Graduan perempuan orang asli suku Temiar genggam diploma kejuruteraan awam. Seorang graduan perempuan Orang Asli dari Suku Temiar Siti Suwani Jali berjaya memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu.
Graduan Perempuan Orang Asli Suku Temiar Genggam Diploma Kjuruteraan Awam
Siti Suwani, 24, berkata sebelum berjaya menamatkan pengajiannya, beliau hampir berhenti melanjutkan pelajaran di pusat pengajian itu, berikutan kerap kali terpaksa mengulang subjek.
“SEMASA SEMESTER SATU LAGI SAYA MAHU BERHENTI, KERANA BANYAK SUBJEK SUKAR UNTUK DIPELAJARI, MALAH SETIAP KALI SAYA TEMPUH CABARAN MENGULANG SUBJEK, SETIAP KALI SAYA RASA MAHU MENYERAH KALAH DAN BERHENTI,” KATANYA.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-37 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu.
Graduan dari Pos Pulat, Gua Musang itu berkata kejayaan itu dapat beliau capai, kerana ibunya yang menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan pengajian.
Siti Suwani yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu berkata ibunya sentiasa meletakkan harapan tinggi untuk beliau menamatkan pengajiannya.
“SAYA TERUSKAN BELAJAR DENGAN BANTUAN PENSYARAH DAN RAKAN-RAKAN LAIN, YANG SENTIASA MEMBERI SOKONGAN DAN TUNJUK AJAR SEHINGGA BERJAYA MENAMATKAN PENGAJIAN INI,” KATANYA YANG MENERIMA BIASISWA JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI (JAKOA).
Siti Suwani berkata beliau mengambil bidang berkenaan, kerana tidak ramai daripada kaumnya yang mengambil kejuruteraan awam untuk menyambung pengajian mereka.
“Kebiasaannya kaum kami (Orang Asli) melanjutkan pengajian dalam pendidikan, jadi saya mahu memartabatkan Orang Asli terutama wanita untuk rajin belajar, sekali gus mampu bersaing dengan kaum lain di negara ini,” katanya.
Pengarah Politeknik Kota Bharu Mohd Fikri Ismail berkata Siti Suwani antara graduan Orang Asli yang menerima diploma untuk konvokesyen kali ini.
Ads
Beliau berkata Siti Suwani mengikuti latihan industri di Majlis Daerah Gua Musang dan mendapat keputusan cemerlang.
“Kita sentiasa memberi dorangan kepada pelajar tanpa mengira kaum, malah dengan kejayaan Siti Suwani ini, kita harap ramai lagi Orang Asli terinspirasi untuk menyambung pengajian di sini dalam bidang kemahiran,” katanya.
Bila memikirkan untuk membawa anak kecil menunaikan ibadah umrah di musim cuti sekolah ini ada yang masih teragak-agak untuk membuat keputusan. Apatah lagi memikirkan bila berada di tempat asing, ragam anak tidak dapat dijangka. Jadi apa kata anda baca perkongsian daripada seorang ayah ini tentang tujuan utamanya membawa anak-anak menunaikan umrah ketika mereka masih kanak-kanak. Ada benarnya apa yang dikatakan malah perkongsian daripadanya ini juga membuatkan kita tersentuh hati.
Nak tahu apakah kisahnya itu, ayuh baca perkongsian penuh daripadanya dan semoga turut menyuntik inspirasi untuk kita sama-sama membawa anak menunaikan umrah di waktu yang akan datang, insyaAllah.
Ini perkongsiannya.
Ada orang, ada pelbagai pendapat. Tak perlu bawa anak. Kita mahu beribadat. Bawa anak menyusahkan. Anak tidak tertaklif buat umrah lagi. Tapi, inilah pendapat aku (dan umminya) mengapa aku berhasrat bawa anak-anak aku dalam perjalanan umrah ini.
Abid Affan sudah selesai berkhatan pada usia 6 tahun (tahun lalu) dan Aisya sudah tidak lagi memakai lampin bayi waktu hujung usia 2 tahun lagi. Abid Affan sudah usai mengaji Muqaddam dan kini sudah sedang mengaji Al-Quran bersama umminya. Dan, pada usia 7 tahun, dia sudah dibimbing untuk tidak lagi meninggalkan solat. Jika di rumah samada kami berdua akan ke masjid atau dia akan solat bersama aku.
