Dalam Negara

Hana Ismail Reda Terima Ujian, Suami Sempat Jumpa Anak Usia 16 Hari!

Share

Mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed kerana merogol wanita berusia 23 tahun lima tahun lalu.

Memetik Harian Metro, suasana pilu menyelubungi Mahkamah Sesyen Shah Alam tengah hari tadi selepas hukuman dijatuhkan terhadap pendakwah itu.

Lebih pilu lagi, Da’i Syed juga sempat bertemu dengan anak sulungnya yang berusia 16 hari sebelum di bawa ke Penjara Kajang.

Da’i Syed yang datang bersendirian dilihat tenang pada mulanya namun sebaik prosiding berlangsung dan Hakim Norazlin Othman mensabitkan dia bersalah, pendakwah itu dilihat menangis di kandang tertuduh.

Sejam kemudian, isteri Syed Shah Iqmal, Nurulhana Ismail yang sedang berpantang anak pertama tiba di mahkamah dan berjumpa suaminya.

Hana yang berada di galeri awam dilihat menangis manakala Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak di kandang tertuduh.

Kelihatan ahli keluarga lain membawa anak mereka yang berusia 16 hari untuk berjumpa pendakwah itu di mahkamah sebelum dihantar ke penjara Kajang.

Hana reda ujian, minta doakan terus kuat

Dalam hantaran di Instagram Story, Hana menyatakan dia reda malah menganggap ujian itu sebagai nikmat kecil kehidupan yang perlu dilaluinya bersama keluarga kecil yang dibina.

Dia juga turut memohon doa orang ramai untuk dia terus kuat berdepan takdir berkenaan.

“Alhamdulillah untuk segala nikmat yang sudah diberikan buat keluarga kecil kami.

“Di hari Jumaat penuh barakah ini, saya dengan rendah diri ingin memohon doa dan kebaikan daripada kalian.

“Salam sayang daripada Baba Nour (Syed), Ummi Nour (Hana) dan Nour (anak),”tulisnya.