“Hantar & Jemput Anak Sekolah, Bantu Isteri Di Butik.” Hisyam Hamid Manfaatkan Masa Bersama Keluarga Selepas 13 Bulan ‘Terpisah’

Share

Hati mana yang tak teringat, jiwa mana yang tak rindu pada keluarga tersayang. Apatah lagi lebih 13 bulan ‘terpisah’ dek panemik COVID -19. Dirinya yang terikat dengan komitmen kerja seni di Malaysia, manakala isteri dan anak-anak di Singapura.

Namun, keluarga ini akhirnya bersatu kembali.  Malah terpancar keceriaan dan keterujaan di wajah aktor kacak Hisyam Hamid.

Pelakon drama Rahsia Hati Perempuan ini juga turut  memuat naik perkongsian aktivitinya bersama keluarga di laman Instagram rasminya.

Apa yang lebih  manis lagi, dia berpeluang meraikan ulang tahun perkahwinan ke 15 dengan isteri tercinta, Melrose Hanafi pada 2 september yang lalu.

“Bagaimanapun saya hanya dapat bertemu isteri dan anak anak hanya pada 10 0gos lalu selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di sebuah hotel.

“Dapat melepas rindu akhirnya yang tak terbendung selama ini. Bayangkan kerana situasi tak terduga ini, saya juga buat kali pertama sambut Ramadan dan Syawal tanpa mereka.

“Selain dapat menghabiskan masa dengan mereka, saya paling takjub dapat meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan dengan isteri dalam sebuah sesi makan berdua di sebuah restoran. Moga perkahwinan kami akan kekal sampai syurga,” katanya.

Malah, aktor yang mula mencipta nama menerusi drama Ariana Rose juga berkata, dia cuba memanfaatkan kesempatan yang ada itu sebaik mungkin.

“Selepas setahun lebih tak bersama keluarga, jadi saya cuba penuhi masa yang ada dengan mereka. Setiap hari ada saja aktiviti dilakukan bersama. Saya juga cuba selit masa berjumpa rakan taulan.

“Rutin harian saya kini selepas bangun Subuh, hantar anak (Nurish Syameliah dan Hayden) ke sekolah. Selepas itu, saya bakar kalori dengan berjoging. Tengah hari macam itu, jemput semula anak dari sekolah.

“Kalau ada masa juga, saya akan bantu isteri menguruskan jualan barangannya di butik. Malah saya juga tolong isteri buat sesi siaran langsung di media sosial untuk mempromosikan barangan dijual. Khidmat penghantaran barangan jualan pun sesekali saya buat,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seninya di Malaysia, Akui Hisyam lagi kini dia menantikan isyarat daripada stesen TV3 dan produksi drama Cukup Derita Itu yang terhenti kerja penggambaran kerana sekatan pergerakan penuh Jun lalu.

Drama arahan Along Kamaludin itu hanya sempat disiarkan hingga episod 20. Baki penggambaran untuk episod 21 hingga 40 belum bermula lagi hingga kini.

“Kalau sudah dapat pengesahan untuk memulakan penggambaran kembali, barulah saya balik ke Malaysia,” katanya.

Sumber: Hisyam Hamid