Teknologi

Guna Peranti Penstriman Haram (ISD) Satu Jenayah! Kerugian Besar Buat Penyiar & Ekonomi Negara

Share

Dalam dunia digital yang serba canggih ini, ramai di antara kita mungkin tidak menyedari atau dengan sengaja memilih untuk menggunakan peranti penstriman haram (ISD). Penggunaan peranti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membawa pelbagai implikasi serius yang patut kita ambil berat.

Di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022, penggunaan ISD dianggap sebagai kesalahan jenayah. Ini bermakna, setiap kali kita mengakses kandungan secara haram, kita bukan sahaja terlibat dalam perbuatan yang salah, tetapi juga berisiko menghadapi tindakan undang-undang.

Kebanyakan orang yang melanggan kotak TV haram mungkin melihat cara ini sebagai jalan mudah untuk mengakses pelbagai kandungan tanpa had, mereka sebenarnya membuka pintu kepada risiko keselamatan siber yang serius.

Bagi mereka yang menghargai pilihan hiburan yang selamat, adalah penting untuk memahami bahaya tersembunyi dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi rumah anda.

Bahaya Yang Tersembunyi

Kotak TV haram sering berfungsi sebagai pintu masuk untuk penjenayah siber, kerana mereka mengabaikan semua proses pelesenan dan saluran yang betul. Pertimbangkan ini; peranti-peranti ini tidak tertakluk kepada standard keselamatan yang ketat yang melindungi pengguna di platform yang sah.

Akibatnya, kotak-kotak ini mungkin mengandungi perisian berniat jahat, yang meningkatkan risiko serangan siber, penipuan, dan pelanggaran data peribadi. Pakar keselamatan siber memberi amaran bahawa peranti penstriman haram boleh membuka jalan kepada penjenayah yang merbahaya, yang dapat menyusup ke dalam rangkaian rumah anda.

Kesan Cetak Rompak yang Berleluasa

Salah satu kesan paling ketara daripada penggunaan ISD adalah kemerosotan kemampuan penyiar yang sah untuk beroperasi dengan berkesan. Tindakan cetak rompak secara meluas ini memberi kesan buruk kepada industri hiburan, mengakibatkan kerugian besar bukan sahaja kepada penyiar, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Astro Perangi Cetak Rompak Digital!

Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata: “Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif.

Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil. Usaha ini penting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baru.”

Sebelum ini, di Ipoh, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 pada Februari lalu selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram.

Peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada Oktober 2023. Pada Julai tahun yang sama, dua individu di Seremban turut berdepan tuduhan yang serupa.

Kes-kes ini mencerminkan usaha keras Astro dalam memerangi cetak rompak digital dan memastikan pematuhan syarat-syarat langganan pengisian Astro.

Akibat Siarkan Kandungan Astro Secara Haram!

Terbaharu, sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar yang terkenal terpaksa menanggung padah berjumlah ratusan ribuan ringgit gara-gara menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.

Dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar RM221,773.20 kepada Measat Broadcast Systems Sdn Bhd iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.

Thaqwa hanya mempunyai langganan sah untuk dua premis sahaja, namun begitu ia telah menyiarkan siaran Astro di lapan lagi restoran miliknya tanpa kebenaran dengan menggunakan peranti-peranti seperti kad pintar dan dekoder Astro bagi tujuan tersebut.

Selain daripada pembayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro.

 

IKLAN