Tujuan membawa mereka, terutama anak lelaki aku
1. Memperkenalkan sirah Nabi
Sejarah Nabi yang mulai diperkenalkan waktu mereka pada awal persekolahan sampailah nanti mereka ke peringkat universiti, malah di Tingkatan 5 atau 6 sejarah Islam akan dipelajari lagi dan lagi. Inilah cara terbaik buat aku mengukuhkan lagi naratif sejarah Islam kepada anak lelaki aku.
Dia sudah tahu masjid Nabawi, dia sudah boleh membayangkan nabi duduk di tiang mana, malah tiang-tiang yang disebut ustaz Mutawif dia masih ingat dan mengeluarkan semula ingatan kepada aku. Terkejut aku kesemua tiang dia boleh 'recall' semula.
Dia bercerita tentang kewafatan nabi kepada adik perempuannya, saat Rasulullah tidak mampu lagi bangun dan meminta sahabat mengimamkan jemaah di masjid.
Ada banyak video yang aku ambil, dia duduk di lantai waktu ustaz menerangkan sirah sambil mendengar betul-betul apa yang diceritakan ustaz. Tentang pulangnya dalam ketakutan Nabi Muhammad daripada Gua Hira' mendapatkan isterinya, aku melihat dia begitu tekun mendengar cerita ustaz. Ditunjukkan ustaz dari mana asal rumah nabi dan gua, perjalanan bersama Abu Bakar, bersungguh dia mahu mengetahuinya.
Fikir aku, dia kadang tidak menumpu tetapi aku sering disalahkan oleh dirinya sendiri, yang membawa kepada point kedua – terujanya dia mahu mengetahui dan menguasai.
2. Dialog anak dan ayah tentang Sirah Nabi
" Ayah, kenapa kita perlu tawaf ayah? "
" Ayah, nabi dulu berperang bagaimana?"
" Macam ini kah dulu Siti Hajar berlari cari air kan ayah?"
" Jauh betul Nabi berhijrah dari Mekkah ke Madinah kan ayah?"
Akibat daripada semua soalan ini, ia mencetus cinta dan minat anak kepada sejarah Islam dan nabi. Dan, seorang ayah akan cuba menerangkan sebaik mungkin supaya anak lebih mengerti dan mentaukidkan dalam hati.
Jangan biarkan ia tenggelam dalam soalan. Ayah akan mencetuskan lagi minat anakanda untuk lebih mengetahui.
3. Pesan/nasihat halus buat anak-anak
Saat bermusafir dan kau sering dengan anak, saat menunggu azan, iqamat, saat menunggu segala kesusahan yang datang. Kau akan sering berpesan kepadanya.
" Sabar, banyakkan bersabar "
" Tolong isikan air zamzam dalam botol, nanti berikan kepada ummi"
" Orang yang sabar akan sentiasa menang"
" Tolong pakaikan kasut Aisya"
" Tolong siapkan adik "
Itu antara pesan rutin hari-hari di sana. Tetapi, yang lebih dahsyat ialah aku akan sentiasa berpesan di telinganya tentang solat, tentang hidup berbuat baik dan lain-lain. Peluang yang terbuka luas, saat dia beriba atas ribaan aku, aku sentiasa sangat berpesan itu dan ini
" Jangan tinggal solat walau sekali, nanti Allah murka "
" Murka tu apa, ayah?"
" Murka itu marah"
" Berdoa untuk ayah tau. Berdoa untuk ummi"
" Berdoa untuk siapa lagi?"
" Berdoa untuk kawan boleh tak ayah?"
" Masya-Allah, boleh "
Kala dia mengantuk. Kala dia gembira. Kala dia merungut. Inilah masa terbaik untuk berpesan yang baik-baik di telinganya.
4. Menjadikan anak seorang yang passionate, cekal dan kuat
Tahan dugaan. Kapal terbang tertangguh dua jam. Tidur di Jeddah. Kesejukan berselimut. Sentiasa berjalan. Berjalan dan berjalan lagi. Semua tempat perlu berjalan.
Sentiasa mahu membantu ayah dan ummi. Tolong itu dan ini. Tolong mengangkat barang.
Menjentik rasa empati dan simpati dengan menyediakan wang kecil sedekah untuk pekerja di Masjid Haram dan Nabawi, dengan membawa makanan kucing.
