Kepayahan hidup di zaman harga barang yang naik mendadak membuatkan seorang ibu terasa cukup terbeban untuk membesarkan tiga anaknya.
Seorang ibu di Kampung Seri Wangi, Simpang Lawin terpaksa memberikan empat anaknya makan nasi kosong untuk mengalas perut tatkala dia dan suami yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah kehabisan wang.
Halimatul Saadiah, 30, berkata, kehidupan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami sebanyak RM1,500 sebulan.
Malah katanya, wang itu juga digunakan untuk kos perubatan anak bongsu berusia dua tahun yang mengalami masalah penglihatan.
“Kesempitan duit memberi kesan kepada anak-anak kerana kerap makan nasi putih kosong untuk mengisi perut.
“Lebih menyedihkan dua anak berumur tujuh dan sembilan tahun kadangkala berkongsi makanan yang diperoleh dari Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah kerana hanya salah seorang mendapat bantuan tersebut.
“Kalau adik terlalu lapar, abang biarkan dia makan. Abang akan makan bila pulang ke rumah,” katanya berkongsi.
Halimatul berkata, dia pernah meminta bantuan beras kerana anaknya kelaparan akibat kehabisan wang di sebuah agensi kerajaan.
“Waktu itu saya sangat terdesak. Sebelum itu, kami telah menjual kereta yang merupakan satu-satunya pengangkutan untuk menanggung kos rawatan anak.
“Kami hanya mahu memohon beras, bukan wang ringgit,” ujarnya.
Saadiah berkata, dia sentiasa berusaha menambahkan pendapatan keluarga dengan bekerja secara sambilan di kedai runcit setelah suaminya pulang dan mengambil giliran menjaga anak-anaknya.
Sumber: Kosmo Online