Seramai 39 mangsa membabitkan guru dan kanak-kanak dari sebuah tadika yang terperangkap akibat kepala air di Gua Ikan, Dabong dekat sini berjaya diselamatkan semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Muhammad Aiman Aminuddin berkata, kumpulan itu dari Kuala Berang, Terengganu dan menaiki kereta api di stesen KTM Tanah Merah untuk mengadakan lawatan di gua berkenaan.
Katanya, sebelum itu keadaan cuaca cerah, namun secara tiba-tiba keadaan menjadi diluar jangkaaa menyebabkan mereka terperangkap.
“Operasi menyelamat mangsa membabitkan lima lelaki, 16 wanita dan 18 kanak-kanak itu mengambil masa lebih dua jam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 3.24 petang memaklumkan terdapat mangsa terperangkap di dalam gua akibat kepala air.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota dari BBP Dabong dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa dipindahkan menggunakan bot bomba dan kesemuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.04 petang.
Sumber: Harian Metro