Haid Tidak Teratur Antara Simptom Pra Menopaus Ramai Wanita Tidak Sedar

Share

Apabila usia kian meningkat dan memasuki fasa menopaus mampu membuatkan wanita berasa diri tidak lagi sempurna. Ini kerana fasa ini wanita akan mengalami kemerosotan kesihatan apatah lagi kewanitaan.

Adalah penting bagi seorang wanita untuk mengenali gejala-gejala pra menopaus yang mungkin tidak disedari selama ini.

Pra menopaus adalah suatu fasa dalam kehidupan seorang wanita yang berlaku beberapa tahun sebelum wanita itu mengalami menopaus yang sebenar.

Keadaan ini berlaku apabila kelenjar ovari mula kurang berfungsi dengan tidak mengeluarkan hormon estrogen secukupnya. Namun ketika ini ovum, benih wanita masih lagi dikeluarkan, tetapi tidak sebagaimana ketika berumur 20-an.

Pra menopaus boleh bermula apabila seorang wanita mencapai umur 40an, namun ada kalanya ia bermula seawal 30-an.

Fasa ini berlangsung selama 4 tahun secara purata, namun ada wanita yang mengalaminya untuk beberapa bulan dan ada juga yang mengalaminya selama 10 tahun.

Selalunya doktor akan membuat diagnosis wanita telah mengalami pra menopaus secara klinikal sahaja iaitu berdasarkan simptom-simptom yang dialami.

Namun cara terbaik ialah dengan membuat pemeriksaan darah untuk melihat kepekatan hormon didalam darah.Oleh kerana dalam fasa Perimenopause ini, kepekatan hormon mungkin berubah-ubah, maka ada baiknya lakukan beberapa siri pengambilan darah sebagai perbandingan.

Seseorang dikatakan telah memasuki fasa Menopause apabila dia sudah tidak mengalami kedatangan darah haid selama SETAHUN.

Tanda-tanda Memasuki Fasa Pra Menopaus:

1. Kitaran haid tidak teratur

2. Sakit pada payudara

3. Rasa kurang bernafsu untuk bersama suami

4. Rasa panas badan

5. Rasa kekeringan pada faraj dan menyebabkan rasa sakit ketika bersama suami

6. Perubahan mood yang tidak menentu

7. Masalah sukar tidur

8. Adakalanya mengalami masalah membuang air kencing seperti terkencing ketika batuk atau bersin atau ketawa dan tidak dalam menahan kencing.

Kebanyakan wanita yang mengalami pra menopaus akan mengambil pil penambah hormon. Namun begitu, jika tidak mengalami apa-apa masalah atau gejala yang teruk, tidak perlu mengambil pil hormon ini.

Antara cara lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala pra menopaus ini:

Melakukan senaman ringan.

Tidur yang cukup dengan bangun dan tidur pada waktu yang tetap.

Mengawal berat badan’

Mengambil multivitamin dan pil kalsium (jika tidak boleh minum susu) setiap hari.

Minum air secukupnya.

Namun demikian, kepastian hanya dapat dibuat dengan pemeriksaan darah untuk menguji kepekatan hormon. Dapatkan pemeriksaan lanjut dengan doktor jika mengalami tanda-tanda ini.

Sumber: Blog Dr Zubaidi Hj Ahmad