Pilu hati seorang ayah sukar diungkapkan dengan kata-kata bila mana tiga anak pergi buat selama-lamanya . Namun, sebagai umatNya, Mohd Ismail 64, , bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu, dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam reda dengan apa yang berlaku.
Dalam perkongsiannya menerusi Harian Metro, Mohd Ismail yang bekerja membawa kenderaan jenazah berkata, sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan tetapi kali ini dia tidak ada daya untuk berbuat demikian.
Dia bagaimanapun tetap reda dengan pemergian mengejut ketiga-tiga anak dan bersyukur kerana usaha pasukan keselamatan mencari mayat ketiga-tiga mereka selesai dalam masa yang singkat.
Mayat Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, ditemui antara jam 9.50 pagi hingga 12.40 tengah hari.
Mohd yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang berkata, tiga anak terbabit menjadi harapan keluarga dan anak yang baik serta bertanggungjawab.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi memberi bantuan kewangan dan semangat serta pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus sepanjang operasi.
Guru tasmik halaqah al-Quran sekolah tersebut Mohd Sidik Hassan berkata, Allahyarham adalah seorang pelajar yang sangat menghormati guru, disenangi rakan, dan mempunyai ingatan cerdas dalam hafazan al- Quran.
Khalif Naim bersama dua abangnya, iaitu Umar Iskandar, 21 dan Khairil Firdaus, 17, dikatakan ke sungai itu yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka, kira-kira 6 petang semalam.
Mayat ketiga-tiga beradik itu ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai degan mayat pertama, Umar Iskandar ditemukan 100 meter dari lokasi kejadian pada pukul 9.50 pagi.
Ia disusuli mayat kedua, Khairil Firdaus, pada jarak 150 meter pada pukul 11.36 pagi dan mayat terakhir, Khalif Naim, pula ditemukan pada pukul 12 tengah hari tadi, dengan jarak 170 meter.
Khairil Firdaus ialah pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang, manakala Umar Iskandar adalah penuntut Universiti Malaya.
“Kebanyakan kes lemas berlaku disebabkan mangsa tidak biasa dengan keadaan persekitaran di lokasi kejadian, sama seperti tiga beradik ini mereka tidak biasa mandi di sini dan banyak kemungkinan yang berlaku (punca lemas), seperti pasir jerlus, lumpur dan sebagainya.
“Saya nasihatkan rakyat Terengganu agar sentiasa berhati-hati apabila pergi ke tempat peranginan seperti sungai dan pantai, peka dengan bahaya yang ada ,kerana kemalangan dan kecederaan boleh berlaku tanpa dijangka,” katanya.
Sumber: BERNAMA