Hairul Azreen Umum Berhenti Berlakon, Pilih Untuk Fokus Masa Bersama Keluarga!

Share

Hairul Azreen hari ini membuat pengumuman yang terbesar dalam hidupnya iaitu berundur daripada dunia seni bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.

Hairul membuat pengumuman itu ketika menjadi tetamu undangan segmen 3Pagi Era, radio Era yang dikendalikan Azad Jasmin, Radin serta dua penyampai jemputan Linda Onn dan Halim Othman, secara langsung, pagi tadi.

Mendengar pengakuan Hairul itu, penyampai radio Era berkali-kali bertanya adakah dia sudah membuat keputusan muktamad apatah lagi filem baharunya, Malbatt: Misi Bakara sedang dipromosikan.

“Saya hendak umumkan mahu berhenti berlakon sebab saya sudah buat semua perkara. Saya bermula sebagai ‘stuntman’ (pelakon lagak ngeri). Saya sudah jadi pelakon filem dan Allah makbulkan saya jadi hero filem aksi.

“Filem saya Paskal membuatkan orang hendak jadi anggota tentera. Filem Malbatt: Misi Bakara adalah penampilan terakhir saya sebagai anggota tentera. Saya rasa Allah dah bagi saya macam-macam melainkan saya jadi orang yang tidak reti bersyukur,” katanya.

Selain berlakon, tambah Hairul, dia pernah melakukan kerja belakang tabir, menjadi pelabur, pengarah dan penerbit.

Hairul berkata, dia sudah berbincang dengan isteri yang juga pempengaruh dan pelakon, Hanis Zalikha, mengenai keputusan itu.

Tambah Hairul, dia mahu berhenti berlakon kerana tidak mahu terlepas peluang melihat dua cahaya mata Yusuf Iskandar berusia enam tahun dan Alisa Aisyah, tiga tahun, membesar.

“Ada orang tidak sempat tengok ibu bapa kerana sibuk dengan kerja. Ada orang tidak sempat tengok anak-anak membesar. Alhamdulillah, emak saya masih Ada. Saya pernah tengok Radin cerita mengenai kehilangan ibunya.

“Saya buat kajian untuk diri dan keluarga. Macam saya, bila buat filem perlukan enam bulan untuk buat badan. Seminggu enam kali, pagi, petang dan malam, tahu-tahu anak dah besar dan pergi sekolah.

“Saya tak sempat buat semua itu. Jadi, saya fikir cukuplah apa yang saya dapat selama ini. Jadi, selepas ini, saya mahu fokus kepada perniagaan.

“Tetapi saya masih aktif di media sosial seperti di TikTok dan Instagram (IG) cuma saya takkan berlakon lagi,” katanya.

Mahu meninggalkan pentas seni dengan cara bermaruah menyebabkan Hairul sentiasa memberi yang terbaik untuk setiap naskah dilakonkan. Hairul mahu penonton menghargai pengorbanannya sebagai pelakon.

“Saya buat yang terbaik untuk semua filem aksi yang saya jayakan. Biar orang Malaysia dan dunia nampak dan hargai pelakon kita. Macam mana susah senang kami sebagai pelakon, sehingga patah-patah (anggota badan).

“Sama juga untuk filem berunsur ketenteraan. Saya harap orang Malaysia bangga dengan tentera Malaysia, walaupun jika suatu hari nanti, saya sudah tidak ada lagi,” katanya yang akan muncul dengan filem terakhir iaitu The Original Gangster arahan Syamsul Yusof.

Sumber : Instagram era.je