Dan, sentiasa menunjukkan orang yang lebih mulia tetapi berhati baik daripada kita, dan menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.
5. Meninggalkan legasi kenangan buat anakanda
Ini sangat penting. Jika ayah dan ummi sudah tiada lagi. Saat dia membesar, dia tahu dia sudah pergi Mekkah dan Madinah bersama ayah dan umminya. Dia tahu dia mempunyai kenangan itu.
Ayah berharap, saat itu dia tahu mengapa ayahnya membawa dirinya ke sana, tidak lain tidak bukan, supaya dia menjadi orang Islam yang kukuh pegangannya, dia akan dapat mengimbau semula (jika tidak mampu seratus peratus) kenangan di Bukit Uhud, Masjid Quba, di Kaabah, Masjid Nabawi waktu kecil dahulu, dia akan dapat mengulang semula kenangan ini dan mengaitkan nanti dengan buku-buku sejarah, di dalam kelas ketika belajar sejarah Islam betapa hebatnya perjuangan nabi.
Dia akan berfikir, aku dibawa ummi dan ayah supaya dapat menjadi orang Islam yang tahu sejarah, dan menjadi orang Islam yang diredaiNya.
Dan, saat dia dewasa tumbuh sihat dan mekar, dia akan datang semula untuk Umrah dan Haji akan dia mengenangkan kenangan bersama ayah dan umminya, akan dia doakan yang terbaik untuk ummi dan ayah yang telah tiada lagi.
Akan dia sempurnakan ibadahnya kerana dia pernah sampai dahulu.
+++
Pada santapan makan malam di padang pasir, dengan tidak semena-mena anak aku berkata kepada kumpulan jemaah lelaki yang sedang makan dengan gembiranya
" Kalau kita makan ayam yang banyak ni, kita tidak perlu TAMAK, tetapi dalam buat umrah kita perlu bersikap TAMAK "
" Tamak nak buat baik, nak dapat pahala banyak-banyak."
Kata-kata Abid Affan disambut dengan kejutan oleh yang dewasa. Aku pun terkejut dia boleh berkata begitu.
"Masya-Allah, Masya-Allah"
" Pakcik doakan abang jadi orang islam yang hebat." kata mereka.
Bukan berlebih-lebih dalam memuji anak. Dia kadang-kadang dengan anginnya sendiri. Anak – anak tetap akan bermain dan ada nakalnya sendiri. Tetap akan ditegur oleh ayahnya.
Namun, mendengar kata-katanya itu, aku percaya aku telah membuat keputusan yang betul dengan membawa anak-anak ayah ke sini.
Untuk ketauhidan diri, seperti Luqman berpesan tentang keesaan Tuhan. Menghamparkan ibrah untuk anak. Peluang yang jarang diperoleh untuk hidup seorang ayah dan anak.
Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.
Aku mohon supaya Allah reda dengan perjalanan umrah kami sekeluarga.
– Kenangan mendukung Abid setelah selesai Saie adalah kenangan yang mengharukan. Air mata mengalir mengenangkan bagaimana Siti Hajar berlari 7 kali, mencari air untuk anaknya Ismail. Aku menangis kerana dia tidak mengadu pun letih bersaie pun sedangkan ayah rasa begitu penat dan letih. Tapi dia tertidur sementara menunggu jemaah berkumpul setelah selesai ibadah umrah. Ayah yang sudah lama tidak mendukung Abid kerana sudah besar, tapi pada hari itu dia begitu nyenyak dan lena. Rasa bahagia, sedih , gembira dan terharu yang tak pernah mampu nak digambarkan. Aku berdoa jadilah anak-anakku yang soleh dan solehah. Hanya itulah sahaja doa kami berdua.Aamin –
Atlet menembak berhijab Iran cium Al-Quran lepas raih emas Paralimpik Paris 2024 tarik perhatian. Atlet menembak dari Iran, Sareh Javanmardi dari Iran memberi penghormatan kepada Al-Quran selepas memenangi pingat emas dalam pertandingan menembak Sukan Paralimpik 2024, mendapat pujian daripada institusi Al-Quran utama.
Agensi Berita Hawzah- Javanmardi memperoleh pingat emas dalam acara P2 10m pistol udara SH1 pada Paralimpik Musim Panas 2024 di Paris.
Sejurus selepas memenangi perlawanan terakhirnya, dia mencium senaskah Al-Quran tanda bersyukur kepada Tuhan dengan sujud di atas bendera Iran.
