Dalam keadaan ditimpa musibah wabak COVID-19, telah ramai ahli keluarga menjadi korban. Lebih menyedihkan dengan sekelip mata telah ramai anak-anak kecil menjadi yatim piatu, isteri menjadi balu, dan tentunya kehidupan yang dilalui menjadi sukar bilamana insan tempat bergantung pergi buat selamanya.
Lantaran itu inisiatif yang ditawarkan perlulah diuruskan permohonan oleh waris pesakit Covid-19. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung. Ini berikutan permohonan bagi bantuan khas untuk individu yang terkesan dengan COVID-19 dilihat masih rendah berbanding jumlah kes baharu dan kematian yang dilaporkan meningkat setakat ini.
Memetik laporan Harian Metro, setakat ini, hanya 4,311 waris atau kira-kira 25.07 peratus yang memohon untuk bantuan khas itu berbanding korban Covid-19 dicatatkan semalam, yang berjumlah keseluruhan 17,191 kematian.
Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, permohonan untuk bantuan itu adalah rendah.
“Hanya 4,311 waris yang menghantar permohonan untuk Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19.
“Maksudnya ada 12,880 (74.93 peratus) waris yang belum hantar permohonan. Nadma menyeru waris supaya membuat dan menghantar permohonan untuk bantuan yang sudah disediakan kepada warganegara sahaja ini.
“Saya dimaklumkan, ada juga waris yang merasakan tak perlu memohon bantuan ini sebab ahli keluarganya yang meninggal dunia (akibat Covid-19) di hospital, diuruskan kemudian dihantar oleh ambulans atau pun aset kerajaan hingga dikebumikan dengan tiada kos yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media maya Tabung Covid-19, Anda Tanya Nadma Jawab menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Tabung Covid-19 dilancarkan pada 11 Mac 2020 untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik.
Dana Tabung Covid-19 adalah sumbangan daripada kerajaan, institusi Diraja, anggota pentadbiran, sektor korporat dan individu prihatin yang disalurkan kepada pemohon Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Khas Pengurusan Kematian.
Mengulas lanjut, Dr Aminuddin berkata, bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, RM16.2 juta sudah disalurkan membabitkan 3,235 waris.
“Sementara itu, RM22.2 juta Bantuan Khas Covid-19 sudah disalurkan membabitkan 16,722 pemohon. Ia insentif bantuan RM100 sehari bagi pesakit terjejas punca pendapatan.
“Apa pun, secara keseluruhannya, permohonan adalah sangat kecil berbanding jumlah kes baharu serta kematian harian yang dicatatkan dalam negara,” katanya.
Garis Panduan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Nadma
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh terus layari laman web https://www.mkn.gov.my/web/ms/2021/08/11/bantuan-khas-pengurusan-kematian-covid-19-nadma/
Sumber : myMetro
ARTIKEL MENARIK: Masak Tomyam Thai Sayur Mesti Letakkan Susu Cair. Rasanya Lagi Padu Dari Tomyam Biasa!
LAGI ARTIKEL MENARIK :Duit Koyak Jangan Simpan Je, Rugi. Boleh Tukar Untuk Dapat Nilai Penuh Atau Separuh Di Bank Negara!
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club