Seramai 39 mangsa membabitkan guru dan kanak-kanak dari sebuah tadika yang terperangkap akibat kepala air di Gua Ikan, Dabong dekat sini berjaya diselamatkan semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Muhammad Aiman Aminuddin berkata, kumpulan itu dari Kuala Berang, Terengganu dan menaiki kereta api di stesen KTM Tanah Merah untuk mengadakan lawatan di gua berkenaan.
Katanya, sebelum itu keadaan cuaca cerah, namun secara tiba-tiba keadaan menjadi diluar jangkaaa menyebabkan mereka terperangkap.
“Operasi menyelamat mangsa membabitkan lima lelaki, 16 wanita dan 18 kanak-kanak itu mengambil masa lebih dua jam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 3.24 petang memaklumkan terdapat mangsa terperangkap di dalam gua akibat kepala air.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota dari BBP Dabong dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa dipindahkan menggunakan bot bomba dan kesemuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.04 petang.
Sumber: Harian Metro
Kenal Pengasuh Melalui Media Sosial, Ibu Bapa Terima Takdir Kehilangan Bayi
Ibu mana tak luluh hati bila anak yang dihantar dalam keadaan ceria, kini pulang tak bernyawa. Bayi lelaki berusia enam bulan ditemui meninggal dunia dengan muka dilitupi selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin. Kehilangan ini bukan sahaja meruntun jiwa keluarga, tetapi membuka mata kita semua tentang betapa pentingnya keselamatan anak kecil di bawah jagaan.
Memetik laporan Harian Metro, Kejadian 11.30 pagi (9 Disember 2024) disedari pengasuh wanita berusia 27 tahun apabila mendapati bayi berkenaan dalam keadaan terlentang dengan selimut menutupi mukanya.
Bapanya, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, berkata, dia dihubungi isterinya, Ainol Izzah Raslan, 25, pada 11.40 pagi sambil menangis teresak-esak yang memaklumkan kejadian.
Katanya, pengasuh wanita terbabit menghubungi isterinya memaklumkan keadaan anak tunggal mereka yang tidak sedarkan diri.
“Ibu saya yang lebih dekat dengan rumah pengasuh tiba beberapa minit kemudian dan melihat bibir anak sudah biru, serentak itu pengasuh mendakwa muka anak saya tertutup dengan selimut ketika dia sedang sibuk melakukan tugas lain di rumah berkenaan.
“Ibu saya kemudian membawa anak ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan doktor memaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka, petang tadi.
Nazrul Nizam berkata, beliau tidak menyalahkan pengasuh berkenaan kerana sebelum ini wanita itu sudah menjaga anaknya dengan baik sejak empat bulan lalu tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya kenal pengasuh itu pun melalui media sosial dan dia sendiri pun mengaku ada pengalaman menjaga bayi sebelum ini tapi ternyata Allah lebih menyayangi anak saya,” katanya.
Ketika ini, jenazah bayi berkenaan masih menunggu untuk proses bedah siasat, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau, esok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Sumber: Harian Metro
Hidap Dua Jenis Kanser, Wanita Ini Berdamai Dengan Takdir
Pilu hati apabila disahkan mengidap dua kanser. Berdamai dengan takdi menjadikan wanita ini terus cekal untuk meneruskan kehidupan walaupun pahit untuk ditelan.
Dua jenis kanser yang mengubah hidupnya 360 darjah. Bayangkan betapa beratnya ujian yang dilalui oleh Rosliza, 54, apabila di saat dirinya masih berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dikesan pada 2020, dia disahkan pula menghidap barah tulang pada awal tahun ini. Dalam keadaan tubuh yang sudah lemah, dia terpaksa berhadapan dengan satu lagi berita yang meruntun jiwa.
Memetik laporan Berita Harian,didiagnos menghidap kanser payudara pada 2020 dan sudah sembilan kali menjalani rawatan kemoterapi dan 15 kali radioterapi bagi mematikan sel barah itu. Selepas 4 tahun, tahun ini doktor sahkan pula dia menghidap kanser tulang.
“Saya berdamai dengan takdir meskipun disahkan menghidap dua jenis penyakit kanser. Ini semua kuasa Allah SWT,” kata ibu tunggal, Rosliza Muhamad Amin.
