Guna Surah Al-Fatihah Untuk Didik Anak Cara Islam. Ternyata Teknik Yang Mudah.

Share

Mendidik anak adalah suatu cabaran buat ibu bapa agar menjadi seorang anak yang soleh dan solehah. Tidak dinafikan pendekatan Islamik amat penting untuk memastikan anak dapat didik dengan sempurna. Oleh itu, ramai para ibu bapa menggunakan pelbagai pendekatan untuk mendidik anak.

Begitu juga dengan perkongsian ini yang menjadikan surah Al-Fatihah sebagai rujukan untuk mendidik anak cara Islam.

IKUTI PERKONGSIAN INI

Allah ajar kita dalam surah Al Fatihah cara-cara mendidik anak. Sempurna. Cuma perlu ikut sahaja ‘manual’ yang Allah beri.

Ajar anak mentauhidkan Allah
Ajar anak bersyukur
Ajar anak bersifat Rahman dan Rahim
Ajar anak hakikat apa yang ada itu tidaklah kekal milik kita
Hanya Allah yang disembah dan Allah sahaja yang memberi pertolongan
Ajar anak cara berdoa iaitu paling utama minta Allah tunjuki jalan yang lurus iaitu jalan orang yang Allah kasih, reda dan beri nikmat. Bukan jalan orang yang Allah murka (marah).

1. Biismillah. Orang yang merasa bertuhan tidak akan berani berbuat kesalahan.

Pertama sekali, perlu ajar anak ilmu ketauhidan. Bahawa Allah itu ada sebagai Tuhan. Segala perlakuan kita adalah dengan izin dan rahmat kasih sayang Allah. Mereka yang melakukan segala perbuatan dengan menyedari bahawa Allah Maha Melihat tidak mungkin melakukan kesalahan.

Tetapi sebelum itu kita sebagai ibu bapa perlulah menghayati terlebih dahulu rasa bertuhan. Barulah ilmu itu akan mudah mengalir kepada anak melalui perbuatan dan tauladan.

2. Alhamdulillah, kita bersyukur dengan nikmat Allah. Ajarkan anak bersyukur.

Anak-anak itu anugerah yang wajib kita syukuri. Mereka adalah hadiah yang paling sempurna Allah berikan kepada kita. Tidak ada ibu bapa yang sengaja ‘merosakkan’ akhlak anak dan pastinya kita mahu yang terbaik untuk anak.

Ajarkan juga anak untuk bersyukur, ucapkan terima kasih kepada Allah. Supaya mereka tahu, segala nikmat dan kebahagiaan yang ada semuanya adalah milik dan pemberian Allah.

3. Rahman Rahim. Ajarkan siapa Allah itu yang bersifat Rahman dan Rahim.

Penekanan Rahman dan Rahim juga adalah penting dalam kita mendidik anak. Mana mungkin kita dapat mendidik dengan baik jika kita sendiri sebagai ibu bapa tidak memiliki sifat Rahman dan Rahim.

Dengan Sifat Rahman dan Rahim Allah maka kita dapat hidup dengan baik dan gembira di dunia ini. Dengan sifat Rahman dan Rahim Allah maka kita diberi nikmat yang banyak. Anak kita jika ditanam sifat pengasih dan penyayang, maka akan membesarlah mereka menjadi manusia yang baik akhlaknya, bertoleransi, mulia hatinya dan punya empati yang tinggi.

4. Suatu hari nanti akan ada penamat kita iaitu hari kematian. “Maliki yaumiddin”. Kuasa Allah sahaja yg mampu mewujudkan “Yaumiddin” Hari Pengakhiran, Hari Pembalasan.

Fahamkan pada anak bahawa semua yang kita ada tidaklah kekal selamanya. Akan hilang dan pergi jua bila sampai masa. Jika anak faham akan hakikat itu, mereka juga perlu diajar tentang mengurus emosi bahawa setiap perkara itu juga berlaku dengan hikmah. Hikmah yang ditentukan oleh Malik (raja) bersifat Rahman dan Rahim.

Ajarkan kepada anak juga mengenai Hari Pembalasan iaitu hakikat Syurga dan Neraka.

5. Setelah kita ajarkan pada anak bahawa Allah sahaja selayaknya disembah (iyyaka na’budu) maka ajarlah anak-anak minta pertolongan dari Allah (iyyaka nastaeen).

Nescaya sekiranya kita menjadi mu’min yang beramal soleh taat pada Allah, apa sahaja permintaan (doa) kita akan Allah kabulkan.

Surah ini juga mengajar kita bahawa dalam mendidik anak kita perlu ajar anak hakikat bahawa “buatlah kebaikan, Allah akan tolong orang yang selalu buat kebaikan”.

6. Dan Allah ajar apa yg perlu kita minta utama sekali adalah (ihdinas sirat al mustaqeem). Tunjukilah kami jalan yang lurus. Jalan yang Allah rahmat, jalan yang Allah redha. Perlu ajar anak sentiasa doa pada Allah agar dipelihara hidup.

7. ( Sirat al lazeena anamta alaihim ghairil maghdubi’ alaihim waladaaleen)

Dan mintalah segala kebaikan sebagaimana umat terdahulu yang Allah beri nikmat bukan jalan orang terdahulu yang Allah laknat.

InsyaAllah jika semua manual ini diikuti dalam kita mendidik anak, kitalah ibu bapa yang akan berbahagia bukan sahaja di bumi tetapi juga di Syurga Allah.

Kan mahu masuk Syurga sekeluarga.

Semoga Bermanfaat.
Kredit: Nazifatunnisa Salim