Allahyarham Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia di Kem Marakah, Lubnan sempat memohon maaf kepada ibu dan bapanya sebelum berangkat menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
Ibunya, Salmah Hassan, 57, berkata, anak perempuannya pergi dalam keadaan sihat, sekali gus dia memang agak terkejut apabila dimaklumkan tentang pemergian Faridah mengadap Illahi.
“Mak cik reda dan terima dia pergi sebagai wira negara, malah ikhlas halalkan segala-segalanya dan apa yang dia buat.
“Sebelum dia pergi (misi), dia minta maaf dengan mak cik dan ayahnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Sungai Mati, mukim Tobiar, di sini, pada Rabu.
Menurutnya lagi, Faridah juga ada memberi sejumlah wang kepada adik-adik dan anak-anak saudaranya sebelum berangkat menyertai misi.
“Dekat mak cik, Faridah kata, gaji nanti ‘che’ masuk pula dekat mak. Memang tidak ada perubahan apa-apa dan dia cakap elok semua.
“(Ketika dia balik) Mak cik tanya, ‘hang’ nak makan apa, nak makan laksa ka (dan) mak cik buat, nak makan lemang pun buat,” katanya
Menurut Salmah, dia memenuhi segala keinginan anak perempuannya ketika anggota tentera itu pulang bercuti di kampung halamannya.
Artikel Menarik:
“Saya Sayang Motor Tapi Lebih Sayangkan Ibu.” Pemuda Sanggup Jual Y15, Kumpul Duit Pembedahan Emak
“Satu-Satunya Kenderaan Kami Ada” Bapa Tular Bawa Anak Sakit Naik Motor Ulang Alik Hospital!
65 Murid Alami Keracunan Makanan Lepas Makan Kuetiau Sup, Kantin Sekolah Diarah Tutup
Menurutnya, Faridah amat meminati bidang terbabit dan komited dengan kerjanya dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Katanya, anak perempuannya ada memaklumkan dan meminta kebenaran sebelum menyertai misi di Lubnan itu.
Salmah berkata, dia menyokong impian anaknya menabur bakti untuk negara, sekali gus reda atas kehilangannya secara tiba-tiba.
Sementara itu, adik Allahyarham, Hafyzoh,21, berkata, dia tidak menyangka gurauan kakak sulungnya melalui mesej dihantar dalam aplikasi WhatsApp jadi petanda beliau akan pergi menghadap Illahi.
Menurutnya, kakaknya memaklumkan akan pulang bercuti ke kampung pada 18 April lepas ketika sedang transit di Dubai.
Hafyzoh berkata, dia bertanya kepada kakak mengapa tidak membuat kejutan tentang kepulangan dirinya.
“Semasa transit di Dubai, saja melawak dengan dia ‘awat hang’ tak buat kejutan dekat rumah (dan) anak-anak ‘hang’ tengok ‘hang’ ada dekat depan.
“Kakak kata, ‘hang’ jangan suruh buat kejutan, tengok-tengok sampai kain putih dekat rumah. Dia kata, aku balik hendak tengok anak-anak dekat rumah,” katanya.
Menurut Hafyzoh, kakaknya menghantar mesej itu pada 18 April dan dia kemudiannya menghembus nafas terakhirnya pada 18 Mei 2024.
“Cukup sebulan, 18 April dia cakap macam itu dan 18 Mei dia tidak ada (meninggal dunia),” katanya.
Menurutnya, anak sulungnya yang berusia 13 tahun dilihat paling terkesan dan kerap menangis selepas menerima makluman dimaklumkan kematian ibunya.
“Yang sulung, memang hari-hari menangis, yang adik mencari juga sebab mereka memang wajib buat ‘video call’ dengan ibu setiap malam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham Faridah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah di Lubnan selepas pulang bercuti selama sebulan di Kedah.
Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 itu disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, Sabtu (7.25 pagi waktu Malaysia).
Faridah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7; (syndrome down) dan Ainul Mardiah, 4 tahun.
Jangkaan ketibaan paling awal jenazah anggota tentera itu adalah pada Rabu dan akan dikebumikan di ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Tualang, Pokok Sena.
SUMBER: SINAR HARIAN
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my