“Hantar Anak Ke Pusat Tahfiz, Serah Pada Tuhan. Tak Tahu Sama Ada Dapat Lihat Wajah Ini Lagi.” Deep Baca Luahan Ayah Ini!

Share

Tahun lepas negara dikejutkan dengan kebakaran sebuah Pusat Tahfiz sehingga mengorbankan 23 nyawa. Pelbagai pandangan dan reaksi masyarakat atas kes tersebut. Namun, ia hanya hangat seketika, kemudian sepi begitu sahaja.

Terbaru, muncul pula kes anak-anak tahfiz yang trauma akibat diseksa secara seksual sama ada diliwat, rogol dan sebagainya.

Pelbagai reaksi diberikan dan ada yang memberi pandangan supaya pusat tahfiz ditutup. Ada yang bersetuju tak kurang menempelak dengan cadangan tersebut.

Sebelum ini satu perkongsian seorang ayah yang menghantar anaknya ke pusat tahfiz cukup terkesan di hati netizen. Luahan hati seorang ayah yang menyerahkan hidup dan masa depan anaknya pada jalan Allah. Sungguh hebat dan besar pengorbanan ini.

Penulis kira apa yang dikatakannya adalah benar dan semoga pengkongsian ini bermanfaat dan membuka mata semua. Insyaallah.

Assalamualaikum,

Rentetan tragedi Maahad Tahfiz baru-baru ini, izinkan saya untuk meluahkan rasa sebagai seorang ayah yang menghantar anaknya ke Mahaad Tahfiz.Ini adalah berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh ramai pihak mengenai kejadian tersebut.

TPM mengatakan jangan gadaikan keselamatan untuk akhirat, ada selebriti yang begitu lantang marah dengan mudir dan pengurusan tahfiz, ada figura ternama yang minta semua tahfiz tidak berdaftar ditutup serta merta dan ramai pula yang mempertikaikan ibubapa tidak mementingkan aspek keselamatan.

Sebenarnya saya juga tidak tahu banyak mengenai tahfiz sebelum saya menghantar anak saya ke tahfiz 3 tahun yang lalu. Naufal seawal usia 9 tahun telah menyatakan minat untuk masuk tahfiz. Tanpa melengahkan masa kami mengambil ķeputusan untuk menghentikan sekolah akademiknya (walapun dia cemerlang dalam akademik) dan mencari tahfiz yang sesuai. Ketika itulah baru kami sedar bukan senang mencari tahfiz.

1. Kalau yang berdaftar biasanya akan hanya menerima pelajar 13 tahun ke atas.
2. Kalau yang cantik dan lengkap dan dikelolakan oleh ustaz selebriti biasanya mahal dan di luar kemampuan kami dan agak jauh dari rumah.

Akhirnya kami ketemu sebuah tahfiz yang baru di buka di pinggir Ttdi Jaya. Rumah corner lot yang serba kekurangan, tapi saya berbincang dengan isteri dan mengambil keputusan untuk hantar juga Naufal ke situ. 

Bukan tidak terdetik apa yang akan berlaku jika ada kebakaran kerana tidak ada pintu kecemasan, tetapi seperti ibubapa lain yang menghantar anak ke tahfiz, kami bukan menyerahkan anak kepada tahfiz tetapi mewakafkan anak ini untuk Islam dan yakin Allah mempunyai perancangan yang baik untuknya. Tapi tahukah berapa kali kami menangis bila menghantarnya pulang lepas bercuti. Dapatkah aku lihat wajah ini lagi ya Allah…

Tahun lepas kami mengambil keputusan untuk menukarkan tahfiz lain dan tidak berasrama. Ulang alik dari pukul 7.30 pagi ke 9 malam. Hari pertama menghantar Naufal ke tahfiz, kebakaran berlaku di tahfiz memusnahkan sebuah bilik, alhamdulillah semua pelajar berada di surau untuk solat maghrib ketika itu. Tapi kami tidak berputus asa dan meneruskan juga kerana menghantar anak ke tahfiz ujiannya bukan sedikit.

