Gunakan Duit PTPTN, 50 Penuntut IPTA Terpedaya Skim Cepat Kaya Melalui Pembelian Mata Wang Kripto!

Share

Memang cukup menyedihkan apabila kita terbaca berita mengenai kisah orang ramai ditipu ‘scammers’. Tidak kira tua atau muda, berkerja di kampung mahu pun di bandar, yang berpelajaran tinggi atau tidak, semuanya seakan mudah ditipu dengan skim-skim penipuan pelaburan (scam). Wang yang dikumpul dengan titik peluh bertahun-tahun, boleh lesap dalam sekelip mata!

Terbaharu memetik laporan berita yang dikongsikan Berita Harian, mendedahkan lebih 50 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Bahru, Kelantan terpaksa menaggung kerugian akibat terpedaya dengan skim cepat kaya pembelian mata wang kripto.

Difahamkan kerugian tersebut lebih RM200,000 apabila masing-masing membuat pelaburan antara RM1,000 hingga lebih RM10,000.

Sanggup Guna Wang PTPTN 

Terpikat dengan janji manis dan keuntungan didakwa boleh melebihi satu peratus sehari dan 30 peratus sebulan itu, mereka juga sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masing-masing.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 21, berkata dia menyertai pelaburan membeli mata wang kripto itu apabila seorang pensyarahnya yang juga ketua atau ‘leader’ skim itu membuat iklan dalam kumpulan WhatsApp pada Jun lalu.

“Saya mula memasukkan RM138 lebih 10 kali ke lima akaun berbeza sehingga kerugian hampir RM3,900. Lebih malang, saya juga ajak adik melabur RM2,800 kerana percaya pelaburan itu memberi keuntungan selepas melihat akaun saya bertambah menjadi lebih RM9,000.

“Pada 18 Oktober akaun pelaburan saya tidak dapat dibuka lalu saya serta rakan lain sedar kami sudah ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Khamis lalu,” katanya.

Janji Manis

Seorang lagi penuntut, Johan, 21, mendakwa kerugian lebih RM2,000 apabila menyertai pelaburan berkenaan menerusi akaun atas beberapa nama pada Jun lalu selepas tertarik dengan keuntungan ditawarkan, manakala adiknya yang berada di IPTA lain melabur lebih RM2,400.

Sumber Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penuntut yang mahu dikenali sebagai Yasmin, 27, berkata dia kerugian lebih RM10,000 dan sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, namun ada rakan-rakan belum membuat laporan kerana bimbang diketahui ibu bapa dan untuk mengelakkan rasa malu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi, berkata polis menerima 21 laporan termasuk daripada penuntut IPTA di bandar ini dengan jumlah kerugian didakwa hampir RM900,000 selepas membuat pelaburan berkenaan sejak 18 Oktober.

“Jumlah kerugian dilaporkan hampir RM900,000 dengan setiap mangsa mendakwa rugi antara RM140 hingga RM200,000 seorang. Polis menyiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK),” katanya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan membuat siasatan sebelum melabur bagi mengelakkan kerugian.

Sumber : Berita Harian

ARTIKEL MENARIK : Buat Macam Ni Lagi Rasa Seronok Nak Menabung, Boleh Follow & Janji Tak Mengecewakan!

LAGI ARTIKEL MENARIK :Pakar Jelaskan Punca Kemerosotan Tulang & Otot, Serta Tips Pemakanan Yang Baik. Sila Take note, Rugi Kalau Tak Tahu!

Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club