Giliran Pergi Haji, Ni Caranya Perlu Buat Sekarang Kalau Nak Dipercepatkan!

Share

Di sini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita usaha demi mendapatkan giliran haji ketika usia muda atau sekurang-kurangnya untuk “lajukan” giliran kita.

Ada 4 langkah semuanya;

 

1) Buka akaun Tabung Haji.

2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar: Di mana-mana cawangan TH, laman web TH, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB

3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung.

4)
a)Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji. Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).

c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji. Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil.

d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.

e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.

Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya.


Nota cara menabung secara ringkas:

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400). Atau, nak lagi cepat?

2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400).

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.


BAGAIMANA MAHU BUAT RAYUAN PERGI HAJI?

Untuk permohonan rayuan haji, sila kemukakan surat rayuan dalam format surat rasmi yang lengkap bertandatangan kepada:

Bahagian Operasi Domestik,

Lembaga Tabung Haji,

Lantai 30,

Bangunan Ibu Pejabat TH,

201 Jalan Tun Razak,

50732 Kuala Lumpur.

Isi kandungan surat rayuan:

Nama penuh
Nombor akaun TH
iii. Nombor MyKad

Tujuan rayuan
Tandatangan

Bakal Haji juga boleh melampirkan dokumen berkaitan sebagai sokongan kepada rayuan tersebut. Dan ini Contoh Surat Rasmi Rayuan Haji 1437H.

Rogayah binti Mokhtar

Lot 1234, Jalan Sinar

Kampung Harapan

84000 Muar

Johor

18 Disember 2015

Kepada,

Bahagian Operasi Domestik,

Lembaga Tabung Haji,

Lantai 30,

Bangunan Ibu Pejabat TH,

201 Jalan Tun Razak,

50732 Kuala Lumpur.

Tuan/Puan,

RAYUAN UNTUK MENDAPAT TEMPAT MENUNAIKAN HAJI PADA MUSIM 1437H/2016M

NAMA PENUH: ROGAYAH BINTI MOKHTAR

KAD PENGENALAN: 450101-01-0400
No AKAUN TH: 12345678

________________________________________________________________________

Perkara di atas adalah dirujuk.

Saya memohon jasa baik dan budi bicara yang ikhlas daripada pihak tabung Haji agar dapat menawarkan tempat kepada saya untuk menunaikan Haji pada tahun 1437H atau 2016 Masihi.

Saya memohon dipercepatkan kerana usia yang telah lanjut (70 tahun) dan saya telah 5 kali menjalani Kursus Haji tetapi masih dalam senarai menunggu. Simpanan saya juga telah mencukupi untuk menunaikan haji dalam waktu terdekat ini.

Semoga pihak tabung haji dapat menunaikan rayuan saya yang tersebut di atas.

Sekian, terima kasih.

Yang Mengharap,

(ROGAYAH BINTI MOKHTAR)

No K/P: 450101-01-0400

sumber : Muhammad Yaakub Yusra