Kami bukanlah bercita cita untuk menjadikan dia imam masjidil haram atau pun imam masjid Shah Alam sekali pun, seperti ingatan saya pada Naufal selalu, Naufal boleh jadi apa pun yang Naufal hendak apabila besar, dari seorang doktor kepada peniaga minyak attar di sudut masjid tetapi akhlak Naufal kena akhlak Al quran.

Mungkin ramai yang tidak tahu kebanyakan tahfiz mengenakan bayaran antara RM200 ke RM400 sebulan. Ini termasuklah sewa, gaji guru, gaji warden,makan 4 kali sehari, tempat tinggal dsbnya…congak la sendiri kalau cukup.

Biasanya pusat tahfiz akan cari sendiri dana bagi menampung lebihan perbelanjaan mereka. Nak mengharapkan pusat zakat, baitulmal…. mmphh macam-macam syarat dan kelulusan. Nak mengharapkan koporat ada yang mengenakan syarat hanya yang ada aliran agama dan akademik yang dapat bantuan. Belum lagi yang meminta kertas kerja dan kelulusan dsbnya.

Tahfiz dipandang sepi, anak-anak tahfiz pula seringkali dikata sejuk mata memandang. Jemputan ke majlis kenduri tahlil, cukur jambul, rumah baru dsbnya hanya dapat RM5 atau RM10 seorang. Itulah fungsi tahfiz di tengah-tengah masyarakat kita. Tapi tahukah anda banyak mana zaman kanak-kanak dan remaja yang telah mereka korbankan untuk terus menjadi pewaris naskah mukjizat ini?

Dengan izin Allah.. mereka lah yang akan memimpin kita sebenarnya. Kami yang inginkan anak-anak menjadi tahfiz faham benar tentang keperluan keselamatan tetapi adakah kami mempunyai pilihan?

Kami bukan menghantar anak ke yamaha muzik, kumon atau montesorri berjenama untuk kami demand itu dan ini dari pihak tahfiz. Kami faham benar dengan kekangan kewangan tahfiz. Sekali lagi kami berserah pada Allah.

Apabila sesuatu berlaku pada tahfiz kena begitu mudah menyalahkan ibubapa dan ustaz tahfiz. Bukannya ustaz tu yang buat marketing supaya kami daftar, kami yang mencari dan redha menghantar, kami yang memilih jalan itu. Bagi kami ustaz tahfiz banyak berkorban untuk mendidik jiwa kecil ini. Kami terhutang budi.

Sehingga kini menghantar Naufal setiap pagi, saya akan menciumnya dan memandang dalam matanya. Hati saya siapa yang tahu.

Kalau kerajaan ikhlas menolong kenapa tidak adakan aliran tahfiz di sekolah-sekolah terpilih. Tahfiz tanpa akademik! Ada berani?

Kenapa tidak mudahkan proses perlesenan. Kenapa campur adukkan politik dengan sekolah tahfiz? Kenapa tidak ada menteri yang bangun mengatakan tahfiz akan di bantu, dibinakan bangunan dan di selaraskan di bawah kementerian pendidikan.

Kenapa tidak ada suara-suara unttk memartabatkan institusi tahfiz, berdiri gah seperti sekolah chung hwa, pin hwa, hin hwa… kwang hwa (go visit this schools in klang)

Sampai bila kita hendak melihat tahfiz menumpang disurau, rumah-rumah kedai, rumah-rumah corner yang di ubahsuai dan rumah-rumah banglo usang yang tak tahu bilakah pendawaiannya pernah diselenggara kali terakhir? Ustaz-ustaznya memandu van buruk membawa anak-anak ini ke kenduri sana sini. Sampai bila…

Berapa banyak nyawa lagi? Saya pohon sekali lagi. Jangan komen jika tidak tahu apa yang dialami oleh institusi pendidikan tahfiz. Jangan salahkan mudir atau pengurusan tahfiz kerana mereka telah banyak berkorban. Jangan kata ibubapa tidak peduli. Kami punya kekangan kewangan juga untuk memilih tahfiz yang bertilam empuk.

Bantu la anak-anak tahfiz. Kita tidak tahu siapa di antara mereka yang akan solat dan talkinkan kita nanti. Maafkan saya jika terkasar bahasa dan doakan Naufal…….

Wallahualam

Sheik Amir Hussien

*Al Fatehah untuk seluruh pelajar tahfiz di tanah air tercinta ini*