Ada antara kita suka kerja kayu iaitu, pertukangan. Malah ada yang melakukan pelbagai DIY untuk menghias rumah. Ada juga menjadikan ia sebagai sumber pendapatan sambilan.
Namun tahukah anda bahawa untuk bertukang perlu ada ilmu mengenai kayu salah satunya adalah memastikan kayu tahan lama terutama dengan serangan anai-anai.
Sebagaimana perkongsian tukang kayu ini, beliau memberitahu cara untuk mengawet kayu agar kekal tahan lama termasuk serangan anai-anai. Ikuti perkongsian ini.
Petua mengawet kayu.
Salam sehobi rakan-rakan tukang sekalian.
Ramai tukang suka menggunakan kayu untuk projek-projek DIY. Kayu memang cantik dan berseni semulajadi selain senang dibentuk, dicantum dan dikendali. Tetapi kayu lama kelamaan akan reput, rosak tekstur asal dan hilang kekuatannya terutama jika terdedah kepada faktor cuaca, kulat dan serangga.
Saya kongsikan di sini petua mengawet kayu supaya tahan lama yang diajarkan oleh bapa saya seorang tukang rumah, tukang kayu dan pernah terlibat dengan industri kayu balak di Sarawak selama berpuluh tahun.
Teknik rawatan kayu ini sangat ekonomik. Saya hanya gunakan campuran ubat gegat (naphthalene) dengan minyak diesel. Sediakan bahan dalam kuantiti sesuai dengan jumlah kayu yang hendak dirawat. Biasanya seliter diesel cukup untuk 1 meter padu kayu. Saya gunakan sebungkus ubat gegat seperti dalam gambar untuk seliter diesel.
Ubat gegat
Sebungkus ubat gegat (moth ball) seperti ini untuk setiap satu liter diesel cukup untuk merawat 1m padu kayu
Ubat gegat ditumbuk halus sehingga menjadi tepung dan dilarutkan di dalam minyak diesel. Gunakan topeng pernafasan yang sesuai semasa penyediaan dan proses merawat kayu sebab wap naphthalene ini bahaya jika disedut berlebihan. Kayu yang hendak dirawat mestilah betul-betul kering. Campuran bahan tadi boleh disapu dengan berus atau penggelek cat, ataupun disembur ke atas kayu. Biarkan ia meresap ke dalam kayu dan keringkan. Jangan jemur terus di bawah matahari.
Setelah rawatan, kayu masih boleh diketam atau dilicinkan. Pastikan kayu sudah betul-betul kering dari kesan berminyak pada permukaan sebelum mengecat. Warna asal kayu tidak akan terjejas jika rawatan dibuat dengan betul. Kayu yang saya rawat dengan teknik ini terbukti tahan lama tanpa kesan kerosakan akibat cuaca, kulat mahupun serangga.
Malah kalau naik ke atas syiling rumah saya yang rangkanya dibuat dengan kayu terawat ini kita akan hidu bau ubat gegat walaupun setelah lebih 5 tahun! Lipas, cicak, tikus dan serangga-serangga perosak memang tak berani dekat.
Rak tempat isteri saya menanam bunga dibuat daripada kayu terawat dengan teknik ini.
Selepas dirawat, kayu-kayu ini terbiar selama lebih 4 tahun di atas tanah sebelum dikutip untuk dibuat rak pasu bunga.
Gambar menunjukkan rak tempat isteri saya menanam bunga yang dibuat daripada kayu terawat dengan teknik ini. Selepas rawatan, kayu tersebut terbiar selama lebih 4 tahun di atas tanah sebelum dikutip untuk dibuat rak bunga ini. Semasa memotong, bau naphthalene masih kuat dan kayu masih kekal elok. Rak bunga ini dah lebih setahun di situ tanpa dicat dan terdedah kepada cuaca di tepi pantai yang panas dan lembap, di atas tanah tanpa beralas.
Rak pasu bunga ini dah lebih setahun di situ tanpa dicat dan terdedah kepada cuaca di tepi pantai yang panas dan lembap, di atas tanah tanpa beralas.
Semasa memotong kayu-kayu ini untuk dijadikan rak pasu bunga, bau naphthalene masih kuat dan kayu masih kekal elok walaupun terbiar lebih 4 tahun.
Contoh kayu terawet yang terbiar atas tanah selama 5 tahun dan diserang anai-anai. Kaedah ini tidak membunuh anai-anai tetapi kayu selamat dari dirosakkan. “Terowong” anai-anai dah penuh atas kayu tapi kayu masih elok di permukaan dan dalamnya masih macam baharu
Semoga bermanfaat!
Sumber: Atama Aaeman
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club