“Namun, penderitaan itu tidak terhenti di situ apabila pada awal tahun ini, doktor mengesahkan saya menghidap kanser tulang pula. Ketika itu, saya terasa dunia gelap sekejap sehingga longlai seluruh badan.”
Berikutan itu, Rosliza berkata, beliau sekali lagi perlu menjalani sesi rawatan kemoterapi tetapi secara oral di rumah saja dengan mengambil pil bagi mematikan sel kanser berkenaan.
“Pada Mei lalu, saya mengalami sakit amat teruk pada tulang kaki kiri apabila berdiri atau berjalan atau duduk terlalu lama,” katanya yang telah menjalani pembedahan membuang payudara kiri, dua tahun lalu.
TERIMA BANTUAN
Selepas berpisah dengan bekas suami empat tahun lalu, dia berusaha menguruskan diri sendiri kerana tidak mahu menyusahkan dua anak yang turut berdepan kekangan kehidupan di luar Kelantan.
Rosliza yang tidak bekerja dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan, bagaimanapun bersyukur kerana segala kos rawatan penyakit kanser ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Selain itu, beliau turut menerima faedah elaun keuzuran sebanyak RM300 sebulan melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Rosliza merupakan pencarum SKSSR melalui tajaan kerajaan.
“Alhamdulillah dengan inisiatif bantuan yang diterima, saya dapat meneruskan hidup walaupun tanpa suami dan menghidap dua jenis penyakit kanser… RM300 sebulan sangat besar maknanya buat saya.”
“Saya juga bersyukur kerana pada saat ujian datang bertimpa-timpa, masih ada individu di sekeliling yang prihatin dan sering bertanya khabar serta berdoa supaya penyakit saya sembuh.”
Terdahulu Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, menyampaikan sumbangan makanan, keperluan asas serta kerusi roda kepada Rosliza di kediamannya di Kampung Manek Urai Baru, di sini, dengan turut dihadiri Pengurus Pejabat PERKESO Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri. Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bagi meringankan beban Rosliza, boleh menghubungi beliau melalui talian 019-3416536.
Sumber: Berita Harian
Kehilangan Ibu Dalam Tidur, Bayi Faleeq Terima Susu Daripada Ibu Arwah Bayi Handzalah!
Seorang bayi kepada ibu yang tular kerana meninggal dunia dalam dalam dakapan suaminya sebaik selesai menyusukan anaknya kini menemui ibu susuan yang baru.
Difahamkan wakil keluarga wanita berkenaan meminta bantuan mana-mana wanita untuk menyusukan anak itu.
Namun, siapa sangka bayi itu menerima susu daripada seorang wanita yang juga baru kehilangan anak dikenali Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan, empat bulan, selepas ditemukan tidak sedarkan ketika berada di sebuah taska dekat Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.
Perkongsian itu dikongsikan oleh wanita berkenaan menerusi beberapa hantaran di Instagram Story, semalam.
Menerusi perkongsian itu, ibu kepada bayi Handzalah, Sri Wahyuni Rahman, 28, memaklumkan keluarganya dan keluarga bayi yang kehilangan ibu itu telah dipertemukan.
Maklumnya, bayi Faleeq itu telah menerima susu daripadanya yang juga baru kehilangan anak.
“Alhamdulillah, Allah pertemukan kami. Faleeq baru kehilangan ibunya yang meninggal dunia dalam tidur. Susu Handzalah kini milik Faleeq.
“Percaturan Allah. Ibu doakan semoga awak membesar menjadi anak yang soleh dan patuh, ya. Comel dia. Muka pun nak sama dengan Handzalah,” tulis Sri Wahyuni Rahman dengan menyertakan gambar suaminya bersama bapa bayi Faleeq.
Terdahulu, kisah seorang ibu muda yang meninggal dunia dalam pelukan suami ketika tidur benar-benar meruntun hati ramai.
Sementara itu, ibu kepada bayi lelaki, Khairul Handzalah Sufi iaitu Yuni Rahman menuntut keadilan buat anak keduanya yang meninggal dunia tanpa diberitahu sebab atau punca secara terperinci oleh pihak taska.
Sumber: IG yyunirahman