Hati ibu ayah yang mana tidak seronok dan bangga dengan pencapaian anak-anak bila mana berjaya ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Namun jauh di sudut hati terasa sayu juga mereka akan berjauhan dengan anak. Bimbang anak yang baru mencecah usia 13 tahun bakal hidup berdikari tanpa ibu ayah di sisi.
Jadi untuk itu, selain kita mempersiapkan kelengkapan dan keperluan asrama, seorang pensyarah ini turut berpesan kepada ibu ayah agar membacakan doa ini yang diajarkan oleh seorang ustaz, doa ini dibacakan agar anak menjadi insan yang bertaqwa dan terpelihara daripada melakukan maksiat.
Sebelum kita lepaskan dia
Ibu bapa yang hendak menghantar anak masuk ke tingkatan 1 sekolah berasrama dah bersediakah? Mari sini saya kongsikan beberapa tips untuk ibu bapa semua sebelum kita tinggalkan anak kita di asrama.
1. Pastikan ada senarai semak untuk setiap keperluan. Biasanya senarai semak sudah disediakan oleh pihak sekolah. Antara senarai semak yang perlu ialah:
– Keperluan asrama
– Keperluan peribadi
– Keperluan sekolah
– Borang dan dokumen untuk pendaftaran
– Yuran-yuran yang perlu dijelaskan
Hari sebelum menghantar anak ke asrama ialah hari yang penuh tekanan sebenarnya. Ada banyak senarai semak yang perlu dilihat dan ditanda. Kena pastikan semua barang telah dimasukkan ke dalam beg dan beg semua telah masuk ke dalam kereta. Membuat persiapan akhir memang kadang-kadang membuatkan kepala berasap. Cari ini tak jumpa, cari itu tak jumpa. Nanti kita akan mula naik suara, “kan dah kata suruh simpan…bla…bla…bla…”, “kan dah kata itu….kan dah kata ini….”.
Walaupun kita nak anak berdikari, untuk kali pertama ini lebih baik lantik ibu atau bapa yang bertanggungjawab untuk memastikan senarai semak tersebut dipenuhi. Ini untuk mengelakkan agar tiada siapa yang menganggap orang ni dah buat, mak ingat ayah dah masukkan, ayah ingat anak yang ambil. Nanti dah dalam perjalanan baru teringat, mana fail tadi??? Arrgghhhh……!!!!
2. Kalau boleh bawa sekali alat membersih seperti penyapu, mop, kain buruk, penyapu bulu ayam, etc. Asrama selalunya agak berhabuk dan perlu dibersihkan. Bukan tak ada penyapu atau mop di sana, tetapi lama pula nak menunggu giliran sebab ramai yang nak guna. Lepas guna apa kata tinggalkan untuk kegunaan anak-anak di asrama. Dapat pahala amal jariah.
3. Semoleknya malam sebelum meninggalkan rumah wujudkanlah suasana yang damai, tenang dan penuh kasih sayang. Elakkan marah-marah. Sepatutnya sebelum malam barang-barang semua sudah siap supaya kita tak perlu kecoh lagi tentang persiapan. Masa inilah anak nak last call makan masakan kegemaran, nak lepak-lepak dengan keluarga. Esok malam mak nak menangis tepi bucu katil, jadi malam ini kita tenang dan gembira sahaja.
4. Rancang perjalanan dengan baik supaya dapat sampai pada masa yang ditetapkan. Kalau perlu bermalam di bandar berhampiran, tempahlah penginapan dengan lebih awal. Penting untuk sampai awal agar mudah menguruskan apa-apa yang tidak lengkap atau keciciran (walaupun dah ada senarai semak kadang-kadang ada sahaja barang keperluan yang hendak ditambah, nak beli penyapulah…moplah…sebab stress tengok lantai berhabuk…hehehe). Apabila sampai patuhi arahan lalu lintas dan berhemahlah. Orang lain pun nak parking juga. Hormati orang lain dan bertegur sapalah dengan ibu bapa yang lain. Mana tahu anak kita dan anak mereka akan berkawan baik satu hari nanti.
5. Lazimnya urusan pendaftaran perlu diuruskan oleh pelajar sendiri. Lepaskan anak kita pergi dengan dokumen-dokumen yang diperlukan. Biar mereka mula berdikari dan menguruskannya sendiri. Jika arahannya ibu bapa tunggu di luar dewan maka tunggulah di luar. Tak perlu dijenguk anak itu walaupun kita nak sangat pergi tengok ambil gambar untuk moment kat IG kita…hehehe. Maklumkan saja pada anak kita tunggu di sekian-sekian tempat.
6. Patuhi peraturan asrama. Ini adalah hari pertama anak kita di asrama. Kita sebagai ibu bapa hendaklah tunjuk kepada mereka bahawa peraturan perlu dipatuhi. Kalau dikatakan ibu tidak boleh naik ke asrama putera maka jangan naik. Kalau tidak puas hati dengan peraturan dan pengurusan asrama atau sekolah, jangan komen dan marah-marah depan anak. Jika kita sendiri tak puas hati dengan keadaan asrama, anak kita apatah lagi. Nanti mereka ada alasan nak buat perangai merengek nak balik, pening nanti. Anda ada masa untuk sakit kepala??
7. Sebelum berangkat pulang, doakan yang baik-baik untuk anak kita. Bagi mereka dengar kata-kata doa kita. Salah satu doa yang boleh saya kongsi adalah doa yang diajar oleh Ustaz Datuk Dr. Hj Zahazan Mohamed. Anak kami pernah bersekolah di sekolah yang sama dan dia adalah Yang Dipertua Pengerusi PIBG sekolah. Maka untunglah saya selalu dapat dengar tazkirah beliau semasa mesyuarat PIBG.
Amalan yang diijazahkan adalah doa supaya anak-anak menjadi insan bertaqwa dan terpelihara dari melakukan maksiat.
Peluk
buah hati kita, dan katakan padanya, “ayah / ibu menyayangimu, maka kami hantar kau ke sini”
Bisikkan doa ini kepada mereka …
anak lelaki
اللَّهُمَّ ثَبِّتْهُ وَاجْعَلْهُ هَادِياً مَهْدِيَّاً
anak perempuan
اللَّهُمَّ ثَبِّتْهَا وَاجْعَلْهَا هَادِيَةً مَهْدِيَّةً
Maksudnya: Ya Allah, tetapkanlah puteraku / puteriku dan jadikan dia membawa hidayah dan sentiasa mendapat bimbinganMu.
8.Peluk cium anak anda dan ucapkan selamat berjumpa kembali. Simpan sikit air mata tu, kat dalam kereta nanti boleh nangis sampai banjir. Good luck parents!!!