim?
MedicKeluarga: Mandi malam ketika hamil. Ada pendapat kata nanti bengkak kaki. Pakar ini jelaskan lebih lanjut.
MedicKeluarga: Betul ker ni, makan atau minum pati ikan haruan mampu sembuhkan luka operation dengan cepat? Pakar ini jelaskan lebih lanjut.
Pilih Program Timang Aktif Otak, Fizo Dan Mawar Mahu Maryam Kuasai 4 Bahasa Bila Usia 2 Tahun, Hebat!
Sesiapa pun sentiasa inginkan yang terbaik buat anak-anak. Begitu juga buat Fizo Omar dan Mawar Karim yang sepakat untuk memilih satu program terbaik buat anak sulung mereka, Wan Maryam.
Program yang diberi nama Program Timang Aktif Otak ini diperkenalkan oleh Prof Dr Hamid Arshat, selaku doktor yang merawat Mawar daripada proses awal kandungan hinggalah selamat melahirkan.
Selepas disahkan mengandung dan seawal usia kandungan empat bulan lagi, Mawar dan Fizo sepakat untuk menjalani program Timang Aktif Otak yang dilakukan sendiri oleh Prof Dr Hamid Arshat.
“ Doktor kata ketika roh sudah masuk iaitu seawal usia 4 bulan, anak harus diransang dan dibentuk mindanya. Malah kata doktor lagi otak dan minda anak tidak boleh dibiarkan kosong dan hanya mendapat ilmu bila tiba masanya. Kita sebagai ibubapalah yang harus meransang dan memberikan input-input ini ketika mereka masih bayi.
Dan Maryam dipilih untuk menjalani program ini selama dua tahun. Bila usia Maryam sudah dua tahun insyaallah dia sudah mampu bercakap empat bahasa seperti yang dinyatakan dalam silibusnya.
Program ini membolehkan ransangan awal ketika di dalam kandungan. Ketika awal kandungan dulu saya memang selalu bercakap-cakap dengan Maryam. Setiap hari apa sahaja aktiviti saya akan beritahu dan bercakap dengan Maryam.
Malamnya pula saya gunakan lampu suluh untuk tengok pergerakan Maryam dan sejauh mana dia bertindak pada cahaya ini. Seronok juga melihat setiap tindak balasnya waktu itu.
Lagi satu ketika mengandung dulu saya selalu pasangkan lagu Arab supaya nak uji kemahiran Maryam, kini alhamdulillah, saya nampak dia sentiasa tercari-cari bila saya pasangkan semula lagi Arab.
Kini selepas berusia lima bulan, setiap minggu akan ada cikgu yang datang mengajar Maryam. Antara pendekatan yang digunakan adalah menggunakan flashcard dan sebagainya untuk meransang minda Maryam,” kata Mawar berkongsi cerita.
Kongsi Ilmu Dengan Anak Lain
Selepas melahirkan anak, Mawar mengakui dia lebih prihatin kepada anak-anak kecil dan dia mula sedar bahawa proses membesarkan anak memerlukan kegigihan yang tinggi untuk memastikan anak penuh dengan ilmu.
Atas dasar itulah, ibu cantik ini turut melakukan program yang sama, seperti mana Maryam jalani kepada bayi-bayi terpilih lain. Menariknya program ini dilakukan secara percuma dan menjadi sebahagian kerja amal Fareeda.
” Bukan sahaja pada Maryam tapi saya juga lakukan program yang sama kepada 30 orang anak-anak terpilih secara percuma. Saya mahu anak-anak lain juga dapat ilmu dan merasa pengalaman yang dilalui Maryam.
Bagi saya semua ibu-ibu kena ada kesedaran untuk memberikan ilmu kepada bayi sejak kecil lagi dan kita sebagai ibubapalah berperanan untuk memberikan ilmu itu,” kata Mawar lagi yang turut merancang membuka sebuah nursery khas
untuk bayi dan ibu selepas berpantang.
Katanya, ibu yang selepas melahirkan anak selalunya tercari-cari apa yang terbaik buat anak mereka dan mereka harus diberikan panduan.
Bukan hanya dibekalkan dengan ilmu dan hala tuju malah ibu-ibu akan diberikan dengan pelbagai aktiviti yang membuatkan mereka berasa lebih yakin untuk menjadi ibu yang terbaik. Itulah misi wanita cantik ini.
Kredit Foto: @mawar_karim