Aira mata Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah gugur tatakala bercerita pengalamannya untuk memiliki anak.
Jelas Tuanku, bukan mudah untuk seorang wanita menjalani rawatan kesuburan kerana mereka perlu kuat selain memerlukan banyak usaha dan pengorbanan wang ringgit.
Betapa dan tabahnya Tuanku Permaisuri Agong dalam usaha mendapat zuriat wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh buat wanita di negara ini.
Bukan sekali, sebaliknya enam kali baginda menghadapi keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI), dan terpaksa menanti kira-kira 10 tahun untuk kelahiran cahaya mata.
“Saya memahami apa yang dilalui dan dirasai seorang ibu yang berusaha keras serta sanggup berkorban apa sahaja demi mendapatkan zuriat,” titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena sambutan Hari Keluarga Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) 2019 di Seri Kembangan.
Menurut Baginda, hanya Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sahaja tahu apa yang dilalui dan dirasai sepanjang mereka berusaha mendapatkan zuriat.
Dengan nada sebak, Tunku Azizah berkata, rawatan mendapatkan anak bukanlah murah dan Baginda bersyukur kerana Sultan Abdullah sentiasa ada bersamanya selain menanggung segala perbelanjaan rawatan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF).
“Hanya Tuanku yang tahu berapa kali saya menangis dan saya bersyukur kerana Tuanku sentiasa ada bersama ketika menjalani rawatan di beberapa negara.
“Tuanku, terima kasih banyak-banyak atas semua sokongan selama ini,” titah Baginda.
Tuanku Azizah yang pernah mengalami keguguran sebanyak enam kali turut menjalani 16 kali rawatan kesuburan dalam usaha mendapatkan waris takhta negeri Pahang.
Baginda yang juga pengasas dan presiden seumur hidup TAFF mengakui bersyukur kerana tidak putus harapan selain tidak henti berdoa supaya dikurniakan zuriat yang ditunggu-tunggu.
Titah Baginda, tidak semua wanita bertuah dan ada yang diuji Allah SWT.
“Enam keguguran yang saya alami tapi kalau sudah rezeki, Allah tetap akan beri.
“Apapun, anak-anak TAFF semua istimewa kerana sememangnya ditunggu-tunggu, jadi taatlah dan dengar cakap ibu bapa.
“Doakan TAFF supaya dapat terus menolong lebih ramai yang senasib,” katanya.
Sementara itu, majlis sempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan TAFF turut diserikan dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah.
Hadir sama mengiringi Baginda adalah puteri baginda, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenaan mengurniakan surat tawaran penajaan rawatan IVF kepada 60 pasangan bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.
Selain itu, Tunku Azizah turut berkenaan menyampaikan loket khas TAFF kepada empat anak yayasan terbabit yang juga pasangan kembar masing-masing berusia enam tahun.
Baginda berdua juga berkenan memotong kek sambutan ulang tahun yayasan berkenaan.
Hari Keluarga TAFF 2019 turut dimeriahkan dengan kehadiran 116 anak yayasan berkenaan dan keluarga masing-masing.
Sumber: Harian Metro