Ketua Dar-ol-Quran Iran mengeluarkan kenyataan, memuji tindakan atlet itu dalam menghormati Al-Quran.
Pingat emas di Paris merupakan yang keempat dimenangi Sareh sepanjang lima kali penyertaan Sukan Paralimpik iaitu dua di Paralimpik Rio 2016 manakala satu di Paralimpik Tokyo 2020.
Sareh yang diberi jolokan Iran Pistol Queen dilahirkan dengan kecacatan pada bahagian kaki mengumumkan akan bersara demi menumpukan perhatian kepada keluarga.
Pada hari Sabtu, pemain berusia 39 tahun itu, yang sebelum ini memenangi emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, memperoleh 236.8 mata meraih tempat pertama. Penembak Turki, Aysel Ozgan memperoleh pingat perak dengan 231.1 mata, manakala atlet India Rubina Francis meraih gangsa dengan jumlah 211.1 mata.
Biarpun dilahirkan serba kekurangan kerana tidak boleh melihat sejak kecil lagi, namun Tuhan si cilik ini ‘celik’ hatinya kerana mampu menghafaz hampir semua surah dalam Al-Quran.
Ahmad Aqeel Faiz Mohammad Noor, 7, anak istimewa yang buta kedua belah matanya juga memiliki masalah ‘Mild Autisme’ ketika berumur setahun setengah.
Tidak sempurna dari segi penglihatan, namun Aqeel nampak seperti kanak-kanak biasa yang lain. Malah dia kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Presint 18, Putrajaya di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi pendidikan kanak-kanak kurang upaya penglihatan.
Alhamdulillah, Aqeel ‘disuluh’ Al-Quran. Menurut ibunya, Nur Izzah Mohamad Kamil, 36, ketika Aqeel berumur setahun, perkembangannya agak lambat dan suka menghantukkan kepala di lantai.
Malah, dia juga dikatakan sering menangis tanpa diketahui punca ketika berusia setahun. Setelah beberapa bacaan dilakukan barulah mereka sedar bahawa Aqeel mempunyai ciri-ciri penyakit Autisme.
Untuk mengesahkan perkara itu, mereka turut membawa Aqeel ke pakar psikiatrik dan doktor mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut menghidap penyakit ‘Mild Autisme’.
Nur Izzah mengatakan bahawa, “Aqeel dulu ada masalah tak tidur malam sebab dia tidak dapat bezakan waktu siang dan malam. Nak bagi dia tidak merayap keluar dari bilik memang kami pasang ayat suci al-Quran setiap masa dalam bilik dia. Kalau dia tak dapat tidur, dia akan dengar al-Quran sepanjang malam hingga pagi.
Ketika mengandungkan Aqeel, ibunya sering mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran sehinggalah kanak-kanak itu besar. Surah berkenaan dipasang melalui YouTube, radio dan TV.
“Lagipun Aqeel ada Autisme, jadi kalau dia ‘tantrum ’ (meragam) memang saya pasangkan al-Quran sebagai terapi untuk dia,” tambahnya.
Ayat suci Al-Quran juga dikatakan telah sebati dalam diri Aqeel ketika dalam rahim lagi.
Kekurangan Aqeel sebenarnya membuktikan bahawa dia mempunyai ‘kelebihan’ yang jarang dimiliki orang lain.
Aqeel yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu dikatakan lebih hebat daripada adik-beradiknya yang lain dalam menghafaz surah dalam Al-Quran. Menurut ibunya, Aqeel menghafaz surah Al-Baqarah, Al-Imran, An-Nisa, dan Yassin.
Ayah Aqeel, Faiz Mohammad Noor Kamaruzaman, 36, pernah meminta Aqeel menyambung ayat yang dibacanya dan Aqeel berjaya melengkapkan surah yang dibaca oleh ayahnya itu. Bukan setakat itu sahaja, Aqeel juga boleh meneka surah apa yang dibaca oleh ibu bapanya walaupun tanpa penglihatan.
Aqeel turut dihantar ke sekolah, terapi dan kelas fardu ain untuk persiapan dirinya di masa hadapan. Semoga Aqeel dapat bertanding dalam tilawah Al-Quran suatu hari nanti. Semoga cita-cita dan impian Aqeel tercapai suatu hari nanti.