Benarlah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memilikulnya. Inilah dugaan hidup yang dilalui keluarga ini apabila dianugerahkan anak syurga, yang kini telah pun berusia hampir 20 tahun.
Ikuti kisah keluarga ini, semoga dapat menjadikan kita lebih sabar dan cekal dalam mendepani ujian hidup berkeluarga.
Cabarannya terasa sangat berbeza dalam kembara kami kali ini.
Dia bukanlah bayi, mahupun kanak-kanak, malah bukan lagi anak remaja. Balqis kini sudah di usia dewasa.Tubuhnya membesar selari dengan usia. Namun, kemampuannya tidak sama.
Balqis memerlukan bantuan kami sepenuhnya untuk uruskan dirinya.Kami akur, dia tidaklah membesar di hadapan kami sekelip mata.
Hampir 20 tahun, memakan masa.Hampir 20 tahun Allah berikan latihan untuk kami sekeluarga.
Sedikit demi sedikit perubahan kami lihat dengan hati dan mata. Dari tidak sedar, menjadi pemerhati.
Dari tidak mampu duduk tegak, sudah boleh duduk bersandar.
Dari sepi tidak bersuara, sudah bising dengan bunyian dan perkataan tertentunya.
Dari dijangka terbaring sahaja, sudah ligat tangan mahu menyalam dan menegur semua yang dia jumpa.Subhanallah.
Banyak sungguh perubahannya kesan diserang sawan ketika 6 bulan usia.
Cuma, semakin dewasa semakin besar jugalah cabarannya. Tubuhnya, ragamnya dan juga mood turun naiknya.
Sepanjang kembara kami kali ini, ragamnya sangat mencabar buat kami dan juga adik-adiknya.
“I used to feel bad for Kakak, but this trip…I was like Arrrrggghhh why do you have to make it so difficult, Kakak!” Luahan hati si adiknya ini ketika sesi bulatan keluarga diadakan pada malam terakhir kami di Pulau Redang. Ia luahan ikhlas sekadar mahu lepaskan dari dada yang dipendam.
Masing-masing tunduk memandang ke pasir. Naufal tidak sedikitpun menaikkan kepalanya. Menitis-nitis airmatanya.
Nadiyah dari awal sudah tulus dengan perasaannya, tidak disimpan rasa mahupun airmata. Nafis mengesat-ngesat mata dengan bajunya, tidak mampu bersuara.
Sungguh, anak-anak terasa lelah dengan kerenah kakak mereka, kali ini. Berbeza dari kembara sebelumnya.
Serba tidak kena. Serba mendesak dan merenggek. Serba kelam kabut dibuatnya.
Urusan yang sepatutnya mudah, menjadi amat payah dan memakan masa. Tenaganya kuat sekali mengalahkan kami yang semakin tua.
Pulau yang di kelilingi pasir, perlukan tenaga untuk menarik kerusi rodanya. Tolak di atas pasir, tidak akan bergerak. Maka, terpaksa ditarik secara mengundur Balqis di atas kerusi rodanya. Lelah si tua bergerak ke sana sini.
Waktu tidurnya pula sangat mencabar dalam chalet yang kami maklum, serba sederhana. Dia terlalu biasa punya ruang tidur sendiri yang sunyi penuh privasi. Tiada gangguan buka tutup pintu dari sesiapa kerana dia punya bilik dan katil khasnya yang tersendiri. Tidurnya sangat payah sepanjang di Pulau Redang. Lalu, dikacau, dicekau, dipunggah segala isi dalam chalet kami.
Menyiapkannya juga sangat melelahkan. Perlu dikendung tubuhnya yang besar dan panjang melewati ruang pintu chalet yang rendah dan sempat.
Trip snorkling, Balqis mengamuk di hadapan semua penumpang lain. Dia mahu turun snorkling, tidak mahu ketinggalan, tidak mahu sabar menunggu giliran. Digelongsorkan tubuh badannya mengambil perhatian. Lantas terjunlah si Abi ke dalam lautan dalam membawa si anak dewasa ini hingga terlupa telefon bimbitnya di dalam poket…. menyelamlah bersama kekalutan.
Sungguh!
Kalutnya hingga memerlukan tenaga dan menguji kesabaran yang luar biasa.
Malangnya, kami hanya ibubapa yang biasa-biasa. Sangat lemah tenaga dan iman yang sentiasa turun naiknya.
Namun,
Berhati-hatilah hati yang membaca.
Usahlah rasa ibubapa anak istimewa mengeluh bila berkongsikan hal-hal yang tidak nampak di mata biasa kita.
Usah terdetik di hati, “Mereka tidak redha dengan tentuanNya”.
Usah dijaja, “Itulah kifarah dariNya.”
Usah mendabik dada, “Lega aku tidak diuji sedemikian rupa.”
Usah penuhi hati dengan simpati semata-mata, tanamkanlah juga empati yang tinggi bila berhadapan dengan keluarga seperti kami.
Jangan sesekali ucapkan ayat klise; “Sabar lah ya”; kerana dengan bersabarlah anak ini masih sihat, selamat dan bahagia di bawah bumbung rumah mereka.
Jangan!
Jangan juga sesekali katakan kami hebat. Sesungguhnya kita ada Allah, Yang Maha Hebat ….bukan kita, manusia.
Lalu,
Bacalah dan dapatkan manfaat darinya.
Jadikan ia ilmu bermanfaat dan diamalkannya.
Agar kelak kami boleh bawa bersama persembahkan di hadapanNya. Agar bantu tutup lubang-lubang dosa dalam menjaga anak syurga amanahNya.
Inilah bantuan yang sebaik-baiknya untuk kami, dari para sahabat yang sudi membaca dan menyelami kisah-kisah kami bersama Balqis yang amat istimewa.
Biarlah tiada yang sia-sia di sisiNya.
Sumber : Ummu Naufal