Hamil Kali Kedua, Puteri Sarah Curi-Curi Dukung Anak Biarpun Dilarang Doktor.

Share

Kalau sudah namanya rezeki, usaha keras bagaimana pun jika Tuhan belum mahu memberi maka takkan ada. Namun, jika sudah tertulis, maka dapatlah ia.

Demikian juga dengan Puteri Sarah yang kini sedang hamil lima minggu ketika ditemui Majalah Keluarga semalam.  Akui isteri kepada pelakon dan pengarah Filem Munafik, Syamsul Yusof,  dia memang berusaha untuk hamil lagi.

 

“Saya memang teringin nak mengandung lagi dan tidak pernah berhenti berusaha walaupun anak sulung baru berusia 11 bulan.

“Kalau diikutkan memang saya dan suami jarang berjumpa kerana dia sangat sibuk di luar, manakala saya lebih banyak masa di rumah dengan anak.

“Tapi ada masanya saya akan bawa Syaikhul bertemu bapanya di tempat penggambaran kerana ayahnya pun rindu kalau lama tak tengok anak.

“Alhamdulillah, rezeki Tuhan nak bagi apabila saya disahkan hamil kira-kira lima minggu. Walaupun anak pertama dulu dilahirkan dengan cara pembedahan, tetapi saya cakap pada suami, nak anak lagi  kerana faktor umur yang kian meningkat, jadi kenalah ikhtiar.

“Kalau ikutkan, doktor minta saya untuk cuba hamil lepas anak saya setahun tapi saya cakap dengan Syamsul saya sudah berusia 33 tahun dan kalau boleh mahu anak segera. Doktor cakap tak ada masalah untuk saya mengandung lagi.

“Cuma saya tak boleh buat kerja berat termasuklah tak dibenarkan dukung anak. Tapi sebab dah biasa jadi, saya dukung juga curi-curi. Lagi pula Syaikhul memang rapat dengan saya. Ke mana sahaja saya pergi, dia pasti ada. Jadi, susah sikit kalau nak tinggalkan dia,”ujar Puteri sambil memberitahu buat masa ini dia tidak mengalami sebarang alahan teruk lagi.

Tidak hanya Syamsul yang sibuk dengan filem Munafik, Puteri Sarah juga kini bakal melancarkan produk kosmetiknya iaitu matteness tidak lama lagi.

“Sekarang ini saya tidak mengalami sebarang alahan, mungkin masih awal kerana ketika hamil anak pertama juga saya mula alahan pada bulan ketiga. Hanya sekejap sahaja alahan jadi tak ada masalah untuk saya fokus pada bisnes.

“Walaupun sibuk dengan anak, tapi saya juga teringin ada kosmetik sendiri dan produk ini bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Mungkin ada yang berpandangan serong konon saya bergantung kepada Syamsul untuk hasilkan produk ini. Tapi ini adalah hasil titik peluh sendiri tanpa harapkan modal dari orang lain. Alhamdulillah, jika tiada aral, produk ini bakal masuk ke setiap pasaraya Aeon seluruh Malaysia.

“Namun  anak tetap keutamaan kerana saya tak suka tinggalkan atau biarkan Syaikhul dengan pembantu. Anak juga sangat rapat dengan saya, sekarang saya dah mula beritahu dia tak lama lagi bakal dapat adik. Walaupun dia belum faham tapi saya rasa wajar untuk beritahu supaya senang di kemudian hari.

“Untuk kandungan kali ini saya tak kisah jantina apa asalkan sihat cuma suami memang dari dulu cakap nak semua anak lelaki,”ulas Puteri Sarah sambil memberitahu anak sulungnya Syaikhul kini berusia 1 tahun 3 bulan.

Sibuk dengan status ibu dan juga bakal pengusaha kosmetik, jelas Puteri Sarah bidang lakonan mungkin akan dikurangkan untuk tujuan memberi fokus pada anak.

“Rindu memang rindu tapi tak sanggup nak tinggalkan dan berjauhan dengan anak lama-lama. Kalau setakat menerima jemputan ke majlis-majlis tertentu tiada masalah kerana boleh bawa anak bersama, tapi kalau berlakon pasti memakan masa.

“Bayangkan saya sibuk dengan shooting dan begitu juga Syamsul. Jadi bagaimana dengan anak pula. Sedangkan sekarang ni pun saya dan Syamsul jarang berjumpa kerana dia sibuk dengan shooting, inikan pula kalau saya terima tawaran berlakon. Jadi, biarlah saya berkorban duduk di rumah.

“Lagipun Syamsul tak kisah ke mana atau apa yang saya nak buat asalkan pandai jaga diri, ingat akan status sebagai isteri dan nama baik dia. Sebab itu, ke mana sahaja saya pergi, mak akan sentiasa di sisi menemani.

Gambar: IG puterisarahliyana